Friday, September 26, 2014

BAB 21 : BAYANGAN GURAUAN





S
URAH Yassin yang baru selesai dibaca perlahan ditutup. Doa lalu dititipkan sebagai melengkapi bacaannya. Pohonnya pada yang Esa agar dipermudahkan segala urusan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Juga moga seluruh hidup ahli keluarganya dilimpahi rahmat serta keberkatan olehNya. Sesudah itu, dia duduk berteleku di atas tikar sejadah. Merenung jauh masa depan yang bakal ditempuhinya nanti. Dan akhirnya Irish mengeluh sendiri.

Gadis itu bangun dan menyidai kembali telekung serta sejadah ke tempat asal. Kemudian dia beralih ke katil dan melabuhkan duduk di situ. Luggage sederhana besar di atas katilnya direnung sepi. Esok dia sudah mahu berangkat ke Johor Bahru. Namun satu apapun dia belum berkemas lagi. Entah mengapa kali ini dia terasa berat untuk pergi sedangkan bukan dia tidak biasa dengan kerja luar seperti itu. Cuma kali ini perasaannya sedikit resah bila memikirkan Tengku Harrys akan turut serta.

Tengku Harrys. Menyebut nama lelaki itu sahaja bagai mahu terkeluar rasa jantungnya. Belum lagi dengan renungan tajam lelaki itu setiap kali mereka bertemu. Dapat dirasakan bara marah lelaki itu dari setiap pandangan matanya. 

“Kenapalah mesti dia yang aku langgar? Dalam ramai-ramai lelaki kat Malaysia ni, kenapa mesti dia? Tengoklah sekarang. Daripada tak ada musuh, tiba-tiba ada orang yang tak senang dengan kau kat syarikat tu. Padan dengan muka kau, Irish. Padan muka! Padan! Padan!” Irish berbicara sendiri sambil menampar-nampar kedua pipinya melepaskan geram. Luggage di hadapan dipandang kembali. Nak tak nak terpaksa juga dia pergi. Satu arahan yang tidak mungkin dapat dia bantah. Dengan lemah, Irish melangkah menuju ke almari pakaian dan mula mengemas barang-barang yang perlu dibawa untuk beberapa hari yang dia sendiri tidak pasti.

“Harap-harap tak adalah lama. Kalau tak, boleh menangis aku macam ni. Aduh, kenapa susah hati betul rasanya ni!” Irish mengomel lagi. Tangannya yang sedang melipat baju juga terhenti. Dadanya disentuh. Dapat dirasakan degup jantungnya bergerak laju.

“Ishh! Tak ada apa-apa kut. Kau ni Irish, suka sangat fikir yang bukan-bukanlah!” kali ini Irish menepu-nepuk dahinya pula. Setelah memastikan semua barang-barang keperluannya telah dibawa bersama, dia menutup zip luggage tersebut.

“Ya Allah, minta-mintalah Tengku Harrys baik hati kali ni. Tak ada nak buli-buli aku ke kat sana nanti. Amin!”

Irish mengaminkan doanya sendiri. Sesudah itu, luggagenya disandarkan di dinding bersebelahan almari. Jarum jam ketika ini menunjuk ke angka 10.00 malam.

‘Masih awal lagi.’

Lantas gadis itu membuka komputer ribanya, ingin menyiapkan sedikit tugasan memandangkan dia tidak akan masuk ke pejabat untuk beberapa hari. Sekurang-kurangnya bila pulang nanti tidaklah banyak kerja yang tertangguh.

Ting! Irish sedikit kaget bila tetingkap yahoo massengernya berbunyi saat tumpuan diberikan sepenuhnya pada fail-fail laporan di atas meja.


Nazmi Jauhari :    Assalamualaikum.. Hai cute! Sihat?  
Irish Izz :   Waalaikumussalam.. Hai Nazmi! Saya sihat je.. Awak?
Nazmi Jauhari :   Saya pun okay.. Apa news sekarang?
Irish Izz :   Macam biasa je.. Sibuk sikit dengan kerja.. How about you?
Nazmi Jauhari :   Saya final exam sekarang.. So tengah study..
Irish Izz :   Tengah study? Tapi sempat hadap komputer lagi? Hmm, pandai!
Nazmi Jauhari :  Sambil-sambil.. Bosan la asyik hadap buku 24 jam.. Kalau macam ni, dapat
relaks sikit.. Lagi-lagi dapat chatting dengan awak..
Irish Izz :   Kan? Yelah awak tu.. So, bila habis exam? Dan bila balik Brunei?
Nazmi Jauhari :  Insyaallah akhir bulan ni habis.. But next two weeks after that baru balik Brunei sebab nak round-round dulu dengan kawan-kawan kat sini..
Irish Izz :   Ai! Inda rindu sama buah hati ke balik lambat ni?
Nazmi Jauhari :  Inda la.. Rindu jua.. Tapi lepas ni boleh jumpa terus.. Inda payah risau! You know what? Satu hari nanti saya mahu kenalkan awak pada dia.. Dia juga teringin jumpa awak..
Irish Izz :  Hmm? Dia kenal saya?
Nazmi Jauhari :  Yup! Saya ada cerita tentang awak pada dia..
Irish Izz :   Awak tak takut ke dia marah?
Nazmi Jauhari :  Inda payah risau la! Dia sangat-sangat sporting..
Irish Izz :   Insyaallah.. Panjang umur nanti kita akan jumpa..
Nazmi Jauhari :   Irish?
Irish Izz :   Ya..
Nazmi Jauhari :   Saya harap masa tu awak juga sudah jumpa pengganti..


Irish terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Rasa sebak mula bertandang.


Irish Izz :   Insyaallah.. Doakan saya..
Nazmi Jauhari :  Saya selalu doakan yang terbaik untuk awak.. Harap awak bertemu jodoh yang lebih baik suatu hari nanti.. Kuatkan semangat..
Irish Izz :   Ya.. Thanks, Nazmi..
Nazmi Jauhari :   Most welcome! Okaylah.. Saya tak nak kacau awak lama.. Next time kita borak lagi.. Or maybe time tu kita borak face to face..
Irish Izz :   Ya.. Siapa tahu, kan? Okay.. You take care there.. Study elok-elok!
Nazmi Jauhari :  Yes, maam! You too, take care.. Smile always.. Kalau ada apa-apa problem, terus cari saya.. Bye sweet girl!   


Irish tertawa sendirian dengan kata-kata akhir lelaki itu. Walau belum pernah bertemu, tetapi boleh dikatakan Nazmilah satu-satunya sahabat lelaki yang dia ada setakat ini. Sahabat yang begitu memahami dan setia mendengar segala luahan hatinya. Meskipun hanya internet menjadi peghubung antara mereka. Irish hanya mengemas meja setelah kerja-kerjanya selesai. Kemudian dia berlalu ke katil untuk tidur. Baru sahaja duduknya dilabuhkan, pintu biliknya tiba-tiba diketuk dari luar.

“Umi.” Ucapnya sebaik kelibat Puan Qarina muncul di balik pintu.

“Irish dah tidur ke?”

“Belum lagi. Umi pun belum tidur?”

“Kejap lagilah. Saja nak tengok Irish dah siap berkemas belum. Dah siap dah?”

“Dah sudah,” ujar Irish sambil menunjuk ke arah sisi almari.

“Cukup ke tu? Berapa hari pergi kali ni?”

“Tak tahu lagi, umi. Kalau cepat siap, cepatlah balik. Tapi cukup kut rasanya. Irish ada bawa baju lebih.”

“Jadi along hantarkan esok pagi?” tanya Puan Qarina lagi. Sudah menjadi kelaziman anak sulungnya itu akan menghantar Irish jika mempunyai tugasan luar. Kalau Izzul ada hal lain, dia akan meminta suaminya ataupun Irhan untuk menghantar anak perempuannya itu.  

“Jadi. Along cakap esok dia masuk office lambat sikit.”

“Ha, kat tempat orang tu nanti jaga diri baik-baik. Solat jangan tinggal. Kalau ada apa-apa terus telefon bagitahu kami kat sini, ya?”

“Insyaallah, umi.” Irish tersenyum. Masuk ini entah yang ke berapa kali uminya berpesan sebegitu. Pesanan yang sama seperti sebelum-sebelum ini jika dia ingin pergi bertugas di luar kawasan. Hinggakan dia sudah boleh hafal setiap bait-bait perkataan yang dipesan oleh wanita itu. Dia tahu, uminya hanya bimbangkan keadaan dirinya jika berada di tempat orang.

“Hmm, dahlah tu. Pergi tidur. Dah lewat. Esok nak jalan jauh dah,” arah Puan Qarina apabila terpandangkan jam di dinding sudah menginjak ke pukul 11.30 malam. Wanita itu bingkas bangun untuk keluar.

“Selamat malam, umi.”

“Selamat malam. Dah, tidur.”

Sebaik sahaja Puan Qarina keluar, Irish mematikan suis lampu bilik sebelum merebahkan badannya ke atas tilam. Sejenak otaknya berfikir bagaimana dia harus menempuh hari yang bakal menjelang esok mengenangkan Tengku Harrys sentiasa ada bersama untuk melakukan tugas. Bagai terbayang-bayang renungan tajam lelaki itu di matanya. Mujurlah Kak Faridah turut serta. Kalau tidak, nahas juga dia.


“Isshh!” Irish meraup wajahnya beberapa kali. Bagai ingin membuang segala resah dan gelisah yang bertandang. Malas mahu melayan terus emosinya, dia cuba memejamkan mata. Dan entah bila dia sudah terlena di kala malam sudah merangkak ke pagi.


No comments: