Tuesday, November 11, 2014

BAB 27 : BAYANGAN GURAUAN





L
EPAS ni kau ada nak ke mana-mana ke, Zul?” Tengku Hafiy bertanya sewaktu mereka menuju ke tempat letak kereta. Petang Sabtu itu mereka berdua menghabiskan masa bermain futsal bersama rakan-rakan yang lain. Memang sejak di universiti dulu keduanya aktif bermain bola sepak mewakili universiti. Tetapi bila sudah bekerja, hanya di padang futsal sahajalah tempat mereka mempamerkan aksi bila ada waktu terluang.

            “Tak ada kut. Ingat nak terus balik. Kenapa?” 

          “Jom! Singgah rumah sekejap. Orang tua aku ada kat rumah tu. Mak aku pun asyik tanyakan kau je bila nak datang jenguk dia. Aku yang jenuh nak menjawab.”

            Izzul ketawa kecil. Beg yang berada di tangan kini sudah berpindah ke dalam bonnet kereta.  “Ya ke? Takkan rindu kut? Anak bujang dia kan ada dua orang.”

“Kitorang lain. Kau tu lain. Mama aku ni kalau dah sayang orang, kau faham jelah.”

“Yelah, yelah! Kita singgah rumah kau lepas ni. Jumpa mama ‘kita’. Okay?

Sengaja Izzul menekan perkataan kita pada Tengku Hafiy, membuatkan lelaki itu tergelak besar. Lantas keduanya memasuki kereta masing-masing dan memandu ke arah Villa Haiyan. Beberapa minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di kediaman mewah itu.

“Sunyi je rumah kau, Fiy. Ada ke tak parents kau ni?” Izzul menyoal sewaktu dia dan Tengku Hafiy mengatur langkah menuju ke taman mini.

            “Ada. Petang-petang macam ni kat taman minilah tu. Time minum petang. Macam tak biasa pulak kau ni.”

“Yelah. Dulu time belajar, lain. Sekarang mungkin dah tak sama.”

            “Tak ada yang lainnya, Zul. Dulu dengan sekarang sama je. Tak berubah pun!”

         Seperti jangkaan Tengku Hafiy, kedua orang tuanya sedang duduk bersantai di taman mini villa. Sebaik menghampiri mereka, Izzul bersalaman sambil bertanya khabar.

            “Hmm... lama dah Zul tak datang sini. Rindu Mak Engku dengan budak-budak tu.”

“Maaflah, Mak Engku. Sibuk sikit dengan kerja. Niat nak datang memang ada. Cuma masa tu yang tak berapa nak ada!” seloroh Izzul membuatkan yang lain ketawa. Memang sejak akhir-akhir ini dia agak sibuk dengan kerjanya di pejabat. Hujung minggu pula adakalanya dia terpaksa turun padang untuk melawat tapak projek. Hinggakan dia tidak dapat pulang ke rumah orang tuanya bila mana jadual sudah terlalu padat.

            “Biasalah, Fina. Orang muda time-time nilah kena kerja keras nak kumpul duit, kumpul

 harta untuk anak isteri. Dah tua-tua esok tak larat dah. Macam saya sekarang ni.”

            “Yelah, bang. Tapi sekurang-kurangnya si Izzul ni dah pun berkahwin, berkeluarga. Tu anak-anak abang tu. Hai! Naik risau saya dibuatnya. Berbuih dah mulut ni bercakap. Tak pun dikisahkan. Tak faham sungguh sayalah. Lagi-lagi anak bujang abang yang sorang tu!” Tengku Dafina sudah mula mengomel. Geram hatinya bila mengenangkan hal yang satu itu. Izzul pula sudah tersenyum-senyum sambil mengerling ke arah Tengku Hafiy yang menggaru kepalanya. Faham benar apabila bab perkahwinan mula disebut oleh wanita itu.   

            “Eh, anak saya sorang ke? Anak awak jugak, kan.”

        “Yelah, bang. Anak saya jugak. Tapi perangai diorang tu sebijik ikut macam abang!” bidas Tengku Dafina selamba. Namun, hanya disambut gelak oleh Tengku Haiyan. Ketika itu juga Mak Ros muncul dengan membawa dulang berisi juadah minuman petang.

          “Budak berdua tu dah balik, Kak Ros?” Tengku Dafina bertanyakan tentang Tengku Harrys dan Tengku Hazreen pada pembantunya yang baru selesai menuang minuman.

            “Belum lagi nampaknya, Tengku.”

            “Hmm, tak apalah.”

“Kalau tak ada apa-apa saya masuk dulu, Tengku.”

Usai menghantar minuman petang untuk majikannya, Mak Ros bergegas masuk ke dalam villa. Dia harus menyiapkan masakan makan malam pula memandangkan waktu sekarang sudah hampir ke pukul 6.00 petang.

“Astaghfirullahalazim!” Mak Ros mengurut dadanya tatkala melangkah masuk. Terperanjat dia bila dikejutkan dengan kelibat seseorang di balik pintu. “Ya Allah! Kau ni kenapa, Dewi?!”

Dewi di hadapan sudah tersengih-sengih bersama sudip yang masih berada di tangan. “Sorry, mak. Dewi enggak punya niat untuk bikin mak shocked!” 

Sorry, sorry! Kalau hari-hari macam ni boleh sakit jantung mak, Dewi!”

“Ishh! Jangan dibilangin begitu, mak.”

“Bilangin, bilangin. Tapi kau buat jugak, kan? Yang kau duduk terpacak kat sini kenapa? Dengan sudip bagai! Hmm?”

“Enggak ada apalah, mak. Cuma lihat-lihat itu tetamu yang datang,” balas Dewi sambil terjenguk-jenguk ke arah taman mini di luar.

“Siapa? Izzul?” 
Dewi mengangguk-anggukkan kepalanya. “Mas Izzul tu ganteng juga ya, mak.”

“Eh, Dewi! Kau ni sihat ke tidak? Kan Izzul tu dah kahwin. Anak dah tiga pun!”

“Ya, iyalah. Itu Dewi tahu, mak. Tapi kan udah kahwin pun tempatnya masih available lagi tiga juga. Iya, kan?”

“Amboi! Sedapnya dia bercakap. Tak pandang kiri kanan pun! Jangan nak merepeklah, Dewi! Daripada kau ambil laki orang, ramai lagi bujang-bujang kat luar tu kau boleh pilih. Bangladesh, Myanmar, Vietnam. Orang kampung kau pun ada jugak. Ambil je mana satu yang kau berkenan!”
“Hishh, mak ini! Muka yang secantik begini disuruh Dewi cari cowok begitu? Aduh, mak! Sedih sekali Dewi dengarin!”

“Dah kau yang merepek tak tentu pasal. Tak payah nak bermimpi di siang harilah Dewi oi! Dah, jom sambung kerja! Kang tak makan malam Tengku nanti!” tingkah Mak Ros dan terus berlalu ke dapur meninggalkan Dewi terkebil-kebil seorang diri.

Sementara di luar, Tengku Haiyan anak-beranak masih rancak bersembang bersama Izzul. Daripada bersembang kosong, perbualan mereka bertukar kepada topik yang lebih serius.

“Izzul, Mak Engku nak tanya ni. Boleh?”

“Apa yang tak bolehnya, Mak Engku. Tanya jelah. Apa dia?”

“Err... Mak Engku... Mak Engku...,”

“Ha! Dah kenapa pulak tergagap-gagap awak, Fina?”

          “Ishh, abang ni! Janganlah sergah saya macam tu kalau ya pun!” tingkah wanita itu kala Tengku Haiyan menepuk bahunya secara tiba-tiba.

            “Betullah. Tadi awak bukan main lagi minta izin nak tanya. Sekarang dah tak tercakap pulak. Kenapanya?”

            “Ha’ah, ma. Mama nak tanya apa sebenarnya ni? Cakap jelah. Izzul tengah tunggu tu. Hafiy pun tunggu jugak ni.”

“Yelah-yelah! Mama nak cakaplah ni. Err... Mak Engku nak tanya Izzul sikit ni.”

“Tanya apa, Mak Engku?”

“Tentang Irish.”

Serentak itu mata Izzul tepat merenung wanita di hadapannya. Malah Tengku Hafiy serta
 Tengku Haiyan juga turut berbuat perkara yang sama.

“Kenapa dengan adik saya, Mak Engku? Dia ada buat salah ke?”

       “Eh, bukan macam tu! Adik kamu tak ada buat salah apa pun. Cuma Mak Engku nak bertanyakan sikit tentang diri dia.”

              Kening Izzul berkerut. “Tentang diri dia? Maksud Mak Engku?”

          “Mama, strait to the point jelah. Kan senang!” pinta Tengku Hafiy. Dan tidak semena-mena tawanya pecah apabila dihadiakan satu jelingan tajam dari mamanya.

          “Kalau ya pun sabarlah sikit! Ermm.... macam ni. Mak Engku nak tanya Izzul. Adik kamu Irish tu dah berpunya ke?”

           “Setahu saya, Irish tak ada sesiapa buat masa ni. Itu yang dia cerita pada sayalah. Selebihnya, wallahualam. Kenapa Mak Engku tiba-tiba tanya?” Izzul menyoal lagi, sedikit pelik dengan pertanyaan wanita tersebut. Namun sebaliknya bagi Tengku Dafina. Jawapan Izzul itu sedikit sebanyak melegakan dirinya. Senyuman mula terbit di bibir.

“Macam ni, Izzul. Mak Engku ada hajat sebenarnya.”

Bagaikan dapat menangkap maksud yang tersirat disebalik kata-kata itu, jantung Izzul sedikit berdebar. “Hajat?”

“Ya. Hajat.”

“Hajat apa, Mak Engku?”

“Hajat untuk menyunting Irish, Zul.”

           Kali ini jantung Izzul bagaikan disentap. Tepat sekali jangkaannya sebentar tadi. Bukan sahaja Izzul, malah Tengku Haiyan serta Tengku Hafiy juga jelas terkejut.

            “What?? Sunting Irish?! Untuk siapa, ma?” laju soalan itu terlontar dari  Tengku Hafiy.

“Untuk adik kamu.”

“Harrys?”

“Iyalah. Siapa lagi. Takkan untuk kamu kut!”

Tengku Hafiy memandang papanya. Lelaki itu sekadar menjungkitkan bahu. Kemudian matanya beralih pada Izzul. Rakannya hanya menyepi tanpa suara. Dia tahu Izzul masih lagi dalam keadaan terkejut. Sedangkan dirinya juga masih sukar mempercayai apa yang disampaikan oleh mamanya itu.

“Harrys dah tahu ke pasal ni, Fina?” tanya Tengku Haiyan pada isterinya.

           “Belum lagi, bang. Saya ingat nak risik-risiklah pada si Izzul ni dulu. Kalau betul Irish tu masih belum berpunya, senanglah sikit saya nak buka cerita pada dia nanti.”

            “Boleh tahan jugak mama ni. Senyap-senyap dah jadi tukang cari jodoh nampak!” dalam
 keadaan yang sedikit tegang itu Tengku Hafiy masih sempat bergurau.
            “Hmm... kalau mama tak buat macam ni alamat adik kamu tu jadi bujang telajaklah jawabnya, Fiy. Susah betul bila cakap hal perempuan dengan dialah!”

            “Apa-apa pun, mama kena tanya tuan empunya badan tu sendiri. Tak naklah nanti jadi
 paksaan pada diorang pulak, ma.”

            “Sebab tulah mama nak tanya dulu ni. Apa pendapat kamu, Izzul?”

            Pertanyaan Tengku Dafina menyentakkan lamunan Izzul yang sedari tadi hanya terdiam tanpa kata. “Saya tak boleh nak buat keputusan sendiri, Mak Engku. Macam yang Hafiy cakap tadilah, kena tanya tuan empunya badan dulu. Dan lebih elok kalau Mak Engku dan Pak Engku datang ke rumah jumpa keluarga saya sendiri untuk sampaikan hajat ni.”

            Kali ini Tengku Dafina pula terdiam, seakan mengakui kata-kata Izzul itu.

         “Macam nilah. Biar kami sekeluarga bincang dulu, Zul. Hal kahwin ni bukan perkara main-main. Nak-nak pulak bukan pilihan sendiri. Mak Engku kamu ni pulak pandai betul simpan plan dia. Terkejut jugak Pak Engku dibuatnya!” Tengku Haiyan mengerling sekilas pada isterinya yang sudah tersipu malu.

            “Yelah, Pak Engku. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Dah nak Maghrib pun,” pinta Izzul lalu bangkit dari kerusi yang didudukinya. Salam dihulurkan pada kedua orang tua Tengku Hafiy sebelum dia beredar meninggalkan taman mini tersebut.

            “Kau okay ke?” soal Tengku Hafiy seraya memaut bahu Izzul.

            “Eh, okay. Asal pulak tak okay?”

            “Kalau apa yang mama aku cakap tadi buat kau tak selesa, abaikan jelah!”    

            “Eh, tak adalah! No hal. Mama kau pun baru buka mulut. Belum confirm lagi. So... aku gerak dululah, bro!”

Selepas berjabat tangan dan berpelukan, Izzul terus memasuki kereta sebelum menghidupkan enjin.

“Tapi kan... bagus jugak idea mama aku tu. Mana tahu boleh lembutkan hati adik aku yang dah keras tu. Dapat pulak beripar-duai dengan kau. Memang ngamlah!”

Kata-kata Tengku Hafiy itu hanya disambut gelakan kecil oleh Izzul. Setelah meminta diri, lelaki itu terus berlalu meninggalkan villa besar tersebut dengan hati yang sarat dengan seribu satu perasaan.

No comments: