Friday, July 22, 2016

BAB 3 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






D

EWAN peperiksaan sedikit hingar. Semua pelajar berpusu-pusu keluar meninggalkan tempat itu dengan hati yang lapang bersama senyuman kelegaan terukir di wajah masing-masing. Sebulan telah berlalu, bermakna tamat sudah peperiksaan tahun akhir mereka. Sekaligus menandakan berakhirnya sesi pembelajaran selama lima tahun semenjak dari diploma hinggalah ke peringkat ijazah. Mungkin selepas ini masih ada di antara mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dan sebahagiannya pula lebih memilih untuk berehat dan bekerja dahulu.
Irish kelihatan turut berjalan keluar dari Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam tersebut. Langkahnya kemudian diatur menuju ke tempat letak kereta. Langsung tidak dihiraukan keadaan pelajar lain yang seronok bersembang dengan rakan-rakan mereka di situ. Biasalah, peperiksaan sudah habis. Tentu ada saja agenda yang ingin diaturkan bersama selepas ini. Sambil itu mata Irish sempat melilau mencari-cari kelibat seseorang.
‘Mana pergi budak sorang ni, ya? Dari tadi tak nampak-nampak batang hidung dia.’
            Niat di hati memang dia ingin menemui rakan baiknya itu memandangkan hari ini adalah merupakan hari terakhir mereka di sini. Selepas ini tidak tahu bila lagi mereka akan berjumpa. Lebih-lebih lagi bila masing-masing sudah membawa haluan sendiri untuk membina kerjaya dan masa depan.
            ‘Agaknya dia dah balik dengan orang lain kut. Mungkin!’ duga Irish sambil kakinya terus dihayun meninggalkan kawasan dewan tersebut. Dalam melangkah, Irish membuka begnya untuk mengambil kunci kereta. Sedang dia mencari tiba-tiba terasa bahunya ditepuk seseorang dari belakang. Pantas dia berpaling.
            “Ira! Kau pergi mana, hah? Aku cari kau dari tadi lagi sebelum masuk dewan. Tunggu kau tak muncul-muncul, tu yang aku masuk dulu.”
            “Sorry!” balas Athirah sambil tersengih. “Aku dah gerak awal tadi. Tiba-tiba teringat yang aku terlupa bawa kad matrik. Tu yang aku patah balik tu!” cerita Athirah sambil mereka menuju ke tempat letak kereta.
            “Hmm... patulah! Asyik lupa je. Esok-esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya.”
            “Ishh! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!” seloroh gadis itu disambut gelak ketawa Irish. Ada sahaja ideanya untuk membuat membuat orang ketawa.
            “Kau datang naik apa tadi?” Irish bertanya sebaik mereka menghampiri keretanya.
            “Aku tumpang housemate aku. Tapi dia ambil exam kat tempat lain.”
            “So, balik ni?”
            “Naik dengan kaulah! Macam tak faham-faham pulak!”
            “Aku saja je. Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan housemate kau ke lepas exam ni.”
            “Amboi-amboi! Sedapnya mulut dia berkata!” tingkah Athirah sambil bercekak pinggang. “Tapi kan...,” dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “.... kalau kau nak bawa aku jalan-jalan keluar, aku okay je. Manalah tahu kut terjumpa sorang dua mamat yang boleh buat calon,” bisik Athirah sambil mengenyitkan matanya. Membulat mata Irish mendengarkan jawapan itu.



 “Kan? Aku dah tahu dah kau ni memang pantang kalau aku sebut sikit. Dan-dan tu kau terus ajak, kan?”
“Hai, nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” selamba Athirah menjawab sambil berlalu menuju ke pintu kereta di sebelah pemandu. Namun pergerakannya terhenti bila melihatkan Irish masih lagi tercegat memandangnya tanpa berkelip.
“Yang kau tu tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”
“Yelah, yelah!”
Irish terus menekan alarm kunci sebelum kedua-dua sahabat itu masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan Proton Satria Neo milik Irish bergerak meninggalkan perkarangan universiti tersebut.

**********

SO, amacam paper FSA tadi? Senang tak?” soal Athirah sewaktu mereka bersiar-siar sambil mencuci mata di dalam pusat membeli-belah SACC yang terletak di Bandaraya Shah Alam itu.
“Boleh tahan jugaklah. Agak susah, tapi masih boleh dijawab. Yang penting dah cuba yang terbaik,” terang Irish mengenai kertas soalan Financial Statement Analysis yang mereka hadapi sebentar tadi. “Kau macam mana?”
“Huh! Nak terkeluar jugak otak ni menjawab tadi. Patutlah ramai student takut nak ambil finance course ni!” Athirah menambah. Memang ada sesetengah pelajar bertanggapan bahawa kursus kewangan yang diambil oleh mereka itu sebagai ‘killer course’.
Kedua-dua rakan itu terus menghabiskan waktu yang ada dengan mencuci mata melihat barangan yang dijual di setiap kedai yang terdapat di situ. Kebetulan waktu itu sedang diadakan promosi diskaun harga sempena jualan mega. Memang penuhlah pusat membeli-belah tersebut dengan kehadiran pengunjung-pengunjung.
“Geram pulak aku tengok barang-barang kat sini, Rish. Murah-murah! Kalaulah beg ni penuh dengan duit, gerenti aku dah shopping sakan dah!”
“Hmm, yelah. Lepas tu nanti aku yang jadi mangsa kena tolong bawa barang-barang kau, kan? Kau bila dah shopping, tak ingat dunia!”
Spontan Athirah tergelak. Memang diakui yang dia agak lupa diri bila sudah membeli-belah. Daripada sekadar ingin membeli beberapa barang, namun akhirnya semua barang-barang yang dia berkenan habis diborong. Irishlah yang selalu menjadi mangsa membantu membawakan barang-barang tersebut.
“Irish, jomlah kita pergi makan. Penat pulak berjalan kalau tak shopping apa-apa ni.”
“Penat? Tahu pun penat. Tapi bila shopping, hyper active pulak. Sampai makan pun lansung dah tak ingat!”
That’s me. Macamlah kau tak kenal kawan kau yang sorang ni, Rish!” tutur Athirah sambil menyengih.
Mereka memilih untuk makan di Restoran Noodle Station yang terdapat di dalam pusat membeli-belah SACC tersebut. Sementara menanti pesanan tiba, keduanya sekadar bersembang kosong sambil melihat gelagat orang ramai yang lalu lalang di situ.
So, apa plan kau lepas ni?” Athirah bertanya kepada Irish.
“Ermm, aku ingat nak kerja dulu. Bila dah okay nanti dan ada rezeki, InshaaAllah aku sambung master. Kau?”
“Samalah. Aku ingat pun macam tu. Kerja dulu. Tapi sebelum kerja ingat nak balik kampung sekejap jenguk keluarga aku. Sebulan lebih aku tak balik sebab exam ni. Rindu dah kat diorang tau!” luah Athirah sambil tersenyum. Fikirannya sudah terbayangkan ahli keluarganya yang berada di Melaka.
“Baguslah. Apa-apa pun, utamakan keluarga dulu. Keluargalah orang yang paling penting sebab diorang yang selalu ada dengan kita waktu susah senang. Takkan pernah tinggalkan kita walau apapun terjadi.”
Athirah hanya terangguk-angguk mengiakan butir bicara Irish. Sebentar kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka menghantar hidangan yang dipesan. Aroma makanan yang menusuk ke hidung membuatkan perut mereka semakin berbunyi minta diisi. Sambil terus berbual, keduanya menikmati hidangan yang agak menyelerakan itu walaupun ini kali pertama kunjungan mereka ke restoran tersebut.

**********

“NAMPAK gayanya macam tak ada rezekilah nak jumpa calon suami kat sini hari ni!” bicara Athirah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke tempat letak kereta untuk pulang.  
            “Hai! Ada hati jugak nak cari? Ingat lupa dah.”
            “Mestilah! Mana tahu antara lelaki-lelaki  kat shopping mall ni, diorang tu jodoh kita!”
“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.” Irish menggeleng-geleng kepala melihatkan gelagat rakannya itu yang tidak sudah-sudah dengan hajatnya sedari tadi. “Eh Ira, aku nak pegi toiletlah. Tunggu sekejap boleh?”
Athirah mengangguk sambil menyambut huluran beg dari Irish. Setelah itu dia duduk di kerusi berhampiran yang sedia ada di situ sementara menunggu rakannya kembali.
Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke tandas berhampiran. Tidak mahu dia membiarkan Athirah berlama-lama menunggu. Kepalanya hanya tertunduk memandang lantai tanpa menoleh sesiapa di situ.
“Ouchh!”
Irish mengaduh sambil memegang bahunya. Tanpa sedar, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas berisi barang yang dibawa lelaki itu juga sudah jatuh terlepas ke lantai. Tanpa berlengah, Irish mengambil beg-beg tersebut lalu diberikan semula kepada lelaki itu tanpa melihatnya. Punyalah kalut dia sehinggakan tidak berani memandang wajah lelaki tersebut. Dia tahu salahnya tidak memandang depan semasa berjalan tadi.
“Maaf!” Irish menunduk seraya memohon maaf dan kemudian terus berlalu meninggalkan tempat itu.
Lelaki tadi masih terus memandang Irish hinggalah kelibat gadis itu menghilang di sebalik dinding. Termangu seketika dirinya. Namun hatinya sedikit tercuit melihatkan gelagat gadis tersebut.
‘Tak sempat aku nak jawab dah lari. Takut benar!’
Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sebelum mengorak kembali langkahnya. 


No comments: