Saturday, April 4, 2015

BAB 42 : BAYANGAN GURAUAN







H
ANYA tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum majlis pertunangan Tengku Harrys dan Irish akan berlansung. Kedua-dua belah keluarga sudah mula membuat persiapan. Dan hari ini Tengku Dafina merancang untuk membeli-belah barangan yang diperlukan untuk majlis tersebut bersama Puan Qarina serta Irish. Cuma dengan anak bujangnya itu sahaja yang masih belum diberitahu tentang rancangannya ini.
             “Kak Ros, ada nampak Harrys?”

          Mak Ros yang ketika itu sedang mengelap almari cermin di suatu sudut, lansung menoleh. “Tak ada pulak, Tengku.”

            “Dewi, kamu ada nampak ke?”

       “Itu Mas Harrys kayanya lagi berjogging, Ibu Tengku. Lepas minum pagi tadi dia terusan keluar.”

            “Hmm, tak apalah. Nanti kalau dia balik tolong bagitahu saya cari dia ya, Dewi.”

            “Iya, Ibu Tengku.”

            “Mama cari Harrys ke?”

         “Lorr! Ini dia, Ibu Tengku. Baru dibilangin, udah muncul!” tingkah Dewi bila melihat anak majikannya itu mucul di muka pintu utama villa dengan pakaian sukan.

            “Ha... panjang pun umur kamu, Harrys. Baru balik?”

           Tengku Harrys membalas dengan sebuah anggukkan. Dia kemudian melandaikan tubuh di atas sofa sebelum menghidupkan televisyen di ruangan itu. “Dari luar tadi dengar sebut-sebut nama Harrys. Kenapa?”

            Tengku Dafina bergerak menghampiri anak bujangnya itu lalu mengambil tempat di sebelah. “Harrys ada keluar ke mana-mana ke hari ni?”

            “Tak ada kut,” jawab lelaki itu bersahaja.

            “Jom, teman mama.”

            “Ke mana?” 

“Tanya ke mana pulak? Pergi cari barang tunanglah. Tinggal sebulan je lagi majlis, kan?”

Tengku Harrys sekadar diam membisu. Matanya lansung tidak dikalih dari kaca televisyen di hadapan.

“Hey, Rys! Diam pulak dia. Kamu tak nak cari barang-barang hantaran kamu ke?”

“Mama pilih jelah mana yang mama berkenan. Harrys ikut je.”

            “Eh, macam tu pulak? Kamu tu muda. Mama ni dah tua. Kang mama pilih ikut citarasa
 mama nanti kamu tak suka.”

            “Tak adalah. Harrys tak kisah. Lagipun Harrys ada kerja nak kena siapkan hari ni.”

          “Betul ni kamu tak nak ikut? Tak menyesal?” soal Tengku Dafina meminta kepastian. Sekali lagi Tengku Harrys membalas dengan satu anggukkan. “Hmm, okaylah. Nanti mama suruh Irish je yang pilihkan barang-barang kamu tu.”

Seraya itu Tengku Dafina bangkit dari sofa untuk naik ke tingkat atas dan bersiap-siap. Namun belum pun sempat dia bangun, tangannya pantas disambar oleh Tengku Harrys hinggakan dia terduduk semula. 

            “Ishh! Kamu ni kenapa, Harrys?!”

            Tengku Harrys tidak mengendahkan soalan itu. Matanya dikecilkan, merenung tepat ke wajah mamanya. “Irish?”

            “Ha, yelah! Sekejap lagi mama nak keluar dengan Irish dan maknya. Nak beli barang-barang untuk majlis kamu berdua nanti.”

        Mendengarkan nama itu, Tengku Harrys lantas mematikan televisyen dan kemudian terus bangun menuju ke tangga.

            “Hah! nak ke mana pulak tu?”

            “Naik ataslah. Bersiap. Tadi kata nak Harrys temankan.”

            Pantas lelaki itu mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Tengku Dafina yang masih di sofa lansung terpinga-pinga. Kedua-dua pembantunya dipandang silih berganti.

“Tadi bukan main liat lagi budak tu. Sebut nama Irish je, terus bangun!”

        “Petanda baiklah tu, Tengku. Hati yang keras dah mula cair nampaknya.” Mak Ros mula bermadah sambil tersenyum-senyum.

            “Ya, iya sih! Sepertinya cinta udah mula berputik. Dewi juga udah boleh bau dari sini, Ibu Tengku!” seloroh Dewi berjenaka, membuatkan ketawa berderaian di antara mereka bertiga.

            “Ada-ada je kamu ni, Dewi. Hmm... Mak Engku nak naik dululah bersiap. Melayan kamu sampai esok pun takkan habis!” Tengku Dafina sudah bangun dari duduknya. Sebelum beredar sempat lagi dia berkata sesuatu. “Tapi kalau betul apa yang kamu cakap tu Dewi, Alhamdulillah. Harap-harap masin mulut kamu!”

“Ya, pastilah! Mulut Dewi kalau bilangin sesuatu, pasti benaran menjadi!” 



PUKUL berapa umi janji dengan Tengku nak jumpa?” Irish menyoal uminya sebaik mereka
 berdua tiba di tempat yang dijanjikan.

           “Tengku cakap dalam pukul 11.00 pagi. Tu pun kalau tak jammed. Maklumlah hari ni kan hari Sabtu.” Puan Qarina melihat jam di tangannya. “Sekarang baru pukul 10.30. Ada setengah jam lagi. Kita nak buat apa ni, Rish?”

            “Kita pegi minum dulu, umi. Boleh?”

            “Yelah.”

           Irish menggamit lengan Puan Qarina berjalan menuju ke dalam restoran Subway yang terdapat di pusat membeli-belah The Mines itu. Pada Tengku Dafina sudah dimaklumkan keberadaan mereka ketika ini. Daripada minum sambil berborak kosong, perbualan mereka menjadi serius apabila topik mengenai persiapan majlis pertunangan Irish mula dibincangkan.

            “Assalamualaikum.”

          Salam itu dijawab oleh mereka berdua. Melihat tuan punya suara, lansung kedua beranak itu bangun dari kerusi.

          “Maaflah ya lambat sikit. Jammed tadi. Dah lama sampai Kak Ina, Irish?” tanya Tengku Dafina lalu bersalaman dengan kedua-duanya.

       “Tak adalah, Tengku. Sampai pukul 10.30 tadi. Tu yang si Irish ajak minum dulu. Tapi tak adalah menunggu sangat bila dah berborak ni.” 

“Oh, ya? Hmm... risau saya kalau buat orang tertungu-tunggu ni!”

Irish hanya tersenyum mendengar perbualan di antara kedua wanita itu. Namun hanya sebentar saja senyuman itu melirik di bibir kala matanya menangkap kelibat seseorang yang sedang berjalan ke arah mereka. 

            “Mama.”

          “Ha, Harrys. Sampai dah?” tutur wanita itu sebaik terpandangkan anaknya. Disebabkan mereka terlewat sedikit tadi, Tengku Harrys menurunkannya di pintu utama pusat membeli-belah itu dulu sebelum meletakkan kereta di tempat parkir. “Mari salam dengan Aunty Ina.”

“Ishh! Tak payah aunty-auntylah, Tengku. Makcik Ina cukuplah. Terasa macam orang putih pulak!”

“Mana-mana pun boleh, kak. Akak pun jangan bertengku-tengku dengan saya. Panggil Fina je dah cukup. Kita pun nak berbesan kan tak lama lagi!” pinta wanita itu. “So, bolehlah kita gerak sekarang? Banyak barang nak dibeli ni. Takut tak sempat pulak nanti.”

Tengku Dafina berjalan bersama Puan Qarina mendahuli di hadapan. Semetara Irish hanya mengikuti mereka berdua. Tengku Harrys pula berjalan di belakangnya.

“Kenapa tak bagitahu?”

Spontan Irish menoleh. Tidak sedar entah bila lelaki ini sudah berada di sebelahnya. “Bagitahu apa?”

            “My mom ajak keluar hari ni,” ujar Tengku Harrys. Wajahnya hanya ditala ke hadapan zambil kedua tangan dimasukkan ke dalam saku jeansnya.

            “Saya pun baru tahu pagi tadi,” terang Irish. Terasa janggal pula berjalan begini dengan lelaki di sebelahnya. Seakan semua mata-mata di situ memerhatikan mereka berdua.

          Kedai pertama yang dimasuki oleh mereka ialah sebuah kedai berjenama yang menyediakan kelengkapan pakaian lelaki. Kalau sudah berjenama terkenal, harganya pun tentu-tentulah mahal. Tetapi apalah sangat pada mereka yang berduit. Irish dan Puan Qarina memilih untuk duduk sahaja di sofa yang disediakan di satu sudut sementara menanti Tengku Harrys memilih barang-barangnya sambil ditemani Tengku Dafina.

            “Irish.”

            “Ya, Mak Engku.”

            “Harrys panggil kamu tu.”

            Kening Irish berkerut. “Panggil Irish?”

           “Ha’ah. Pergilah. Adalah tu yang dimahukannya. Bagi Mak Engku berbual pulak dengan umi kamu kat sini, ya?” ujar wanita itu yang sudah pun duduk sambil tersenyum pada Puan Qarina di sebelah.

           ‘Ada apa dia panggil aku, ya?’ detik hati Irish. Langkahnya diatur ke arah Tengku Harrys yang sedang memilih kemeja di salah sebuah rak yang terdapat di situ.

            “Tengku panggil saya?”

            Tengku Harrys yang membelakangi Irish ketika itu segera berpaling. “Hmm.”

            “Kenapa?”

            “Boleh pilihkan baju untuk saya?”

            Irish termangu. “Saya? Pilihkan?”

            Tengku Harrys membalas dengan sebuah anggukkan. Dia berundur sedikit ke belakang untuk memberi ruang pada Irish memilih kemeja yang digantung bersusun pada sebuah rak. Hendak atau tidak, terpaksa juga Irish akur dengan permintaan itu. Bagaimana dia ingin memilih sedangkan citarasa lelaki itu lansung tidak diketahuinya. Tangan Irish mula membelek-belek setiap helaian kemeja yang bersusun di situ.

            “Tengku suka warna apa?” soal Irish pada lelaki itu.

            “What’s your favourite color?”

       ‘Hmmh... orang tanya dia, dia tanya orang balik!’ ngomel gadis itu. Kalau ditanya warna kesukaannya, semua dia suka. Sesaat dua dia memikir, bibirnya menguntum senyum.

          “Pink.” Mulut kecil itu dengan selamba menyebut warna tersebut. Sengaja dia ingin melihat reaksi Tengku Harrys. Sudah pasti lelaki itu akan menolak.

            “So, choose that color.”

            “Hmm??” Pantas Irish berpusing memandang lelaki itu.

            “Yes. Just choose if that’s your favourite color.”

         Irish merenung wajah lelaki itu. Rasa bersalah mula bertamu. Dia yang ingin menyakat, dia pula yang terasa bersalah sekarang ini. Irish berpaling kembali menghadap kemeja-kemeja di hadapannya. Akhirnya dia mencapai satu kemeja berwana hitam bercampur maroon gelap. Memang cantik kemeja itu. Ditambah dengan rekaan coraknya. Hatinya turut berkenan.

            “Yang ini.” Irish menyerahkan kemeja itu pada Tengku Harrys.

            “You said pink just now?”

            “Saya rasa ini lebih sesuai untuk Tengku.

Tengku Harrys menyambut huluran itu sebelum Irish berlalu meninggalkannya. Satu senyuman lantas menghiasi bibir. Bukan dia tidak tahu gadis itu sengaja ingin menduganya. Namun dirinya pula yang terkena. Dan satu kepuasan bila dapat melihatkan wajah kalut Irish yang nyata terkejut dengan reaksinya. Tengku Harrys menggeleng-geleng kepala bersama senyuman yang masih terselitt di bibir.

‘Hati kau sukar ditebak, Irish. But I know you hide something special inside there.’


“IRISH, Mak Engku rasa butik ni okay. Irish pilih je mana yang berkenan. Mak Engku akan bayar nanti,” tutur Tengku Dafina kala sudah berada dalam sebuah butik kelengkapan wanita.

“Fina, tak apalah. Barang-barang Irish biarlah kami yang bayar sendiri. Tak sedap pulak macam tu, kan.”

“Ishh! Tak apa, Kak Ina. Saya memang dah niat. Lagipun Irish ni dah macam anak saya sendiri. Saya rasa Irish pun tak kisah. Ha, Irish. Pergilah pilih mana yang Irish suka. Tak payah fikir apa-apa. Ambil je. Mak Engku nak pergi bershopping dengan umi kamu kat belah sana. Harrys teman Irish, ya?”

Tanpa menunggu jawapan dari anaknya, Tengku Dafina terus menggamit tangan Puan Qarina berlalu dari situ. Irish pula hanya mampu memandang kelibat kedua-dua wanita tersebut sehingga mereka menjauh.

“Tunggu apa?”

“Hmm?”

Go and pick your stuffs.”

Irish tidak menjawab. Hanya wajah Tengku Harrys direnungnya sedikit geram. Lelaki ini kalau tidak terkejutkannya tidak sah barangkali.

“Kenapa? Ke nak saya dukung? Dah penat, kan?” soal Tengku Harrys.

Laju Irish menggeleng. Pantas dia meninggalkan Tengku Harrys dan mula melihat-lihat barangan di situ. Sekadar memilih barang-barang yang tidak terlalu mahal harganya. Walaupun Tengku Dafina sudah menyatakan semua perbelanjaan akan ditanggung olehnya. Itu bukanlah alasan untuk dia mengambil kesempatan.

Irish bergerak ke bahagian yang menempatkan pelbagai fesyen tudung. Dia jadi rambang mata seketika. Tidak tahu hendak memilih yang mana satu. Setiap rekaan tudung dibeleknya. Sedang dia leka membelek, tangan sesorang menghulurkan sesuatu. Irish mengangkat wajah.

‘Bukan tadi dia duduk baca majalah kat sana ke? Macam mana tiba-tiba boleh tercegat kat sini?’ Wajah lelaki di hadapan di pandang. “Apa ni?”

Tengku Harrys tidak menjawab. Sebaliknya dia mengangguk sambil tangan masih menyuakan sehelai tudung pada Irish. Perlahan Irish menyambut huluran tersebut.

It will looks perfectly beauty on you.” bicara Tengku Harrys lembut. Kemudian dia berlalu meninggalkan Irish di situ sebelum kembali duduk di kerusi menunggu. Majalah yang ditinggalkannya tadi ditatap semula.

Irish membuka lipatan tudung itu. Sehelai selendang yang agak menarik rekaan serta gabungan warnanya ditatap dengan penuh minat. Entah kenapa dia jadi berkenan dengan selendang itu. Bibirnya menguntum senyum. Perlahan matanya melirik pada Tengku Harrys. Dan kebetulan lelaki itu juga sedang merenung ke arahnya. Pandangan mereka berlaga seketika sebelum Irish berpaling semula membelakangi lelaki itu. Dalam diam pujian tadi meresap perlahan ke dalam sanubarinya. Bibirnya tersenyum lagi.

Irish memulangkan kembali tudung yang dibelek tadi. Tudung yang diberi oleh Tengku Harrys diambil dan diletakkan di kaunter bersama barang-barang yang telah dipilih.

“Apalagi yang belum, ya?” bicaranya sambil mata melilau melihat sekelililing butik itu. Sehinggalah pandangannya terhenti pada bahagian sudut kasut yang agak berjauhan dan tersorok sedikit dari yang lain. Tinggal satu itu saja sebelum ‘tour’nya di dalam butik ini tamat. Kakinya kembali dihayun. Dalam melangkah matanya sempat mengerling Tengku Harrys yang kelihatan
 khusyuk menatap majalah.

Tiba di bahagian itu, Irish terus melihat pelbagai rekaan kasut yang dipamerkan. Lantas sepasang kasut tumit tinggi beserta sepasang wedges yang agak menarik dicapai. Duduknya terus dilabuhkan di sebuah kerusi sebelum mula mencuba kasut-kasut tersebut.

“Seronok shopping?”

Satu suara menegurnya tiba-tiba, membuatkan Irish mengangkat sedikit kepala. Dan kala melihat satu susuk tubuh sedang tegak berdiri di hadapannya, pantas Irish mendongak. Serta-merta air mukanya berubah bila mata menangkap seraut wajah yang sudah lama jauh dari penglihatannya. “Reza.”

Yes! It’s me.” Lelaki itu tersenyum. Kacamatanya ditanggalkan sebelum melabuhkan duduk di sebelah Irish. “Luckily you still remember me.”

Irish masih lagi terkaku. Matanya tidak berkelip memandang lelaki di sebelahnya. Sudah hampir tiga tahun dia tidak bertemu dengan lelaki ini. Sejak pertemuan terakhir mereka dulu. Namun hari ini tiba-tiba sahaja Reza muncul semula di hadapannya.

“Kenapa? Terkejut? Tak sangka akan jumpa aku kat sini?”

Agak sinis kata-kata itu kedengaran di telinga Irish. Kata ganti ‘aku’ yang diucapkan oleh Reza juga sedikit mengejutkannya. Sepanjang perkenalan mereka, inilah kali pertama Reza menggunakan perkataan itu. Perasaan benci yang sudah bercambah semenjak tiga tahun dulu terhadap lelaki ini kembali mengetuk tangkai hatinya. Irish memalingkan mukanya dari terus memandang lelaki di sebelah.

“Awak nak apa?” soal Irish sedikit keras. Kasut yang dicubanya tadi dibuka kembali. Hilang sudah moodnya untuk memilih dek kedatangan lelaki ini.

“Tak ada apa-apa. Saja nak tengok cik adik manis kita ni yang tengah seronok bershopping untuk majlis tunang dia.”

Spontan pergerakan Irish terhenti. Sedikit terkejut dengan apa yang didengar dari mulut Reza. Bagaimana lelaki ini boleh tahu sedangkan keluarganya tidak pernah bercerita pada sesiapa akan hal pertunangan itu? Setahu dia hanya keluarga serta saudara-saudara terapatnya sahaja yang dimaklukan tentang majlis tersebut.

“Tak sangka, kan. Akhirnya dapat jugak kau cari pengganti aku. Lebih cepat dari yang aku sangka. And jauh lebih kaya dari aku. Well done, Irish!” ujar Reza bertepuk tangan sambil mulutnya tidak henti-henti ketawa.

Irish hanya diam membisu walaupun kata-kata Reza semakin panas menusuk ke telinga.
 Matanya dipejamkan, beristighfar memujuk diri untuk terus bersabar. Tangannya juga sudah tergenggam kemas menahan gelodak hati yang semakin memuncak.

Melihatkan Irish terus berdiam, Reza berasa sedikit tercabar. Tidak terasakah gadis ini dengan kata-katanya? Tetap tenang sahaja. Malah satu hal yang tidak dapat disangkalnya tentang gadis ini, dia sangat tabah. Malah lebih kuat dari Irish yang dikenalinya dulu.

“Kalau tak ada apa nak cakap lagi, please leave me now.” Irish terus membuang pandangnya ke tempat lain. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu matanya melihat wajah lelaki yang telah banyak melukakan hatinya ini.

Okay! Aku pergi. Anyway... have a nice enggagement day, Irish! Send my regards to that lucky guy. And...,” Reza mendekatkan dirinya pada Irish sebelum menyambung kata-katanya semula. “.... aku nak tengok sejauh mana senyuman di bibir kau tu akan bertahan bila rahsia sudah tidak akan menjadi rahsia lagi nanti.”

Sepantas kilat Irish menoleh. Satu renungan tajam diberikan pada Reza, mencari maksud di sebalik kata-kata lelaki itu. Hatinya bertambah sakit bila melihat ketawa sinis Reza yang semakin galak di pendengarannya. Genggaman tangan Irish semakin erat. Airmatanya juga sudah bertakung di tubir, hanya menunggu saat ia akan gugur.

Reza mengenakan kembali kacamatanya bersama sisa tawa di bibir. “Bye, sayang.”

Serentak itu dia bangun dari kerusi dan terus berlalu meninggalkan Irish. Hatinya berasa puas. Puas kerana dapat melepaskan rasa sakit yang tebuku di hati sejak khabar pertunangan gadis itu singgah di telinganya.

“Itu tak sepenuhnya, Irish. Kita tunggu dan lihat apa akan berlaku nanti.”    

Irish menghantar kepergian Reza dengan satu pandangan. Hinggalah kelibat lelaki itu menghilang, renungan Irish masih tidah berganjak. ‘Apalagi yang kau nak? Tak cukup lagi ke beban yang kau tinggalkan untuk aku selama ni? Belum puas lagi hidup aku kau nak seksa? Sampai bila?!’ hati kecil Irish menjerit. Airmata yang ditahan sedari tadi gugur jua akhirnya.

“Irish.”

Spontan Irish menoleh. Namun wajahnya dilarikan kembali sebaik terpandangkan kelibat Tengku Harrys yang sudah bersandar sambil berpeluk tubuh di salah sebuah rak di situ. Segera dia menyeka airmata yang jatuh berjuraian di pipi, tidak mahu lelaki itu menyedarinya.

Are you okay?” tanya Tengku Harrys.

“Ya.”

Our moms are waiting you.”

            Mendengarkan itu, Irish bingkas bangun. Dua pasang kasut yang dicubanya tadi diletakkan kembali ke tempat asal. Dengan tergesa-gesa dia melangkah untuk beredar dari situ.

            “Where your shoes?”

            Langkah Irish terhenti. “Hmm?”

            “Dah lama duduk kat sini takkan satu kasut pun tak ada yang berkenan?” 

            Irish mengetap bibirnya. Sesaat dia berpatah balik dan mengambil semula kasut tumit tinggi yang telah dicubanya tadi tanpa berfikir lagi. Kemudian gadis itu terus berlalu melewati Tengku Harrys dan menapak ke kaunter pembayaran untuk meletakkan kasut tersebut sebelum mendapatkan uminya yang sedang berbual-bual bersama Tengku Dafina.

            “Dah pilih semuanya, Irish?”

“Dah, Mak Engku.”

“Kalau dah tunggu sini sekejap, ya. Mak Engku pergi bayar dulu,” ujar wanita itu lalu beredar menuju ke kaunter.

            “Irish ke mana lama sangat?”

            “Pilih kasut tadi. Lama ke umi tunggu?”

            “Hmm... kalau bancuh kopi dah boleh duduk minum kat sini pun!”

            Irish tergelak kecil. “Ishh! Ada sampai macam tu umi ni.”

            “Eh, apa yang tak betulnya!” Puan Qarina turut sama tergelak.

            “Amboi! Seronoknya dua beranak ni ketawa.”

            “Dah sudah, Fina?” soal Puan Qarina bila melihat wanita itu sudah kembali semula.

         “Belum. Tu... dok berebut bayar dengan anak bujang sorang tu. Katanya itu barang-barang bakal isterinya. Jadi biar dia yang bayar. Dengan kita-kita punya sekali diangkutnya!”

          Tawa kedua-dua wanita itu berderaian di situ. Irish pula sekadar membisu. Sekilas dia menoleh pada Tengku Harrys. Lelaki itu masih dengan urusannya di kaunter pembayaran. Tidak tahu mengapa tiba-tiba satu perasaan sedang memberat di jiwanya saat ini. Yang nyata dia tidak senang dengan kemunculan Reza. ‘Apa yang lelaki itu mahukan sebenarnya?’

Serta-merta satu keluhan berat terbit di celahan bibir gadis itu.   

            
BUTIK Pengantin D’Sara yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Petaling Jaya itu menjadi destinasi terakhir mereka setelah seharian suntuk masa dihabiskan untuk membeli-belah. Tengku Dafina sendiri yang memilih butik tersebut untuk tempahan hantaran, persalinan pertunangan serta kelengkapan yang perlu ada semasa hari pertunangan nanti. Puas Puan Qarina menolak. Namun kalau sudah Tengku Dafina yang bersuara, tiada siapalah yang mampu membantah. 

            “Assalamualaikum.”

        “Waalaikumussalam. Eh, Tengku!” Kelihatan seorang wanita dalam usia lingkungan empat puluhan menyambut kedatangan Tengku Dafina dengan penuh ramah. “Sampai pun! Ingatkan tak jadi datang tadi!”

            “Eh, apa pulak tak jadi. Jadi! Cuma lambat sikit. Maaflah buat Sara tertunggu-tunggu.”

            “Eh, tak ada masalah pun. Janji Tengku sampai!”

            Setelah memperkenalkan Sara yang merupakan pemilik butik tersebut pada yang lain, Tengku Dafina terus mengajak wanita itu untuk berbincang mengenai perancangan majlis pertunangan Tengku Harrys dan Irish.

            “Mama.”

            “Ya, Harrys. Kenapa?”

          “Mama pergi dulu dengan Makcik Ina. Harrys nak cakap dengan Irish sekejap,” pinta lelaki itu. Irish yang nyata terkejut, spontan memandang Tengku Harrys.

“Hmm, yelah. Jangan lama-lama. Banyak benda nak dibincang ni.”

Tengku Harrys sekadar mengangguk. Wanita yang bernama Sara itu kemudian membawa Tengku Dafina serta Puan Qarina masuk ke dalam pejabatnya yang terletak di sudut kanan butik.

What’s wrong with you?”

Soalan pertama diajukan Tengku Harrys sebaik kelibat ketiga-tiga wanita tadi hilang dari pandangan. Duduknya sudah dilabuhkan pada sebuah meja sambil berpeluk tubuh. Mujur tiada sesiapa berada di ruangan itu ketika ini. Irish di belakang hanya dikerling melalui ekor mata.

            “Kenapa dengan saya?” soal Irish kembali tidak mengerti.

        “I’m asking you, Irish. What is wrong with you?” kali ini suara Tengku Harrys kedengaran sedikit tegas. Sejak di dalam butik pakaian wanita tadi tingkah laku Irish dilihatnya berubah. Selepas dia membiarkan gadis itu memilih kasut sendirian. Semasa mereka singgah makan di sebuah restoran tadi juga gadis itu lebih banyak diam dan termenung. Tidak pasti apa sebabnya. Yang pasti, dia perasan Irish menyeka airmatanya sewaktu dia memanggil gadis itu ketika sedang memilih kasut tadi.

Tengku Harrys bangun dari duduknya bila soalannya terus dibiarkan sepi. Perlahan dia melangkah mendekati Irish. Gadis itu seperti biasa hanya tertunduk membisu.

            “Irish.”

            “Saya okay, Tengku.” Perlahan Irish menjawab. Suaranya sudah mula bergetar.

            “Irish Qiara...,”

          “Saya okay. Tak ada apa-apa,” balas Irish memintas ayat Tengku Harrys. Dia sudah tidak betah lagi untuk berada di situ. Segera dia meminta diri sebelum airmatanya akan gugur. “Saya masuk dalam dulu.”

            Baru selangkah Irish menapak, lengan kirinya terasa dicapai. Tindakan itu membuatkan dia berpusing kembali menghadap Tengku Harrys hingga terdorong ke hadapan, tepat mengenai tubuh lelaki itu.

           “I know you were not okay!” tingkah Tengku Harrys geram. Bertambah geram bila dia melihat air jernih yang sudah gugur di pipi Irish.

            Irish hanya terkaku memandang Tengku Harrys. Kejap pegangan lelaki itu pada kedua belah lengannya hingga dia tidak dapat bergerak lagi. Jarak yang memisahkan mereka juga kini hanya sejengkal sahaja. Hinggakan Irish dapat merasa nafas Tengku Harrys yang turun naik dengan laju. Kulitnya yang cerah juga sudah kemerahan. Benar, lelaki itu sedang menahan marah. Irish tertunduk. Tidak sanggup bertentang mata dengan lelaki di hadapannya. Lebih tepat, dia tidak mahu Tengku Harrys mengetahui punca sebenar mengapa dia berubah menjadi begini.

            “Lepaskan saya, Tengku.”

          “No! Until you tell me!” tegas Tengku Harrys, walaupun hatinya terpukul melihat airmata gadis itu.         

“Harrys! Irish!”

            Pantas kedua-duanya menoleh.

           “Masuk bincang mari!”

Sekali lagi suara itu kedengaran. Namun pegangan Tengku Harrys masih lagi kejap. Irish semakin risau. Risau sekiranya Tengku Dafina datang ke sini dalam keadaan mereka begini. Irish memandang semula Tengku Harrys, mencari anak mata lelaki itu. Direnung sedalamnya mata itu memohon simpati agar dirinya dilepaskan.

Please...,” rintih Irish. Setitis airmatanya gugur lagi di pipi.    

Melihatkan itu, Tengku Harrys melonggarkan pegangannya perlahan-lahan. Sekaligus memberi ruang pada Irish untuk berundur beberapa tapak ke belakang, menjarakkan diri darinya. 

“Saya minta maaf...,” ucap Irish dan terus berlalu tanpa menoleh ke belakang lagi.

Tengku Harrys masih tidak berganjak dari tempatnya. Hanya pandangannya menghantar Irish melangkah pergi, walaupun hatinya enggan melakukan demikian. Bukan kerana dia takut akan kehadiran mamanya. Tetapi dia tewas dengan airmata gadis itu!  


No comments: