Saturday, February 15, 2014

BAB 3 : BAYANGAN GURAUAN





D
EWAN peperiksaan sedikit hingar. Semua pelajar berpusu-pusu keluar meninggalkan tempat itu dengan hati yang lapang bersama senyuman kelegaan terukir di wajah masing-masing. Sebulan telah berlalu, bermakna tamat sudah peperiksaan tahun akhir mereka. Sekaligus menandakan berakhirnya sesi pembelajaran selama lima tahun semenjak dari diploma hinggalah ke peringkat ijazah. Mungkin selepas ini masih ada di antara mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dan sebahagiannya pula lebih memilih untuk berehat dan bekerja dahulu.

Irish kelihatan turut berjalan keluar dari Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam tersebut. Langkahnya kemudian diatur menuju ke tempat letak kereta. Langsung tidak dihiraukan keadaan pelajar lain yang seronok bersembang dengan rakan-rakan mereka di situ. Biasalah, peperiksaan sudah habis. Tentu ada saja agenda yang ingin diaturkan bersama selepas ini. Sambil itu mata Irish sempat melilau mencari-cari kelibat seseorang.

‘Mana pergi budak sorang ni, ya? Dari tadi tak nampak-nampak batang hidung dia.’

       Niat di hati memang dia ingin menemui rakan baiknya itu memandangkan hari ini adalah merupakan hari terakhir mereka di sini. Selepas ini tidak tahu bila lagi mereka akan berjumpa. Lebih-lebih lagi bila masing-masing sudah membawa haluan sendiri untuk membina kerjaya dan masa depan.

        ‘Agaknya dia dah balik dengan orang lain kut. Mungkin!’ duga Irish sambil kakinya terus dihayun meninggalkan kawasan dewan tersebut. Dalam melangkah, Irish membuka begnya untuk mengambil kunci kereta. Sedang dia mencari tiba-tiba terasa bahunya ditepuk seseorang dari belakang. Pantas dia berpaling.

            “Ira! Kau pergi mana, hah? Aku cari kau dari tadi lagi sebelum masuk dewan. Tunggu kau tak muncul-muncul, tu yang aku masuk dulu.”

           “Sorry!” balas Athirah sambil tersengih. “Aku dah gerak awal tadi. Tiba-tiba teringat yang aku terlupa bawa kad matrik. Tu yang aku patah balik tu!” cerita Athirah sambil mereka menuju ke tempat letak kereta.

      “Hmm... patulah! Asyik lupa je. Esok-esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya.”

           “Ishh! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!” seloroh gadis itu disambut gelak ketawa Irish. Ada sahaja ideanya untuk membuat membuat orang ketawa.

            “Kau datang naik apa tadi?” Irish bertanya sebaik mereka menghampiri keretanya.

            “Aku tumpang housemate aku. Tapi dia ambil exam kat venue lain.”

            “So, balik ni?”

            “Naik dengan kaulah! Macam tak faham-faham pulak!”

       “Aku saja je. Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan housemate kau ke lepas exam ni.”

         “Amboi-amboi! Sedapnya mulut dia berkata!” tingkah Athirah sambil bercekak pinggang. “Tapi kan...,” dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “.... kalau kau nak bawa aku jalan-jalan keluar, aku okay je. Manalah tahu kut terjumpa sorang dua mamat yang boleh buat calon,” bisik Athirah sambil mengenyitkan matanya. Membulat mata Irish mendengarkan jawapan itu.

 “Kan? Aku dah tahu dah kau ni memang pantang kalau aku sebut sikit. Dan-dan tu kau terus ajak, kan?”

“Hai, nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” selamba Athirah menjawab sambil berlalu menuju ke pintu kereta di sebelah pemandu. Namun pergerakannya terhenti bila melihatkan Irish masih lagi tercegat memandangnya tanpa berkelip.

“Yang kau tu tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”

“Yelah, yelah!”

Irish terus menekan alarm kunci sebelum kedua-dua sahabat itu masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan Proton Satria Neo milik Irish bergerak meninggalkan perkarangan universiti tersebut.



SO, amacam paper FSA tadi? Senang tak?” Athirah memulakan perbualan sebaik kereta yang dipandu Irish bergerak di atas jalanraya.

“Boleh tahan jugaklah. Agak susah, tapi masih boleh dijawab. Yang penting dah cuba yang terbaik,” terang Irish mengenai kertas soalan Financial Statement Analysis yang mereka hadapi sebentar tadi. “Kau macam mana?”

“Huh! Nak terkeluar jugak otak ni menjawab tadi. Patutlah ramai student takut nak ambil finance course ni!” akui Athirah mengenai sesetengah tanggapan pelajar yang mengatakan kursus kewangan yang diambil oleh mereka itu sebagai ‘killer course’. Irish sekadar tersenyum mendengar celoteh rakannya itu.

Dari jauh sudah kelihatan bangunan pusat membeli-belah SACC yang terletak di Bandaraya Shah Alam. Irish membelok keretanya memasuki kawasan shopping mall itu. Tempat letak kereta yang agak penuh menyebabkan mereka sukar untuk mencari memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Hanya beberapa minit kemudian, barulah mereka menemui satu petak yang masih kosong. Selesai memarkir kereta, mereka berdua terus memasuki ruang legar pusat membeli-belah tersebut. Hanya sekadar bersiar-siar sambil mencuci mata melihat barangan yang dijual di situ. Kebetulan ketika itu sedang diadakan promosi diskaun harga sempena jualan mega, menjadikan pusat membeli-belah itu dipenuhi dengan ramai pengunjung.

“Geram pulak aku tengok barang-barang kat sini, Rish. Murah-murah! Kalaulah beg ni penuh dengan duit, gerenti aku dah shopping sakan dah!”

“Hmm, yelah. Lepas tu nanti aku yang jadi mangsa kena tolong bawa barang-barang kau, kan? Macam aku tak kenal kau, Ira. Bila dah shopping, tak ingat dunia.”

Spontan Athirah tergelak. Pernah suatu hari dia mengajak gadis itu menemaninya untuk ke sebuah pusat membeli-belah. Mulanya dia ingat hanya sekadar ingin membeli beberapa senarai barangannya. Tetapi bila sudah kelabu mata, semua barang-barang yang dia berkenan habis dibeli. Irishlah yang menjadi mangsa menolong membawakan barang-barang tersebut. Sudahnya, rakannya itu keletihan hingga tertidur di dalam kereta manakala dia yang mengambil-alih tugas memandu kereta Irish sewaktu pulang. Nasiblah dia punya lesen memandu.

“Irish, jomlah kita pergi makan. Penat pulak berjalan kalau tak shopping apa-apa ni.”

“Penat? Tahu pun penat. Tapi bila shopping, hyper active pulak. Makan pun lansung tak ingat!” sengaja Irish memerli rakannya. Namun, hanya sengihan yang dipamerkan oleh gadis itu.

Mereka memilih untuk makan di salah sebuah restoran yang terdapat di dalam pusat membeli-belah tersebut. Sementara menanti makanan yang dipesan tiba, mereka hanya bersembang kosong sambil melihat gelagat orang ramai yang lalu lalang di situ.

So, apa plan kau lepas ni?” Athirah bertanya kepada Irish.

“Hmm, aku ingat nak kerja dulu. Bila dah okay nanti dan ada rezeki, Insyaallah aku sambung master. Kau?”

“Samalah. Aku ingat pun macam tu. Kerja dulu. Tapi sebelum kerja ingat nak balik kampung sekejap jenguk family aku. Sebulan lebih dah aku tak balik sebab exam ni. Rindu dah kat diorang tau!” luah Athirah sambil tersenyum. Fikirannya sudah terbayangkan keluarganya yang berada di Melaka.

“Baguslah. Apa-apa pun, utamakan family dulu. Keluargalah orang yang paling penting sebab diorang yang selalu ada dengan kita waktu susah senang. Takkan pernah tinggalkan kita walau apapun terjadi.”

Athirah hanya terangguk-angguk mengiakan butir bicara rakannya itu. Sebentar kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka menghantar hidangan yang dipesan. Aroma makanan yang menusuk ke hidung membuatkan perut mereka semakin berbunyi minta diisi. Sambil berbual, mereka terus menikmati hidangan yang agak menyelerakan itu walaupun ini kali pertama mengunjungi Restoran Noodle Station tersebut.


“NAMPAK gayanya macam tak ada rezekilah nak jumpa calon suami kat sini hari ni!” bicara Athirah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke tempat letak kereta untuk pulang.  

            “Hai! Ada hati jugak nak cari? Ingat lupa dah.”

            “Mestilah! Mana tahu antara lelaki-lelaki  kat shopping mall ni, diorang tu jodoh kita!”

“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.” Irish menggeleng-geleng kepala melihatkan gelagat rakannya itu yang tidak sudah-sudah dengan hajatnya sedari tadi. “Eh Ira, aku nak pegi toiletlah. Tunggu sekejap boleh?”

Athirah mengangguk sambil menyambut handbag yang dihulurkan Irish. Setelah itu dia duduk di kerusi berhampiran yang sedia ada di situ sementara menunggu rakannya kembali.

Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke tandas berhampiran. Tidak mahu dia membiarkan Athirah berlama-lama menunggu. Kepalanya hanya tertunduk memandang lantai tanpa menoleh sesiapa di situ.

“Ouchh!”

Irish mengaduh sambil memegang bahunya. Tanpa sedar, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas berisi barang yang dibawa lelaki itu juga sudah jatuh terlepas ke lantai. Tanpa berlengah, Irish mengambil beg-beg tersebut lalu diberikan semula kepada lelaki itu tanpa melihatnya. Punyalah kalut dia sehinggakan tidak berani memandang wajah lelaki tersebut. Dia tahu salahnya tidak memandang depan semasa berjalan tadi.

“Maaf!” Irish menunduk seraya memohon maaf dan kemudian terus berlalu meninggalkan tempat itu.

Lelaki tadi masih terus memandang Irish hinggalah kelibat gadis tersebut menghilang di sebalik dinding. Termangu seketika dia dibuatnya. Namun hatinya sedikit tercuit melihatkan gelagat gadis itu.

‘Tak sempat aku nak jawab dah lari. Takut benar!’

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sebelum mengatur semula langkahnya.  


No comments: