Thursday, November 24, 2016

BAYANGAN GURAUAN ~ SPECIAL TEASER 2






IRISH tidak menjawab, hanya tangannya bergerak melakukan kerja. Gelas yang sudah dibasuh diletakkan semula ke tempat asal. Beria-ia dia membuat minuman. Belum pun sempat masuk mulut, air itu lebih dulu menjamah kemeja Tengku Harrys. Mata Irish membulat.
‘Alamak! Macam mana aku boleh terlupa?’ Mengingatkan itu, pantas dia berpaling menghadap Tengku Harrys semula.
“Baju Tengku. Saya minta maaf,” ujarnya sambil memandang kemeja putih Tengku Harrys yang sudah bertukar warna di bahagian hadapan akibat air milo yang tertumpah tadi.
“Tak apa. Dah tumpah pun.”
“Saya tolong bersihkan.”
Kening Tengku Harrys sedikit berkerut. “How?”
‘Ya tak iya jugak. Macam mana pulak nak bersihkan? Mustahillah nak suruh dia buka baju tu. Hmmh!’ gumam Irish. Matanya melilau-lilau memerhati sekeliling. Seketika kemudian pandangannya terhenti pada salah sebuah kabinet yang terletak di ruangan pantry itu. Seingatnya ada tuala bersih yang tersimpan di situ. Pantas dia membuka kabinet tersebut dan mencapai dua helai tuala. Kemudian dia berlalu ke singki untuk menadah sebekas air sebelum menghampiri Tengku Harrys semula. “Boleh ikut saya?”
“Ke mana?” tanya Tengku Harrys yang sedari tadi hanya memerhati sahaja tingkah-laku Irish. Namun hanya senyuman gadis itu diterima sebagai ganti jawapan pada soalannya.
Irish mula melangkah meninggalkan pantry bersama dua helai tuala di tangan. Kaki kemudian diatur perlahan menuju ke biliknya. Berbanding di pantry, di sini rasanya lebih selesa dan selamat untuk dia membersihkan baju Tengku Harrys. Terlindung sedikit dari pandangan mata-mata pekerja yang mungkin akan masuk ke dalam pantry itu bila-bila masa sahaja. Tengku Harrys hanya mengikutinya di belakang tanpa banyak bicara. Setelah masuk, pintu bilik tersebut dibiarkan separuh terbuka.
So...,” Tengku Harrys melabuhkan duduk di hujung meja Irish. “.... how are you going to clean up this mess?”
Irish membisu. Entah mengapa tubuhnya terasa kaku pula. Walhal dia sendiri yang menawarkan untuk membersihkan baju lelaki itu tadi. ‘Tulah. Siapa suruh ringan mulut offer tadi. Kan, sekarang? Hmm... macam mana aku nak bersihkan baju dia, ya?’ hatinya berbicara sendiri sambil otak ligat memikirkan sesuatu.
‘Ah, belasah jelah!’
Irish melangkah menghampiri Tengku Harrys yang masih tegar memandangnya. Tuala serta bekas berisi air yang berada di tangan sejak tadi diletakkan di atas mejanya.
“Boleh buka necktie tu sekejap?” pinta Irish. Spontan Tengku Harrys menunduk memandang tali lehernya sebelum mendongak semula.
“Awak bukalah sendiri.”
“Hmm?” terliur Irish dengan kata-kata bersahaja lelaki itu.
Yes.”
‘Biar betul dia ni? Takkan aku yang nak kena buka kut!’ Melihatkan Tengku Harrys masih lagi diam tidak berganjak, Irish mula kalut. ‘Betul-betul nampaknya dia ni. Aduh! Kalau tak buka necktie tu susah pulak nak lap baju dia.’
“Kenapa? Ke awak nak saya buka terus kemeja ni? Lagi senang nak bersihkan.”
“Eh, tak payah!” laju saja mulut kecil itu menjawab. Dengan tangan yang separuh menggigil, Irish menyentuh kolar baju Tengku Harrys dan mula membuka ikatan tali leher tersebut. Setelah itu dia mengambil sehelai tuala lalu dibasahkan. “May I?”
Hanya sebuah anggukkan yang dibalas. Perlahan Irish meletakkan tuala basah tadi di dada Tengku Harrys. Sejak mereka masuk ke sini tadi sehinggalah ke saat ini, mata lelaki itu tidak lepas-lepas dari memandangnya. Namun dia tidak mengendahkan. Tangannya sahaja laju bergerak melakukan kerja. Lagi cepat dia buat, lagi cepatlah dia boleh melepaskan diri dari situasi ini.
“Awak tak jawab lagi soalan saya, Irish.”
Irish menjeling sekilas wajah di hadapannya. “Soalan apa?”
“Ini keputusan awak?”
Pergerakan Irish terhenti tiba-tiba. Dia ingatkan soalan itu sudah berlalu pergi sewaktu di pantry tadi. Rupanya kini ia dibangkitkan lagi.  
“Hmm.” Balas Irish ringkas lalu menyambung semula kerjanya.
“Kenapa ubah fikiran?”
“Demi semua orang.”
“Bukan sebab terpaksa?”
“Bukan.”
“Jadi, awak ikhlas terima saya?”
Irish terdiam lagi. Soalan itu bagaikan memerangkap dirinya. ‘Adakah aku ikhlas terima dia? Atau mungkin sebab terpaksa seperti yang dikatanya demi menjaga hati insan-insan yang aku hormat dan sayang?’ Dia juga tidak tahu kenapa dirinya berubah fikiran.
“Irish?”
Irish memandang wajah Tengku Harrys. Ternyata lelaki itu masih menunggu jawapan darinya. Irish tercari-cari ayat untuk menjawab. Harap-harap lelaki itu akan terima. “Insya-ALLAH. Kalau ini dah memang suratan takdir untuk saya, Tengku tak perlu risau apa-apa.”
Serentak itu Irish menggantikan tuala basah tadi dengan sehelai tuala yang masih kering sebelum ditekapkan semula pada baju Tengku Harrys untuk mengeringkan sedikit kemeja yang sudah agak basah.
            Tengku Harrys menghela nafas. Walaupun jawapan itu bukan seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya dia tahu Allah telah mendengar doanya agar Irish menarik balik keputusan yang telah dibuat tempoh hari. Mungkin ini sebagai permulaan agar dia dapat menyakinkan kembali gadis ini untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.
            “Dah siap. Cuma taklah betul-betul bersih. Dan... basah lagi. Tapi nanti keringlah.”
            “Hmm.”
            “Boleh ke buat kerja dengan baju basah macam ni?”
            “Kenapa tak boleh? Buat kerja pun dengan tangan. Shouldn’t be a problem.” Tengku
 Harrys menjawab selamba sambil melipat lengan kemejanya hingga ke paras siku. Agak santai dari kebiasaan namun masih kelihatan segak. “Kenapa saya tak nampak staf lain kat luar?”
            Irish mengerutkan dahinya. Sedikit pelik dengan soalan itu. “Sekarang waktu lunch. Jadi semua orang pergi makan.”
            “What?” kali ini kening Tengku Harrys pula berkerut. Spontan dia melihat jam di tangan. Sudah pukul 1.45 petang. Patutlah lengang sahaja keadaan pejabat semasa dia masuk tadi. Macam mana dia boleh tidak sedar?
            ‘Macam mana kau nak sedar, Harrys? Kalau dah dalam kepala kau cuma ingin mencari Irish sahaja sejak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pagi tadi!’ jerit satu suara dari dalam hatinya. Serta-merta bibirnya mengukir senyum.  
            “Kenapa Tengku senyum?”
            “Hmm? Saya senyum ke?”
            “Tak adalah.” Jawab Irish pendek lantas dia beralih dari menghadap lelaki itu untuk mengemas tuala-tuala serta bekas berisi air yang digunakannya tadi.
            “Irish.”
            Irish menoleh kembali saat namanya dipanggil. Dilihat Tengku Harrys bangun dari meja dan mula melangkah merapatinya.
Thanks, for what you have done just now. And thanks again...,” ayat Tengku Harrys terhenti di situ. Dia mendekatkan dirinya lebih rapat lagi pada Irish. “… cause you won’t hurt our families’ feeling with your decision. My heart as well.”
Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Harrys mengatur langkah untuk beredar dari bilik tersebut. Irish pula hanya menghantar lelaki itu dengan satu renungan sehinggalah matanya terpandangkan tali leher hitam yang masih terletak elok di atas mejanya.
“Tengku….” Irish memanggil semula lelaki itu sambil tangannya mencapai tali leher milik Tengku Harrys untuk diserahkan kembali.
“Tak perlu bagi balik.”
“Hmm?”
“Awak simpan je.”
“Tapi...,”
“Pakaikan balik necktie tu bila dah jadi isteri saya nanti.”
Serentak itu Tengku Harrys berlalu keluar, meninggalkan Irish dengan mulut yang sedikit ternganga.


#BayanganGurauan
#PublishonJanuary2017
#GrupBukuKarangkraf
#Alaf21



No comments: