Wednesday, November 26, 2014

BAB 30 : BAYANGAN GURAUAN





“ S
EMUA dah tidur ke, Ina?” Encik Izzuddin bertanya pada isterinya yang baru muncul dari arah dapur bersama Iman yang menatang dulang berisi minuman panas. Jam sudah menunjuk ke angka 12.30 tengah malam. Namun dia masih lagi menonton televisyen. Malam-malam minggu begini memang matanya jarang untuk lelap awal. Maklumlah, esok hari minggu. Jadi waktu-waktu beginilah dia bersantai di hadapan kaca TV.


       “Sudah kut, bang. Senyap dah semuanya.” Puan Qarina menjawab sambil menghulurkan secawan kopi panas kepada suaminya.

            “Cepat anak cucu awak tidur malam ni? Selalunya pukul 1.00 segar lagi masing-masing.”

            “Penatlah tu agaknya. Anak-anak kau dah tidur, angah?”

            “Dah, umi. Dah tidur dengan Rafie kat bilik tu.”

         Setelah menuangkan air untuk kedua orang tuanya, Iman turut menyertai mereka menonton televisyen. Kebetulan matanya juga masih belum mengantuk.

            “Laaa... ingat along sorang je belum tidur. Rupanya ada jugak belum tidur lagi!”

“Tak tidur lagi kau, long? Umi ingat dah tidur.”

“Belum, umi. Tak nak lelap pulak mata ni. Tu yang ke depan ni nak tengok TV. Tak sangka pulak ayah, umi dengan angah pun belum tidur lagi,” balas Izzul seraya mengambil tempat di sebelah Iman. Huluran minuman panas dari adiknya disambut.  

Begitu khusyuk mereka menonton rancangan ‘Bujang Lapok’ yang sedang ke udara di kaca TV. Sudah faham benar yang Encik Izzuddin memang merupakan peminat tegar fiem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Jadi tidak hairanlah jika mata lelaki itu masih segar walaupun sudah awal pagi. Cuma Izzul seorang yang tidak memberikan sepenuh tumpuan pada rancangan itu. Fikirannya sedang melayang mengingati sesuatu.

“Along...,” panggilan Puan Qarina mengejutkan Izzul dari lamunannya. “Along okay ke? Termenung je umi tengok dari tadi.”

“Eh, tak adalah. Mana ada along termenung, umi.”

“Kalau ada benda nak cakap, cakap jelah.” Soal Puan Qarina seakan mengerti. Agak lama juga anak sulungnya itu terdiam sebelum mahu membuka mulut.

            “Irish ada bagitahu apa-apa kat umi?”

            “Bagitahu? Maksud along? Umi tak faham.”

            “Maksud along ada ke Irish bagitahu apa-apa dengan umi pasal diri dia, dengan siapa dia
 berkawan sekarang, serius atau tidak. Lebih kurang macam tulah.”

            “Tak ada pulak. Along bukan tak kenal Irish tu macam mana. Manalah dia nak cerita kat orang lain. Tapi tak tahulah kalau dengan angah dia ada bercerita.”

            “Tak ada pun, umi. Yelah. Angah pun jarang balik, kan. Tak selalu jumpa. Biasanya dengan alanglah dia selalu share everything. Kenapa tiba-tiba along tanya pasal Irish ni?”

            “Tak ada apa. Saja ambil berat pada adik-adik along.”

            “Yelah. Tapi kenapa tiba-tiba pulak ni? Along jangan buat kitorang risaulah!”

          Tersenyum Izzul mendengar kata-kata Iman itu. Lantas bahu adiknya dipeluk. “Tak ada apalah, angah.”

          “Dengan along tak ada dia cerita ke? Kan dia manja dengan kamu.” Encik Izzuddin yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, bersuara tiba-tiba. Namun matanya masih lagi tidak berkalih dari televisyen di hadapan.

            “Tak ada. Cuma pernahlah dia bagitahu hati dia belum terbuka lagi untuk sesiapa.”

            Perlahan sahaja Izzul menuturkan kata-kata itu. Entah kenapa rasa sebaknya mula bertandang. Dan perasaan yang sama juga turut dikongsikan oleh yang lain, lebih-lebih lagi Puan Qarina. Suasana menjadi hening seketika. Hanya suara dari kaca TV saja yang kedengaran memenuhi segenap ruang tamu kala itu.

         “Umi, ayah. Ni along cuma nak tanya je. Kalaulah ada orang datang masuk meminang Irish tiba-tiba satu hari nanti, umi dengan ayah terima?” Izzul memberanikan diri bertanya tentang perkara itu, walaupun dia tidak berterus terang akan hal yang sebenar. Mungkin dengan cara ini dapat meringankan sedikit beban yang terpikul di bahunya.

“Bukan kami yang kena buat keputusan tu, long. Tu.... adik kamu tu yang patut ditanya. Ini soal masa depan dia. Kalau dia tak nak, takkan kita nak paksa.”

Encik Izzuddin menjawab pertanyaan itu dengan nada sedikit tegas. Memang sejak dulu dia tidak pernah masuk campur dalam urusan memilih pasangan hidup anak-anaknya. Baginya mereka sudah cukup besar dan dewasa. Jadi tiada masalah untuk memikirkan mana yang lebih baik untuk menjamin masa depan mereka nanti.

“Biarlah dia tentukan sendiri, along, angah. Jangan kita tambah lagi perit hidup dia,” kali ini Puan Qarina pula berbicara.

            “Doa jelah yang terbaik untuk adik kamu tu. Kalau pun tak ada orang masuk meminang dia, tak apa. Dia masih ada mak bapak lagi yang boleh jaga dia. Kalau esok lusa ayah dengan umi dah tak ada, kamu berdua yang tua ni yang kena tengok-tengokkan dia.”

            Sebaik Encik Izzuddin menghabiskan kata-katanya, suasana di ruang tamu itu kembali
 hening. Tiada lagi yang berani bersuara, lebih-lebih lagi Izzul. Melihatkan reaksi dari ayahnya, hati lelaki itu serta-merta dipagut rasa bersalah.  

            ‘Ya Allah. Mampukah aku tunaikan hajat itu?’



PENUH berhati-hati tangan wanita itu membancuh minuman panas di dalam cawan. Niat ingin melelapkan mata tadi terbatal apabila si suami memintanya menyediakan secawan kopi panas di tengah malam begini.  

            “Mama! Tak tidur lagi ke?”

            Bagai hendak terkeluar jantung Tengku Dafina dikejutkan sebegitu rupa. Mengucap panjang dia sambil mengusap-usap dada sebelum berpaling ke belakang.

            “Kamu ni, Hafiy! Kalau ya pun bagilah salam dulu. Terkejut mama dibuatnyalah!”

         Tengku Hafiy sudah mengekek ketawa melihatkan riak terkejut mamanya. “Okay, maam! Sorry, sorry!”

           “Suka! Nasib baik mama tak simbah kamu dengan air panas ni tadi!” tingkah wanita itu sambil memukul lembut bahu anaknya yang masih lagi ketawa sebelum menyambung semula kerjanya. “Ha! Yang kamu ni tak tidur lagi kenapa?”

            “Hafiy tengah siapkan kerja sikit kat bilik. Rasa haus pulak. Tu yang turun ni nak minum. Tengok-tengok mama ada kat sini. Saja jelah nak usik-usik manja.”

         “Usik-usik manja, ya? Kalau mama kena heart attack tadi macam mana? Bermalam kat hospitallah jawabnya!”

            “Ishh! Apa merepek mama ni! Yang mama pun tak tidur lagi kenapa? Haus jugak ke buat air ni?”

            “Bukan mama yang haus. Papa kamu tu.”

            “Eh! Papa pun belum tidur lagi? 

            “Belum. Ada kat dalam bilik bacaan tu. Adalah tu kerja yang dibuatnya. Korang anak beranak ni sama je. Cuti-cuti macam ni pun sibuk dengan kerja.” 

“Biasalah, ma. Kalau tak, tak adalah syarikat papa tu jadi macam sekarang. Lebih sikit usahanya, lebihlah sikit rezeki yang Allah bagi. Tak gitu?”

        “Hmm, betullah tu. Ha! Kamu nak minum apa ni? Bolehlah mama buatkan sekali,” tanya Tengku Dafina yang sudah selesai membancuh minuman untuk suaminya.

            “Sure ke ni, ma?”

          “Yelah. Dah cepat, nak minum apa ni?” soal wanita itu sekali lagi sambil tangannnya mencapai sebiji mug yang lain di dalam kabinet dapur.

            “Neslo panas. Boleh?”

            “Boleh. Tunggu sekejap mama buatkan.”

           Tengku Hafiy berlalu ke mini bar yang terdapat di ruangan dapur. Sambil menunggu mamanya menyiapkan minuman, terdetik di hati ingin bertanyakan satu perkara yang tiba-tiba terlintas di benaknya ketika ini. “Ermm... Hafiy nak tanya mama sikit boleh?”

             “Tanya apa?”

            “Mama serius ke dengan hajat mama tu?”

            “Hajat apa?”

            “Nak pinang adik Izzul.”

        Barulah kali ini tangan wanita itu terhenti. Dia kemudian berpaling memandang Tengku Hafiy.  “Kenapa kamu tanya macam tu? Nampak ke yang mama ni tak sungguh-sungguh dengan hajat mama?”

        “Bukan macam tu. Mama sendiri tahu Harrys tu macam mana, kan. Dan kita pun tak tahu penerimaan Irish nanti macam mana. Setuju ke tidak. Itu satu hal. Keluarga Izzul lagi. Lagipun diorang tak pernah bercinta. So, it’s quite complicated. Mama dah ready ke?”

“Maksud kamu?”

“Yelah. Mama dah ready dengan apa je keputusan diorang? Walaupun mama yang akan kecewa nanti bila hajat mama tu tak kesampaian.”

         Sebaik Tengku Hafiy menghabiskan kata-katanya, Tengku Dafina kembali memusingkan badan sebelum menyambung kerja. “At least we try, Hafiy. Sama ada mereka terima atau tak, itu belakang cerita. Yang penting mama akan cuba sedaya upaya mama untuk penuhi hajat tu. Walaupun keputusan mereka nanti sebaliknya, mama redha kalau Irish bukan jodoh Harrys.”

            Tengku Hafiy terdiam mendengar bicara wanita itu. Dalam hati dia turut mengiakan. Dia tahu mamanya bukan seorang yang cepat mengalah sebelum mencuba sesuatu perkara.

“Mama dengan papa kamu dulu pun tak bercinta, Fiy. Kenal pun tidak. Tahu-tahu jodoh dah dicarikan dengan atuk dan nenek kamu. Tapi Alhamdulillah, bahagia sampai sekarang.” Tengku Dafina menambah bicaranya lagi.

“Itu dulu, ma. Orang muda zaman dulu dengan sekarang dah tak sama. Masing-masing kalau boleh nak cari pasangan sendiri. Baru serasi katanya.”

“Itu cakap orang yang tak nak mencuba. Kahwin dengan pilihan sendiri pun ramai jugak yang bercerai-berai, kan? Kalau dah ditakdirkan itu memang jodoh kita, pilihan orang tua pun kalau dapat restu kedua-dua belah keluarga Insyaallah akan kekal bahagia sampai akhir hayat. Memanglah tak salah nak cari pilihan sendiri. Tapi kalau dah perangai macam adik kamu tu, cuba bagitahu mama sampai bila kita nak tunggu dia dapat calon? Hmm?” bidas Tengku Dafina yang ketika itu sudah selesai dengan kerjanya. Kemudian dia datang menghampiri Tengku Hafiy sambil memegang dua biji cawan di tangan.

            “Betul jugak cakap mama tu. Alamat berjanggutlah jawabnya nak tunggu. Entah-entah dalam kepala dia sekarang pun belum tentu terlintas nak cari sorang perempuan buat isteri.”

            “Kan? Betul tak? Kamu pun tahu adik kamu tu macam mana. Hai! Manalah mama tak risau, Hafiy. Ingat dah balik ke sini berubahlah jugak. Hmm.... sama!”

Tengku Hafiy kembali tertawa. Memang begitulah selalunya apabila cerita berkenaan Tengku Harrys sudah dibangkitkan. Dan pada dialah tempat mamanya itu selalu meluahkan kerisauannya. Hendak atau tidak, terpaksalah dia menadah telinga mendengar bebelan wanita itu. Namun dia tahu, mamanya itu cuma ingin melihat anak-anaknya hidup bahagia sebelum dia menutup mata dengan tenang.

        “Dah. Pergi naik atas siapkan kerja kamu cepat. Nanti lewat pulak. Ni air kamu mama dah siapkan. Mama pun nak hantar air papa ni kat bilik bacaan. Tertunggu-tunggu pulak papa kamu tu nanti,” arah Tengku Dafina sambil menyerahkan sebiji cawan berisi neslo panas pada anak bujangnya itu.

         “Baiklah, maam!” Tengku Hafiy menyambut huluran itu lalu bangun dari kerusi yang diletakkan di mini bar tersebut. “Anyway, thanks ma buatkan air untuk Hafiy,” ucapnya. Sempat lagi dia mengusik mamanya dengan menghadiahkan satu ciuman di pipi wanita itu sebelum berlalu pergi, membuatkan Tengku Dafina terjerit kecil.

               “Ishh! Dari kecik tak berubah-ubah! Esok dah kahwin tak tahulah macam mana!”

         “Dah kahwin nanti Hafiy cium pulak pipi wife Hafiy!” balas lelaki itu selamba bersama tawanya yang kedengaran sekali lagi dari balik dinding dapur.

            Tengku Dafina hanya mampu menggeleng kepala melihat kerenah anaknya yang satu itu. Dari kecil hinggalah sekarang sikap cerianya sentiasa hadir dalam diri. Berbeza dengan anak lelakinya yang seorang lagi. Pendiam dan lebih suka memendam perasaan. Dua karakter yang amat berbeza, namun sering bersependapat dalam semua hal. Kecuali berkenaan perempuan.

       ‘Ya Allah Ya Tuhanku, Kau bukakanlah pintu hati anakku itu. Dan ku mohon agar Kau permudahkan segala urusan untuk melunaskan hajatku nanti!’ Doa wanita itu di dalam hati sebelum dia turut sama meninggalkan ruangan dapur untuk ke bilik bacaan.


No comments: