Friday, October 7, 2016

BAB 30 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







M

AJLIS resepsi perkahwinan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra itu berlansung dalam suasana meriah. Kehadiran tetamu jemputan yang ramai juga terasa begitu mengujakan. Bertambah teruja apabila melihat pasangan mempelai, Tengku Hafiy yang begitu segak dengan busana pengantin berwarna putih mutiara bersama-sama isterinya, Helena yang turut memakai busana warna sedondon. Bagai pinang dibelah dua, itulah perumpaan yang lengkap untuk kedua mempelai tatkala dipersandingkan di atas pelamin sambil ditepung tawar oleh keluarga kedua-dua belah pihak pengantin serta tetamu-tetamu kehormat yang turut hadir.
Izzul juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan hari bahagia rakan baiknya malam ini. Dia yang hadir bersama isteri dan anak-anaknya serta Irish, turut membawa kedua ibu bapanya atas permintaan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina sendiri. Pada mulanya memang Encik Izzuddin serta Puan Qarina enggan turut serta. Alasannya, majlis ini hanya untuk orang kenamaan dan berstatus tinggi. Namun setelah berkali-kali Izzul memujuk, dibantu pula Irish, kedua orang tua itu mengalah juga akhirnya. Dan kini mereka tampak mesra sahaja bersembang semeja bersama Tengku Haiyan serta isterinya. 
“Along.”
Irish mencuit bahu Izzul, membuatkan lelaki itu serta-merta menoleh.
            “Kenapa?”
            “Along tak bawa sekali ya hadiah untuk Abang Hafiy tadi?” tanya Irish, membuatkan Izzul menepuk dahinya.
            “Alamak! Along terlupalah, Rish. Ada kat bonnet kereta tu. Keluar kereta tadi terlupa terus nak ambil sekali. Tak apalah. Biar along pergi ambil sekejap.”
            “Eh, tak apa.” Irish menarik lengan Izzul untuk kembali duduk. Terbit rasa kasihan apabila melihat alongnya yang sedang memangku Qisrina yang sudah pun terlena di dalam pangkuan. “Biar Irish yang pergi ambil. Along duduk sini je. Kunci?” ujarnya sambil menghulurkan tangan meminta kunci kereta dari Izzul.
            “Betul ke Irish nak pergi ambil ni? Sorang-sorang?”
            “Ya, betul! Along tak payah risaulah. Sekejap je. Lagipun orang ramai kat sini, kan.”
Irish mengukir senyuman, cuba meyakinkan Izzul sebelum alongnya menyerahkan kunci kereta padanya. Setelah itu dia melangkah keluar dari dewan lalu menuju ke tempat di mana Izzul meletakkan kereta sewaktu mereka sampai tadi. Hadiah itu dibeli olehnya bersama Izzul semalam untuk diberikan kepada Tengku Hafiy sempena perkahwinannya. Setelah mendapatkan hadiah tersebut, gadis itu kembali berjalan menuju ke arah dewan majlis.
            “Laju jalan.”
            Langkah Irish terhenti di situ. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu berpaling ataupun meneruskan sahaja langkahnya. Lantaran teringatkan pesanan Izzul, terus sahaja kakinya ingin dihayun untuk segera masuk ke dalam dewan. Namun baru dia hendak menapak semula, suara itu kedengaran lagi.
            “Tak nak tengok I dulu?”
            Serentak itu terdengar bunyi derapan tapak kaki melangkah menghampirinya. Irish berpaling ke belakang. Dilihatnya seorang lelaki yang segak bergaya dengan suite hitam sedang berdiri tegak memandang tepat ke arahnya. Irish mengamati lelaki itu. Serasa dia pernah melihat wajah itu sebelum ini. Tetapi dia tidak ingat di mana.




            “Still can’t remember me, Miss Irish?”
Kaget Irish jadinya. Terkejut bagaimana lelaki itu boleh mengetahui namanya. “Maaf. Kita pernah berjumpa?”
            “Of course! Haiyan Holdings’s annual dinner. We met that night,” terang lelaki itu bersama satu renungan tajam.
            Melihatkan renungan itu, serta-merta ingatan Irish melayang pada majlis makan malam Haiyan Holdings tempoh hari. Renungan yang tidak diendahkan dek insiden yang berlaku antara dia dan Tengku Harrys malam itu.
            “So, dah ingat sekarang? Tengku Zafran. Abang Tengku Melissa.”
            Irish membalasnya dengan anggukkan. “Ya. Maaf... saya betul-betul tak ingat.”
            “It’s okay. Gadis secantik you mana sudi nak ingat I.” Tengku Zafran melangkah untuk mendekati Irish dengan lebih dekat. “Well... nice to meet you, Miss Irish!” ucapnya seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman.
            Irish memandang Tengku Zafran. Serba salah dirinya untuk menyambut huluran salam itu. Dia tidak begitu mengenali Tengku Zafran, walaupun dia tahu lelaki itu adalah abang Tengku Melissa, juga sepupu kepada Tengku Hafiy serta Tengku Harrys. Hendak atau tidak, terpaksa jugalah dia menyambutnya walaupun dalam hati teragak-agak untuk menerima.
Baru sahaja tangan Irish ingin membalas huluran salam tersebut, bunyi deheman seseorang mengejutkan mereka. Pantas Irish menyembunyikan semula tangannya. Mengucap syukur gadis itu dalam hati kerana terselamat kali ini. Namun, leganya hanya seketika apabila matanya menangkap pula sesusuk tubuh Tengku Harrys yang sedang berjalan ke arah mereka.
            ‘Oh, belum cukup selamat. Masak ni!’ ngomel Irish dalam hati. Cepat-cepat dia menjarakkan dirinya dari Tengku Zafran.
            “Hey, bro!”
Tengku Zafran menepuk-nepuk bahu sepupunya itu sambil tertawa.
            “Your mom cari kat dalam,” ujar Tengku Harrys bersahaja. Tiada sekelumit senyuman pun terbit di wajahnya tika ini.
            “Oh, ya ke? Okay! I chow dulu. Bye, gorgeous! Seronok dapat kenal dengan you. Hope to see you again!” sempat Tengku Zafran mengenyitkan mata pada Irish sebelum berlalu pergi. 
             Irish terkedu. Tingkah Tengku Zafran itu membuatkan dia semakin resah dengan pandangan Tengku Harrys. Sebentar kemudian lelaki itu datang menghampirinya, membuatkan Irish tertunduk. Bersiap sedia untuk berhadapan dengan sikap Tengku Harrys yang entah apa pula kali ini. Sikap yang sentiasa di luar jangkaannya.


            “Lain kali jangan berani sangat jalan sorang-sorang kat sini.”
            Sebaik menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys lansung beredar dari situ. Entah mengapa perasaannya tidak senang melihat Tengku Zafran mendekati Irish, walaupun lelaki itu adalah sepupunya sendiri.
 Sekali lagi Irish terkedu. Sudahlah tadi Tengku Zafran buatkan hatinya resah gelisah. Sekarang Tengku Harrys pula?
“Ya Allah! Apa kena dengan semua orang ni? Boleh jadi gila aku dibuatnya!” gumam Irish sambil menepuk-nepuk dahi, bagai membuang segala kekusutan yang bertandang. Malas mahu memikirkan, terus dia meluru ke dalam dewan dan mendapatkan semula ahli keluarganya.

**********
           
MATANYA yang semakin layu terus merenung anak-anak Izzul yang sudah terlena ketiga-tiganya. Izmie berada di pangkuan Safiya, Qisrina masih lagi di pegangan Izzul, manakala Qusyairi sudah terlentok di atas ribaannya. Habis itu dia melihat pula jam di tangan. Memang waktu sudah agak lewat. Tidak hairanlah anak-anak kecil itu semuanya sudah melayari lena. Irish mengelus-elus lembut rambut Qusyairi yang sedang nyenyak tidur itu sementara menanti umi dan ayahnya selesai berbual dengan Tengku Haiyan sekeluarga.
            Hampir setengah jam menanti, akhirnya Encik Izzuddin dan Puan Qarina datang menghampiri meja yang masih diduduki oleh Irish, Izzul dan Safiya bersama-sama Tengku Haiyan serta ahli keluarganya yang lain. Termasuk pasangan mempelai.
            “Zul! Sorrylah, bro. Aku tak dapat nak layan kau malam ni!” ucap Tengku Hafiy.
            “Eh, apa pulak? Hari ni kan majlis kau. Takkan kau nak duduk kat bawah layan aku, then Helena bersanding sorang-sorang kat atas tu?” seloroh Izzul membuatkan yang lain ketawa.
            “Tak adalah. Maksud aku, hari ni aku tak dapat nak borak dengan kau macam selalu.”
            “No problemlah. Majlis kau, kan.”
            “Hmm, dah tidur dah semua cucu Nek Engku ni?”
            “Penatlah tu agaknya. Dari siang tadi tak tidur. Sibuk nak jumpa Tok Engku dengan Nek Engku katanya,” ujar Puan Qarina.
“Laaa... ya ke? Kesiannya. Tak sempat dia orang nak main dengan Nek Engku, ya.”
“Tak apalah, Fina. Malam ni tak dapat, nanti-nanti Izzul boleh bawa budak-budak ni datang ke rumah.” Tengku Haiyan membalas kata-kata isterinya.
“Tengku, malam pun dah lewat. Jadi kami minta diri dululah,” pinta Encik Izzuddin lalu berjabat tangan dengan Tengku Haiyan. Begitu juga yang lain sebelum berpisah di situ. Cuma Irish seorang tidak dapat berbuat demikian memandangkan Qusyairi tidur dipangkuannya. Tidak terlarat dia ingin mengangkat anak buahnya ini.
“Eh, Rish. Astaghfirullahalazim! Along terlupa lansung Airi!” Izzul bagaikan baru tersedar. Terus sahaja kakinya melangkah ke arah Irish.
“Along nak angkat Airi macam mana? Dengan Qis lagi.”
“Ya tak iya jugak! Err…,”
“Tak apa. Saya tolong angkat.”
Satu suara mencelah tiba-tiba. Dan ketika itu juga Tengku Harrys yang segak berbaju melayu putih lengkap bersampin datang menghampiri tempat duduk Irish. Dengan penuh berhati-hati dia mengambil Qusyairi dari pangkuan gadis itu. Irish pula hanya memandang perlakuan Tengku Harrys tanpa sepatah kata. Dan renungan lelaki itu yang sempat menyinggah ke wajahnya membuatkan lidahnya terus kelu seribu bahasa. Segera dia bangkit dari kerusi sebaik tubuh Qusyairi sudah berpindah tangan pada Tengku Harrys. Dia pasti wajahnya saat ini sudah merona merah. Lebih-lebih lagi bila menyedari semua mata yang ada menyaksikan apa yang berlaku antara dia dan Tengku Harrys sebentar tadi.
Minit berselang, kelihatan kelibat mereka keluar beriringan dari bangunan Pusat Perdagangan Dunia Putra itu sebelum bergerak ke kereta milik Encik Izzuddin. Tengku Harrys yang mendukung Qusyairi sejak dari dalam dewan tadi, membaringkan semula si cilik itu di atas ribaan Irish setelah gadis itu masuk ke dalam kereta.
“Terima kasih,” ucap Irish perlahan. Namun hanya satu anggukkan yang diterima dari Tengku Harrys, tanpa lelaki itu melihat ke arahnya.
“Kami minta diri dulu, Tengku.”
“Ya, Encik Izzuddin. Terima kasih sudi datang ke majlis kami ni.”
“Patutnya saya yang ucap terima kasih sebab Tengku sudi jemput kami sekeluarga. Ni dah terbalik pulak!”
“Tak ada apalah, Encik Izzuddin. Majlis kahwin je pun. Senang-senang nanti jemputlah datang ke rumah kami. Ya, Kak Ina. Boleh kita sembang-sembang panjang,” bicara Tengku Dafina pula.
“Insya-ALLAH, Tengku. Sudikan jugak nanti ke rumah kami.”
“Pasti, Kak Ina. Kami pasti akan sampai!” balas Tengku Dafina penuh harapan bersama makna yang tersirat.
Kereta Toyota Wish milik Encik Izzuddin yang dipandu Izzul mula bergerak meninggalkan perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra tersebut. Dan sepanjang perjalanan pulang, Encik Izzuddin serta Puan Qarina tidak henti-henti bersembang tentang Tengku Haiyan sekeluarga yang begitu baik dan peramah terhadap mereka walaupun ini pertemuan kali pertama.
Hanya Irish sahaja yang tidak memberikan perhatian terhadap perbualan tersebut. Fikirannya melayang jauh memikirkan kelakuan Tengku Harrys malam ini. Entah mengapa hatinya resah dengan sikap lelaki itu. Namun dalam kedinginan Tengku Harrys, naluri wanitanya sedikit tersentuh dengan perlakuan spontan lelaki tersebut sewaktu membantunya mendukung Qusyairi tadi. Malah sewaktu kereta mereka mula bergerak, matanya sempat melihat ke arah lelaki itu. Dan ternyata Tengku Harrys juga melakukan hal yang sama. Cuma pandangannya kali ini kelihatan lebih lembut. Sedikit redup. Tidak seperti ketika dia terserempak dengan Tengku Zafran di luar dewan sebelum itu. Sungguh! Dia tidak faham sebenarnya. Sikap lelaki itu benar-benar membingungkannya. Mujurlah Tengku Melissa tiada di majlis malam ini. Kalau tidak, tak tahulah apa akan jadi.
‘Hmm... Tengku Melissa. Kenapa aku tak nampak lansung muka dia kat majlis tadi, ya?’ Irish bermonolog sendiri. Ralat memikirkan ketiadaan Tengku Melissa di majlis perkahwinan Tengku Hafiy, sepupunya itu walaupun abangnya Tengku Zafran kelihatan hadir.

Tengku Zafran. Ah! Menyebut sahaja nama lelaki itu, hati Irish sekali lagi dipagut resah. Entah mengapa dia seakan tidak selesa apabila berdepan dengan Tengku Zafran. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun dia tidak tahu berkenaan apa. Asyik benar melayani fikiran, akhirnya gadis itu terlena di dalam kereta sebelum sempat sampai ke rumah.   


No comments: