D
|
EWAN peperiksaan
sedikit hingar. Semua pelajar berpusu-pusu keluar meninggalkan tempat itu
dengan hati yang lapang bersama senyuman kelegaan terukir di wajah
masing-masing. Sebulan telah berlalu, bermakna tamat sudah peperiksaan tahun
akhir mereka. Sekaligus menandakan berakhirnya sesi pembelajaran selama lima
tahun semenjak dari diploma hinggalah ke peringkat ijazah. Mungkin selepas ini
masih ada di antara mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat yang
lebih tinggi. Dan sebahagiannya pula lebih memilih untuk berehat dan bekerja
dahulu.
Irish kelihatan turut berjalan keluar dari Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam tersebut.
Langkahnya kemudian diatur menuju ke tempat letak kereta. Langsung tidak
dihiraukan keadaan pelajar lain yang seronok bersembang dengan rakan-rakan
mereka di situ. Biasalah, peperiksaan sudah habis. Tentu ada saja agenda yang
ingin diaturkan bersama selepas ini. Sambil itu mata Irish sempat melilau
mencari-cari kelibat seseorang.
‘Mana pergi budak sorang ni, ya? Dari tadi tak
nampak-nampak batang hidung dia.’
Niat di
hati memang dia ingin menemui rakan baiknya itu memandangkan hari ini adalah
merupakan hari terakhir mereka di sini. Selepas ini tidak tahu bila lagi mereka
akan berjumpa. Lebih-lebih lagi bila masing-masing sudah membawa haluan sendiri
untuk membina kerjaya dan masa depan.
‘Agaknya
dia dah balik dengan orang lain kut. Mungkin!’ duga Irish sambil kakinya terus
dihayun meninggalkan kawasan dewan tersebut. Dalam melangkah, Irish membuka
begnya untuk mengambil kunci kereta. Sedang dia mencari tiba-tiba terasa bahunya
ditepuk seseorang dari belakang. Pantas dia berpaling.
“Ira!
Kau pergi mana, hah? Aku cari kau dari tadi lagi sebelum masuk dewan. Tunggu
kau tak muncul-muncul, tu yang aku masuk dulu.”
“Sorry!” balas Athirah sambil tersengih.
“Aku dah gerak awal tadi. Tiba-tiba teringat yang aku terlupa bawa kad matrik.
Tu yang aku patah balik tu!” cerita Athirah sambil mereka menuju ke tempat
letak kereta.
“Hmm...
patulah! Asyik lupa je. Esok-esok ada boyfriend,
boyfriend pun asyik kena lupa
agaknya.”
“Ishh!
Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend
lari, susah!” seloroh gadis itu disambut gelak ketawa Irish. Ada sahaja ideanya
untuk membuat membuat orang ketawa.
“Kau
datang naik apa tadi?” Irish bertanya sebaik mereka menghampiri keretanya.
“Aku
tumpang housemate aku. Tapi dia ambil
exam kat venue lain.”
“So, balik ni?”
“Naik
dengan kaulah! Macam tak faham-faham pulak!”
“Aku
saja je. Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan housemate kau ke lepas exam
ni.”
“Amboi-amboi!
Sedapnya mulut dia berkata!” tingkah Athirah sambil bercekak pinggang. “Tapi
kan...,” dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “.... kalau kau nak bawa
aku jalan-jalan keluar, aku okay je.
Manalah tahu kut terjumpa sorang dua mamat yang boleh buat calon,” bisik
Athirah sambil mengenyitkan matanya. Membulat mata Irish mendengarkan jawapan
itu.
“Kan? Aku dah tahu
dah kau ni memang pantang kalau aku sebut sikit. Dan-dan tu kau terus ajak,
kan?”
“Hai, nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” selamba
Athirah menjawab sambil berlalu menuju ke pintu kereta di sebelah pemandu.
Namun pergerakannya terhenti bila melihatkan Irish masih lagi tercegat
memandangnya tanpa berkelip.
“Yang kau tu tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”
“Yelah, yelah!”
Irish terus menekan alarm
kunci sebelum kedua-dua sahabat itu masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan
Proton Satria Neo milik Irish bergerak meninggalkan perkarangan universiti
tersebut.
“SO, amacam paper FSA
tadi? Senang tak?” Athirah memulakan perbualan sebaik kereta yang dipandu Irish
bergerak di atas jalanraya.
“Boleh tahan jugaklah. Agak susah, tapi masih boleh
dijawab. Yang penting dah cuba yang terbaik,” terang Irish mengenai kertas
soalan Financial Statement Analysis
yang mereka hadapi sebentar tadi. “Kau macam mana?”
“Huh! Nak terkeluar jugak otak ni menjawab tadi. Patutlah
ramai student takut nak ambil finance course ni!” akui Athirah mengenai sesetengah tanggapan pelajar yang
mengatakan kursus kewangan yang diambil oleh mereka itu sebagai ‘killer course’. Irish sekadar tersenyum
mendengar celoteh rakannya itu.
Dari jauh sudah kelihatan bangunan pusat membeli-belah
SACC yang terletak di Bandaraya Shah Alam. Irish membelok keretanya memasuki
kawasan shopping mall itu. Tempat
letak kereta yang agak penuh menyebabkan mereka sukar untuk mencari
memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Hanya beberapa minit kemudian, barulah
mereka menemui satu petak yang masih kosong. Selesai memarkir kereta, mereka
berdua terus memasuki ruang legar pusat membeli-belah tersebut. Hanya sekadar
bersiar-siar sambil mencuci mata melihat barangan yang dijual di situ.
Kebetulan ketika itu sedang diadakan promosi diskaun harga sempena jualan mega,
menjadikan pusat membeli-belah itu dipenuhi dengan ramai pengunjung.
“Geram pulak aku tengok barang-barang kat sini, Rish.
Murah-murah! Kalaulah beg ni penuh dengan duit, gerenti aku dah shopping sakan dah!”
“Hmm, yelah. Lepas tu nanti aku yang jadi mangsa kena
tolong bawa barang-barang kau, kan? Macam aku tak kenal kau, Ira. Bila dah shopping, tak ingat dunia.”
Spontan Athirah tergelak. Pernah suatu hari dia mengajak
gadis itu menemaninya untuk ke sebuah pusat membeli-belah. Mulanya dia ingat
hanya sekadar ingin membeli beberapa senarai barangannya. Tetapi bila sudah
kelabu mata, semua barang-barang yang dia berkenan habis dibeli. Irishlah yang
menjadi mangsa menolong membawakan barang-barang tersebut. Sudahnya, rakannya
itu keletihan hingga tertidur di dalam kereta manakala dia yang mengambil-alih tugas
memandu kereta Irish sewaktu pulang. Nasiblah dia punya lesen memandu.
“Irish, jomlah kita pergi makan. Penat pulak berjalan
kalau tak shopping apa-apa ni.”
“Penat? Tahu pun penat. Tapi bila shopping, hyper active pulak. Makan pun lansung tak ingat!” sengaja
Irish memerli rakannya. Namun, hanya sengihan yang dipamerkan oleh gadis itu.
Mereka memilih untuk makan di salah sebuah restoran yang
terdapat di dalam pusat membeli-belah tersebut. Sementara menanti makanan yang
dipesan tiba, mereka hanya bersembang kosong sambil melihat gelagat orang ramai
yang lalu lalang di situ.
“So, apa plan kau lepas ni?” Athirah bertanya
kepada Irish.
“Hmm, aku ingat nak kerja dulu. Bila dah okay nanti dan ada rezeki, Insyaallah
aku sambung master. Kau?”
“Samalah. Aku ingat pun macam tu. Kerja dulu. Tapi
sebelum kerja ingat nak balik kampung sekejap jenguk family aku. Sebulan lebih dah aku tak balik sebab exam ni. Rindu dah kat diorang tau!”
luah Athirah sambil tersenyum. Fikirannya sudah terbayangkan keluarganya yang
berada di Melaka.
“Baguslah. Apa-apa pun, utamakan family dulu. Keluargalah orang yang paling penting sebab diorang
yang selalu ada dengan kita waktu susah senang. Takkan pernah tinggalkan kita walau apapun
terjadi.”
Athirah hanya terangguk-angguk mengiakan butir bicara
rakannya itu. Sebentar kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka
menghantar hidangan yang dipesan. Aroma makanan yang menusuk ke hidung
membuatkan perut mereka semakin berbunyi minta diisi. Sambil berbual, mereka terus
menikmati hidangan yang agak menyelerakan itu walaupun ini kali pertama
mengunjungi Restoran Noodle Station tersebut.
“NAMPAK gayanya macam tak ada rezekilah nak jumpa calon suami
kat sini hari ni!” bicara Athirah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke
tempat letak kereta untuk pulang.
“Hai!
Ada hati jugak nak cari? Ingat lupa dah.”
“Mestilah!
Mana tahu antara lelaki-lelaki kat shopping mall ni, diorang tu jodoh
kita!”
“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.” Irish
menggeleng-geleng kepala melihatkan gelagat rakannya itu yang tidak sudah-sudah
dengan hajatnya sedari tadi. “Eh Ira, aku nak pegi toiletlah. Tunggu sekejap boleh?”
Athirah mengangguk sambil menyambut handbag yang dihulurkan Irish. Setelah itu dia duduk di kerusi
berhampiran yang sedia ada di situ sementara menunggu rakannya kembali.
Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke tandas
berhampiran. Tidak mahu dia membiarkan Athirah berlama-lama menunggu. Kepalanya
hanya tertunduk memandang lantai tanpa menoleh sesiapa di situ.
“Ouchh!”
Irish mengaduh sambil memegang bahunya. Tanpa sedar, dia
telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas berisi barang
yang dibawa lelaki itu juga sudah jatuh terlepas ke lantai. Tanpa berlengah,
Irish mengambil beg-beg tersebut lalu diberikan semula kepada lelaki itu tanpa
melihatnya. Punyalah kalut dia sehinggakan tidak berani memandang wajah lelaki
tersebut. Dia tahu salahnya tidak memandang depan semasa berjalan tadi.
“Maaf!” Irish menunduk seraya memohon maaf dan kemudian terus
berlalu meninggalkan tempat itu.
Lelaki tadi masih terus memandang Irish hinggalah kelibat
gadis tersebut menghilang di sebalik dinding. Termangu seketika dia dibuatnya.
Namun hatinya sedikit tercuit melihatkan gelagat gadis itu.
‘Tak sempat aku nak jawab dah lari. Takut benar!’
Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum
sebelum mengatur semula langkahnya.
No comments:
Post a Comment