Friday, July 3, 2015

BAB 44 : BAYANGAN GURAUAN






“C
IK Irish!” panggil Insyirah sebaik dia memasuki bilik ketuanya. Irish yang ketika itu sedang mencari fail yang bersusun di atas rak, pantas menoleh. Kelihatan pembantunya itu sedang berdiri di muka pintu bersama berapa fail bertimbun di tangan. Tercungap-cungap gadis itu membawa fail-fail yang datang entah dari mana.

“Eh, Insyirah! Kenapa ni? Awak dari mana sampai bawa fail sebeban macam ni?” Irish menyoal. Segera dia mendapatkan gadis itu. Diambilnya separuh dari fail tersebut lalu diletakkan di atas mejanya. Insyirah turut berbuat yang sama.

“Huh! Rasa macam nak patah tangan ni!”

“Awak dari mana sebenarnya, In? Mana awak dapat semua fail-fail ni?”

“Dari bilik Encik Naufal. Dia yang suruh saya serah semua fail ni kat Cik Irish.”

“Hmm? Serah kat saya? Fail apa sampai banyak macam ni?” Irish pantas membuka fail-fail di atas meja dan diselak satu demi satu untuk melihat isi kandungannya.

“Entahlah, Cik Irish. Saya pun tak tahu. Tapi sebenarnya arahan ni bukan direct dari Encik Naufal.”

Irish memandang Insyirah. Matanya dikecilkan. “Habis tu dari siapa?”

“Tengku Harrys.”

Kali ini kening Irish pula berkerut. “Kenapa, ya?”

Insyirah hanya menjugkitkan bahu sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Saya cuma tolong bawakan ke sini je, Cik Irish.”

Irish kembali menyelak fail-fail tersebut bersama Insyirah. Ingin mencari tahu dokumen-dokumen yang terkandung di dalamnya. Sedang mereka membelek-belek, kedengaran satu suara memberi salam.

“Saya menganggu ke?” sapa Tengku Harrys yang sudah tegak berdiri di bilik itu.

 “Eh! Tak adalah, Tengku.” Insyirah membalas.

            “Saya tengok pintu tak tutup. Jadi saya terus masuk. Sorry.”

           “Tak apa, Tengku. Saya yang masuk tadi bawakan fail-fail yang Tengku suruh hantar pada Cik Irish ni.”

            “Hmm. Thanks, Insyirah.”

            “Sama-sama. Err... Cik Irish. Saya keluar dululah, ya. Kalau ada apa-apa call me, okay!”

          Irish hanya tersenyum. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Walau hatinya menjerit tidak mahu Insyirah keluar meninggalkannya dengan Tengku Harrys berdua di sini. Sejak insiden yang berlaku sewaktu keluar membeli-belah untuk persiapan tunang tempoh hari, mereka lansung tidak berjumpa atau bertembung di pejabat mahupun di luar. Sama ada secara kebetulan atau masing-masing cuba mengelak untuk bertemu.

            “Dah tengok fail-fail tu?” Tengku Harrys bertanya sebaik sahaja Insyirah keluar.

            “Baru sikit.”

         “Itu report projek kodominium  di Melaka. Saya nak awak review and update a few in financial part. Saya dan Encik Naufal dah make notes kat situ,” jelas Tengku Harrys. Irish mendengar arahan itu sambil menyelak bahagian laporan yang dimaksudkan. “Completed it and tomorrow afternoon you will follow me to the project site there.”   

            Irish menoleh ke arah lelaki itu. “Esok?”

            “Yes.”

            Irish terdiam sejenak. ‘Esok nak pergi hari ini baru bagitahu?’

            “Ada apa-apa masalah ke?”

            “Tak, tak. Tak ada apa-apa,” dalih gadis itu. Kemudian dia tertunduk semula melihat-lihat lagi fail di hadapan. Namun riak kerisauan tidak dapat disembunyikan. Menyedari akan hal itu, Tengku Harrys datang menghampiri.

            “Anything wrong, Irish?”

         Irish berpaling. Entah bila Tengku Harrys sudah berada di belakangnya. Matanya cuba mencuri-curi pandang ke arah pintu. Risau sekiranya ada sesiapa yang masuk ke biliknya dengan tiba-tiba. Irish berkalih tempat. “Saya okay. Tak ada apa-apa. Err... pukul berapa nak bertolak esok?” Irish cuba menutup rasa gugup. Lebih-lebih lagi bila renungan tajam Tengku Harrys sudah melekat di mukanya. ‘Ya Allah, tolonglah dia jangan buat hal lagi.’ Irish berdoa di dalam hati. Tidak mahu kejadian di butik itu berulang semula.

            “Around 2.00pm.” Akhirnya lelaki itu membuka mulut.

            “Balik hari, kan?”

            “Kalau saya cakap we need to stay there. Tak salah, kan? Nobody knows.”

           Membulat mata Irish mendengarkan jawapan lelaki itu. Spontan mulutnya ingin berkata sesuatu, namun suaranya bagaikan tersekat. Sudahnya dia hanya mengetap bibir. Dan reaksinya itu mengundang kelucuan di mata Tengku Harrys hingga terpamer senyuman nipis di hujung bibir lelaki itu. 

            “No worry. It only takes a day. So, you just get ready tomorrow. And don’t forget to bring along all these files.”

         Tengku Harrys kemudian berpaling dan bergerak untuk keluar. Sebelum menutup pintu, sempat dia menghadiahkan sebuah senyuman sambil mengenyitkan matanya pada Irish. “See you tomorrow.”

         Irish terus kelu tanpa sepatah kata!

            

HEMBUSAN dingin angin malam menemani Irish yang duduk bersendirian di beranda rumah. Puan Qarina di dalam sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis pertunangannya yang hanya tinggal dua hari sahaja lagi sambil dibantu Irma. Sebentar tadi dia turut menolong mereka sebelum meminta diri untuk keluar menelefon Athirah di beranda ini. Sesudah menelefon, dia lansung duduk mengambil angin buat seketika.

          Gadis itu termenung di atas kerusi. Sekejap-sekejap dia berpeluk tubuh. Selepas itu, menongkat dagu di atas meja. Sebentar kemudian dia meraup wajahnya. Terasa berat apa yang ada di fikirannya saat ini. Sejak insiden berjumpa dengan Reza tempoh hari, dia banyak termenung. Entah mengapa ketakutan mula menghantui diri di saat dia ingin membina kehidupan yang baru. Perasaannya juga tidak tenang setiap kali mengenangkan wajah dan senyuman sinis lelaki itu.

 Reza! Mengapa tiba-tiba lelaki itu muncul semula? Selepas semuanya sudah dilempar jauh. Setelah segalanya sudah mati dari diari hidupnya. Dan apa tujuan lelaki itu datang kembali? Puas Irish memikirkan semua itu. Namun satu jawapan pun tidak ditemui. Penat berfikir, dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan sahaja. Tetapi semakin dia cuba untuk lupa, semakin kuat pula kata-kata Reza terngiang-ngiang di telinganya.

Irish seakan buntu. Namun untuk memberitahu sesiapa tentang kemunculan semula lelaki itu, tidak sama sekali. Lebih-lebih lagi pada keluarganya. Tidak mungkin dia ingin membunuh senyuman yang mula mekar di setiap bibir ahli keluarganya sekarang ini. Cukuplah kesedihan yang mereka telah lalui dulu. Dia tidak ingin melihat ada airmata yang gugur lagi. Walaupun terpaksa berkorban, biarlah kiranya itu mampu membahagiakan semua orang. Dan demi menyedapkan hati sendiri, dia menganggap kemunculan Reza mungkin hanya satu kebetulan. Tidak lebih dari itu.

Sedang Irish leka melayani perasaan, seseorang datang mendekatinya dari belakang. Pantas bahu gadis itu disentuh.

“Astaghfirullahalazim!” Irish mengurut dadanya. Sekilas dia menoleh. “Along! Kenapa terkejutkan orang macam tu?!”

Izzul sudah tergelak-gelak. “Yang Irish ni, kenapa duduk dalam gelap sorang-sorang? Bukalah lampu ke apa. Ingat along tak terkejut ke tengok Irish duduk dalam gelap macam ni? Sebelum orang terkejutkan Irish, Irish dah terkejutkan orang lain dulu tau!”

“Hmm? Ya ke?”

Yes!” akui Izzul seraya mengambil tempat di kerusi bersebelahan Irish.

“Along bila sampai? Tak dengar bunyi kereta masuk pun.”

“Macam mana nak dengar. Kalau dah asyik mengelamun je. Kereta along masuk baru ni pun tak perasan.”

“Ishh! Ya ke?”

“Iyalah!”

Kali ini Izzul menggosok kepala adiknya pula. Salah satu cara dia bergurau dengan adik-adiknya sejak kecil. Ternyata dia cukup senang dengan perlakuan itu. Terasa lebih dekat hubungan mereka.

“Ada apa along balik ni? Kak Long dengan budak-budak semua ada jugak ke?”

“Ada sekali tu. Kat dalam sibuk menolong neneknya. Kak Longlah yang beria-ia ajak balik. Nak menjenguk katanya. Kalau balik lusa dah tak banyak nak tolong.”

“Susahkan along satu family je.”

“Susah apanya? Tak payahlah cakap macam tu. Adik-adik along tak pernah susahkan pun. Itu tanggungjawab along,” bidas Izzul. Dia kemudian memandang wajah Irish yang kelihatan sedikit cengkung. Tdak pasti apa sebabnya. Adakah disebabkan tekanan kerja? Ataupun kerana majlis pertunangannya yang menjadi buah fikiran gadis itu? 

“Terima kasih, long.” Lambat-lambat Irish menjawab bersama suara yang bergetar.

Dalam kesamaran, Izzul terus mengamati wajah di hadapannya. Dia tahu getaran suara itu kerana adiknya menahan tangis. Entahlah. Sukar untuk ditebak perasaan gadis seorang ini. Gembirakah dia dengan semua yang telah dirancangkan? Atau terpaksakah dia demi menggembirakan semua hati orang yang dia sayang? Izzul membetulkan duduknya. Serasa dia ingin berborak dengan Irish. Sudah lama rasanya dia tidak berbual dengan adik perempuan bongsunya ini. Jauh di sudut hati, dia ingin sekali menyelami hati gadis yang penuh kisah pedih dalam hidupnya selama ini.

            “Apa perasaan Irish sekarang?”

            Irish mendongak. “Perasaan apa?”

            “Yelah. Macam mana rasanya nak bertunang ni?”

“Soalan apa yang along tanya ni? Mestilah gembira.”

            “Ya ke? Tapi yang along nampak sebaliknya.”

         Spontan Irish memandang Izzul. Kemudian dia tertawa kecil. “Along ni merepeklah. Mana ada. Perasaan along je kut!”

            “Dengan orang lain bolehlah Irish tipu. Tapi dengan along, Irish takkan boleh.”

Kata-kata Izzul membuatkan Irish terdiam. Sangkanya dalam gelap begini alongnya takkan dapat perasan apa yang sedang berlaku pada dirinya. Namun telahannya silap.

            “Irish tak gembira kan dengan semua ni?”

            “Irish tak ada pilihan.”

            “Ada. Irish boleh tolak pinangan Mak Engku tu dulu.”

            “Irish tak sampai hati.”

       “Then now, sampai ke hati Irish untuk teruskan semua ni?” nada suara Izzul sudah sedikit berubah. Namun cuba dikawal agar tidak didengar keluarganya di dalam. Juga tidak mahu menyinggung perasaan adiknya. Seminit berlalu, namun Irish hanya terusan menyepi.

            “Masih belum terlambat untuk Irish berundur...,”

       “Dan biarkan hati semua orang terluka? Biarkan semua orang menangis? Hanya sebabkan kepentingan sendiri, Irish kena gadaikan kegembiraan orang lain? Macam tu ke, long?” soal Irish bertubi-tubi sebelum sempat Izzul menghabiskan kata-katanya. Setitik airmata sudah mula jatuh ke pipi.

            “Bukan tu maksud along.”

         “Habis tu macam mana? Ke along nak tengok airmata keluarga ni menitis lagi disebabkan Irish? Atau along sanggup ke tengok airmata orang yang dah banyak berjasa pada kita selama ni mengalir keluar?” Irish bagai tidak dapat menahan lagi perasaannya. Biarlah. Biar alongnya itu tahu kesakitan yang terbuku di dadanya sejak sekian lama. Kalau boleh dibelah dada ini, mungkin jelas terlihat luka-luka yang sudah berulat dan bernanah kesemuanya.

“Bagitahulah Irish, long. Macam mana lagi patut Irish buat tanpa lukakan hati orang lain? Kalaulah betul along ada jalan untuk Irish keluar dari semua ni, Irish takkan fikir dua tiga kali untuk buat. Dan kalau hanya mati sebagai jalan penyelesaiannya, Irish redha Tuhan cabut nyawa Irish sekarang.”

“Irish! Apa Irish cakap ni?!” bentak Izzul yang jelas terkejut dengan kata-kata yang dilontarkan mulut kecil itu. Serentak tubuh adiknya ditarik ke dalam pelukan. Semakin pejat tangisan Irish di dadanya. “Please, Irish. Don’t say that!”         
    
“Irish dah tak tahan, long. Sakit. Sakit sangat!” ucap gadis itu sambil menumbuk-numbuk dadanya. Dan perbuatannya itu membuatkan hati Izzul semakin dihambat pilu. Pelukannya kian dieratkan.

            “Along tahu, Rish. Along tahu!”

            “Kenapa manusia kejam sangat, long.”

            “Mereka yang pilih untuk jadi macam tu.”

            “Sampai bila?”

            “Sampai mereka sedar. Itupun kalau hati mereka terbuka untuk sedar. Tapi kalau hati mereka dah penuh dengan titik hitam, kita serah je pada Allah. Sabar, Rish!”

            “Irish dah tak kuat lagi.”

“Siapa cakap? Kalau Irish tak kuat, Irish takkan dapat bangkit balik macam sekarang!” Izzul terus memujuk adiknya. Diusap kepala gadis itu agar sedikit tenang. “Sebab Irish kuatlah, Dia bagi ujian ni untuk Irish. Dia lebih tahu sejauh mana kemampuan Irish. Jalan hidup manusia takkan sama. Ada yang mudah. Ada yang penuh dengan liku-liku. Tapi tujuannya cuma satu. Untuk mencari kegembiraan dan kebahagian. Kita tak boleh cakap jalan hidup orang tu mudah dan senang, jadi kita nak yang macam tu. Mungkin kekuatan diri dia hanya setakat itu. Itu bahagian dia. Tapi Irish lain. Sebab Irish kuat, ini bahagian untuk Irish. Ingat, Allah takkan uji hambanya lebih dari kemampuan yang dia ada. Kalau along ada kat tempat Irish pun, along tak rasa along mampu jadi kuat macam Irish. Silap haribulan along boleh malu tau sebab kalah dengan adik along yang perempuan ni!”

Spontan terdengar tawa kecil menerpa telinganya. Izzul pasti Irish sudah kembali reda. Lantas dia mengeratkan pelukan. Dalam sendunya, terselit sedikit senyum di bibir. Siapa sangka. Dalam seumur hidup, inilah pertama kali Irish ingin berkongsi perasaannya dengan seseorang. Dan dia bertuah kerana menjadi orang itu malam ini, walau mungkin tidak seluruhnya.

“Biarlah, Rish. Biarkan jika ada orang yang akan mengeji kita, mencaci kita, menghina kita sekarang dan juga nanti. Tanpa mereka tahu sebab yang sebenarnya. Tapi takkan sekali-kali kita akan mati dek kejian tu. Mulut manusia memang tak boleh ditutup. Sebab tu mereka bebas bercakap apa saja. Hingga kadang sanggup mengambil tugas Allah untuk menghukum kesalahan orang lain. Walaupun diri sendiri ada kesalahan masing-masing. Mungkin mereka lupa Allah tu lebih berkuasa. Tapi tak semua manusia macam tu. Masih ada lagi yang mampu berfikir dengan baik dan matang kat luar sana. Sama ada kita dah jumpa, akan jumpa, atau takkan jumpa lansung. Allah lebih tahu segalanya-galanya, Rish. Dia tak pernah minta kita fikirkan jalan keluar untuk segala masalah sehingga penat. Yang Dia minta pada hambaNya hanyalah bersabar dan sentiasa bersolat memohon doa. Insyaallah, ganjaranNya pasti akan datang jua nanti. Keep my words.”

            Irish mengeratkan pelukannya pada Izzul, seolah-olah meminta perlindungan dari lelaki itu. Juga sedikit kekuatan untuk dirinya.

         “Just forget about the past, Irish. Keep walking to find your own happiness. Insyaallah, someone is waiting you with it in front there!” bisik Izzul bersama maksud yang begitu mendalam buat Irish.  


No comments: