Google+ Followers

Sunday, May 18, 2014

BAB 11 : BAYANGAN GURAUAN




I
   RISH membelokkan keretanya memasuki perkarangan sebuah rumah Semi-D. Kelihatan kedua-dua kereta Izzul serta isterinya terparkir elok di dalam garaj. Malam ini nampaknya dia akan bermalam di sini memandangkan permintaan alongnya yang inginkan dia turut serta ke majlis ulangtahun perkahwinan ibu bapa Tengku Hafiy. Ikutkan hati memang dia keberatan untuk pergi. Maklumlah, kalau sudah majlis itu diadakan oleh orang yang berketurunan kerabat diraja, sudah tentulah tetamu-tetamu yang hadir nanti bukan calang-calang orang. Tetapi bila mengenangkan alongnya yang beria-ia mengajak, ditambah pula Tengku Hafiy yang sudah mengingatkannya berkali-kali untuk hadir, tidak sedap pula jika tidak diturutkan permintaan kedua-dua insan itu.


Irish keluar dari kereta lantas mengambil barang-barangnya di bahagian belakang. Setelah itu, dia memberi salam pada tuan rumah di dalam. Beberapa ketika, pintu rumah dibuka. Kelihatan seorang kanak-kanak menjengulkan kepalanya keluar.

Yeay! Acik Irish dah sampai!” jerit kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dan terus meluru keluar mendapatkan Irish sebelum memeluk erat ibu saudaranya. Pelukan Alief Qusyairi turut dibalas Irish.

“Ermm... rindunya Acik Irish kat Airi ni. Lama tak jumpa. Adik Qis mana?” Irish bertanyakan tentang anak Izzul yang seorang lagi, Aliefa Qisrina.

“Adik ada kat dalam dengan papa dan mama. Jomlah masuk, Acik Irish. Meh, Airi tolong bawakan beg!” tutur Qusyairi. Diambilnya satu beg yang bersaiz kecil lalu digamit tangan ibu saudaranya untuk masuk ke dalam rumah sebelum Irish ditarik ke sofa untuk duduk di sebelahnya. “Papa! Mama! Acik Irish dah sampai dah!”

Selang beberapa minit kemudian, kelibat Izzul dan Safiya muncul dari arah dapur bersama Qisrina yang berada di dalam dukungan papanya. Irish bangun untuk bersalaman dengan along serta kakak iparnya dan kemudian mengambil Qisrina dari dukungan Izzul.

        “Irish duduklah dulu. Kak long buat air kejap ya,” ujar Safiya lalu masuk semula ke dapur meninggalkan suami, adik ipar serta anak-anaknya di ruang tamu.

     “Pukul berapa Irish gerak tadi?”  Izzul menyoal sebaik melabuhkan duduknya di sofa bertentangan dengan Irish. Qisrina yang sudah terlentok di pangkuan Irish dipandang sekilas. Memang anak-anaknya agak manja dengan adiknya itu.

            “Lepas Asar tadi terus gerak. Umi, ayah dengan Irhan kirim salam.”

            “Waalaikumussalam. Nanti esok Irish balik along ingat nak ikut sekali. Kesian kat budak-
budak ni asyik tanya bila nak balik rumah atuk dengan nenek dia.”

            “Eloklah, long. Umi dengan ayah pun dah rindu dengan cucu-cucu dia yang kat sini.” Kepala Qisrina yang terlentok di bahunya dicium. Ketika itu juga Safiya muncul dari dapur dengan menatang dulang berisi air dan sedikit kuih-muih. “Pukul berapa along nak pergi rumah Tengku malam ni?”

            “Lepas Isya’ dalam pukul 8.45 macam tu.”

            “Ada party ke?”

            “Ishh, tak adalah! Keluarga Tengku bukan jenis macam tu. Cuma buat majlis doa selamat and then kenduri arwah sekali. Lepas tu adalah jamuan sikit.”

            “Minumlah, Rish. Makan kuih tu. Kak Long tak ada buat apa. Ni pun along yang beli tadi kat cafe depan sana,” pelawa Safiya pada Irish.

            “Tak apa, Kak Long. Ini pun dah cukup.”

            “Lepas minum Irish pergilah naik atas berehat. Lepas Isya’ nanti turun, kita gerak. Along nak keluar pergi cuci kereta kejap.” Izzul berpesan pada adiknya sebelum bangkit dari sofa. “Airi nak ikut papa?”

            “Nak!” Cepat sahaja anak kecil itu bangun mendapatkan papanya yang sudah berada di muka pintu.


            “Nasiblah adiknya dah tertidur. Kalau tak, dengan budak-budak ni sekali nak ikut. Bukannya boleh tinggal diorang berdua ni!” ngomel Safiya, membuatkan Irish tertawa mendengarkannya. Qisrina yang sedang lena dipangkuan, ditepuk dengan lembut agar tidak terjaga dengan suara-suara mereka.
        

           
PERJALANAN yang memakan masa selama lebih kurang tiga puluh minit dari rumah Izzul itu berakhir di suatu kawasan kediaman golongan elit yang agak mewah. Kelihatan banglo-banglo yang berbagai reka bentuk dan gaya terdapat di sepanjang kiri dan kanan jalan menghala ke rumah keluarga Tengku Hafiy. ‘Berapa jutalah agaknya diorang buat rumah besar-besar macam ni, ya?’ Irish menyoal di dalam hati. Terkesima seketika dia melihat rumah-rumah di sekitar kawasan yang agak berbukit itu. Ralit benar memerhati hingga tidak sedar rumah yang ingin dituju oleh mereka sudah semakin hampir. Beberapa minit kemudian,  kereta berhenti di hadapan sebuah banglo besar yang dibina tinggi sedikit di atas sebuah bukit. Kawasan banglo itu kelihatan lebih luas berbanding banglo-banglo lain yang dilihatnya sebentar tadi. Terpampang sebuah papan tanda di hadapan pintu pagar dengan nama ‘Villa Haiyan’.

Okay, kita dah sampai. Jom!”

Izzul mendahului yang lain keluar dari kereta. Tangan isterinya digamit untuk masuk ke perkarangan villa sambil mendukung Qisrina. Irish yang memimpin tangan Qusyairi, mengekori mereka di belakang. Kelihatan sudah ramai tetamu yang telah sampai ke teratak mewah milik ibu bapa Tengku Hafiy itu. Masing-masing mengenakan baju Melayu serta baju kurung bagi menghormati majlis yang diadakan pada malam ini.

            “Assalamualaikum.” Izzul memberi salam sebaik terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang sibuk menyambut kedatangan para jemputan yang hadir.

            “Waalaikumussalam. Eh, Zul! Laaa... aku ingatkan tak datang tadi!”

            “Sorry, lambat sikit. Budak-budak ni buat hal tadi.”

      “Alaa... biasalah budak-budak. Eh, jomlah masuk! Fiya, silakan. Ha, Irish pun ada! Alhamdulillah, sampai jugak. Jom, jom masuk!” pelawa Tengku Hafiy yang segak berbaju Melayu rona ungu gelap itu sebaik terpandangkan Safiya dan Irish.

            Melangkah masuk sahaja ke dalam villa tersebut, seluruh tetamu yang hadir sudah memenuhi ruang kediaman itu. Izzul mengambil tempat bersebelahan Tengku Hafiy dan Tengku Haiyan, menyertai para jemputan lelaki yang berada di ruang hadapan. Qusyari turut dibawanya bersama. Sementara Safiya pula membawa Qisrina dan Irish duduk menyertai jemaah perempuan di ruangan tengah, bersebelahan dengan kakak Tengku Hafiy, iaitu Tengku Hazleen Damyra yang sudah dikenalinya itu.

            Tepat jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan tahlil arwah dan bacaan yasin diikuti dengan bacaan doa selamat sempena meraikan hari ulangtahun perkahwinan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina yang ke tiga puluh tiga tahun. Memang beginilah rutin kedua suami isteri itu menyambut ulangtahun perkahwinan mereka hampir setiap tahun. Biarpun sederhana sambutannya tetapi lebih afdal. Yang lebih penting, ia mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah swt. Satu jam berlalu, majlis kenduri arwah dan doa selamat selesai dijalankan. Di kesempatan itu juga Tengku Haiyan memberikan sedikit ucapan kepada para tetamu yang hadir bagi sama-sama menyempurnakan majlis malam ini sebelum mereka dipersilakan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di perkarangan villa.

“Helena tak datang ke, Fiy?” Izzul memulakan bicara tatkala mereka sedang menikmati juadah makanan bersama tetamu-tetamu yang lain.

“Tak. Dia balik kampung dengan family. Last minute. Emergency.”

            “Mak Engku dengan adik perempuan kau mana? Dari tadi tak nampak-nampak.”

Spontan Tengku Hafiy memanjangkan leher mencari. Namun kelibat tetamu yang ramai membataskan pandangannya. “Ada kut kat sini-sini. Busy betul dari siang tadi.”

        “Yelah. Tengok tetamu pun ramai malam ni. Silap hari bulan tak dapatlah aku jumpa Mak Engku dengan family kau yang lain.”

           “Eh! Apa pulak tak jumpanya. Jumpa nanti. Mama aku tengah sibuk melayan tetamu tu. Kau pun janganlah balik awal sangat. Dah lama tak datang sini, kan. Staylah lama sikit. Rumah kau bukannya jauh sangat pun!” Tengku Hafiy cuba memujuk rakannya. Dan seperti biasa, Izzul hanya menurut kata-kata itu memandangkan dia juga sememangnya ingin berjumpa dengan keluarga Tengku Haiyan yang sudah lama tidak ditemui.
            

          
WAKTU semakin membilang detiknya ketika para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan villa tersebut. Hanya beberapa orang rakan-rakan dan saudara-mara Tengku Haiyan sahaja yang masih tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.


            “Izzul.”

Izzul yang sedang rancak berbual dengan Tengku Hafiy, sedikit tersentak dengan panggilan tersebut. Spontan dia menoleh ke belakang. Sebuah senyumannya terukir kala melihat susuk tubuh itu. Lantas dia bangun untuk bersalaman. “Mak Engku. Apa khabar?”

“Sihat, Alhamdulillah. Izzul sihat? Lama dah kamu tak datang ke sini. Rindu betul Mak Engku!” Tengku Dafina meraih huluran salam Izzul lalu dikucup kepala lelaki itu. Satu kebiasaan yang dilakukan pada anak-anaknya, termasuk Izzul. Tidak dinafikan hubungannya dan Izzul memang rapat semenjak Tengku Hafiy sering membawa lelaki itu bermalam di villa sewaktu mereka menuntut sama dahulu. Sehingga lama-kelamaan dia mengambil Izzul menjadi anak angkatnya. Gelaran Mak Engku yang digunakan oleh Izzul itu juga atas saranannya sendiri. Nampak lebih mesra dan sedap didengar.

“Zul sihat, Mak Engku. Maaflah sibuk sikit. Tu yang jarang ada masa nak ke sini. Lagi-lagi Fiya tengah berbadan dua. Tak boleh nak tinggalkan sorang-sorang,” jelas Izzul sambil menoleh ke arah isterinya yang sedang memangku Qisrina yang sudah lena.

“Laaa... kesiannya cucu Nek Engku. Dah tertidur kat mama dia!” Tengku Dafina mendapatkan Safiya sebaik terpandangkan wanita itu. Pipi Qisrina diusapnya lembut. “Fiya sihat, nak? Baby dalam perut ni macam mana? Bila due?”

“Sihat, Mak Engku. Baby pun sihat, Alhamdulillah. Insyaallah lagi dua bulan macam tu,” Safiya membalas. Tangan Tengku Dafina diraih untuk bersalam. Sama seperti Izzul, kepala
 Safiya juga turut dicium oleh wanita itu.

“Yang heronya ni mana? Tak nampak pun.”

“Ada kat sana tu, dengan makcik dia. Sibuk nak tengok ikan dalam kolam katanya,” beritahu Izzul sambil menunjuk ke arah kolam ikan yang terletak di taman mini tidak jauh dari tempat mereka. “Airi! Mari sini salam dengan Nek Engku!”

Mendengarkan panggilan Izzul, Irish mengajak anak buahnya itu kembali ke meja mereka. Qusyairi akur walaupun dia belum puas melihat ikan-ikan tersebut. Kakinya diatur mengikuti langkah Irish. Sampai sahaja di situ terus dia menyalami Tengku Dafina.

“Cucu Nek Engku ni belum tidur lagi? Tak mengantuk ke Airi?”

“Belum, Nek Engku. Seronok tengok banyak ikan dalam kolam tu. Kan, Acik Irish?” celoteh Qusyairi lalu mendongak memandang Irish yang tidak jauh di belakangnya. 

Tengku Dafina menyoroti pandangan kanak-kanak tersebut. Dipandang wajah gadis yang dimaksudkan oleh Qusyairi. Melihat sahaja gadis itu membuatkan Tengku Dafina memandang ke arah Izzul, seakan bertanya. Izzul yang mengerti lansung menghampiri Irish dan memeluk bahu adiknya itu.

 “Mak Engku, kenalkan ini adik perempuan Izzul. Irish.”

Irish memandang alongnya. Dan bila melihat mata Izzul seakan memberi isyarat, kakinya terus bergerak menghampiri wanita separuh usia itu.

 “Assalamualaikum, Tengku. Apa khabar?” sapa Irish lalu menghulur salamnya. Sebaik Tengku Dafina menyambut huluran tersebut, tangan wanita itu dikucup hormat. Irish kembali menegakkan badannya sebelum ingin menarik tangan dari genggaman Tengku Dafina. Namun pegangan di tangan bagai enggan dilepaskan. Malah mata wanita itu juga lansung tidak berkalih dari terus merenungnya. ‘Alamak! Kenapa ni?’ bisik Irish resah.

Tengku Dafina terus-terusan merenung Irish. Hinggalah tiba-tiba dia menarik Irish dekat dengannya sebelum dikucup dahi gadis tersebut. Beberapa saat bibirnya menyentuh dahi Irish, barulah dilepaskan genggaman tangannya perlahan-lahan.

Irish tergamam. Sedikit terkejut dengan perlakuan wanita di hadapan. Dalam termangu, kakinya diatur menghampiri Izzul semula yang sudah pun kembali duduk bersama Qusyairi.

“Mak Engku dah takutkan Irish, ya. Maaflah. Di luar sedar Mak Engku.” Tengku Dafina seakan baru menyedari kertelanjurannya tadi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana semua itu berlaku. Saat dari mula tadi dia melihat Irish, matanya ingin terus sahaja menatap wajah gadis tersebut. Seperti ada sesuatu yang menarik minatnya untuk terus menikmati wajah mulus itu.

“Tak apa, Tengku. Saya pun minta maaf  jugak.”

“Ishh! Tak payahlah panggil tengku-tengku. Panggil Mak Engku je, Irish. Sama macam abang kamu. Ni adik kamu yang dah kahwin tu ke, Izzul?”

“Eh, bukanlah Mak Engku. Ini adik perempuan Izzul yang bongsu. Belum kahwin lagi. Yang dah kahwin baru dua orang.”

“Oh, iya ke? Masih belajar?” tanya Tengku Dafina lagi. Hatinya bagai teruja ingin mengetahui tentang gadis bernama Irish itu.

“Ma, nilah adik Izzul yang baru kerja dekat syarikat papa tu.” Tengku Hafiy yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, mencelah perbualan tersebut. 

“Sebut-sebut nama papa ni, ada apa-apa yang papa boleh join ke? Hmm?”

Tiba-tiba suara Tengku Haiyan muncul di situ, membuatkan semua menoleh ke arahnya. Kedua-dua anak perempuannya serta suami Tengku Hazleen juga turut ada bersama. Oleh kerana kesemua tetamu telah pulang, mereka tidak ingin melepaskan peluang untuk menyertai kelompok yang masih tegar berada di situ walaupun malam semakin larut.

            “Tak ada apalah, papa. Ni Hafiy tengah kenalkan staff baru syarikat papa pada mama ni.”

            “Staff baru?”

            “Iya. Salah satu staff baru yang Hafiy cerita kat papa tempoh hari. Perkenalkan, Irish Qiara Izzuddin. Our new Financial Executive in Haiyan Holdings. Dan juga merupakan adik kepada kawan baik Hafiy, Izzul Qalief Izzuddin!”

            “Laa... iya ke? Kecik betul dunia ni. Pusing sana pusing sini, bertembung jugak akhirnya!” seloroh Tengku Haiyan lalu mengambil tempat duduk di sebelah Tengku Hafiy. Begitu juga Tengku Dafina dan yang lain.

            “Itulah. Masa finalised calon-calon hari tu, Hafiy tak tahu pun Irish ni adik Zul. Dah seminggu lebih dia kerja, baru dapat tahu. Itupun sebab bertembung dengan si Zul dan adiknya ni. Kalau tak, sampai sekarang pun Hafiy tak tahu kut.”

       Tengku Haiyan mengangguk-anggukkan kepalanya. “Pak Engku minta maaflah ya Irish tak dapat nak menjenguk staff yang baru masuk ke syarikat. Tak berkesempatan lansung. Ha... ni dah jumpa malam ni, dapatlah jugak kenal-kenal. Nak-nak pulak adiknya si Izzul ni, ya!”

            “Ada jodohlah tu!”

       “Siapa yang ada jodoh, Reen?” Tengku Dafina menyoal anak bongsunya yang tiba-tiba mencelah.

“Jodoh Kak Irishlah, ma!” balas Tengku Hazreen.

            “Jodoh dengan siapa pulak ni?”

            “Siapa lagi. Dengan anak mamalah!”

            “Siapa? Dengan abang awak ni? Tak payah! Yang dah diikat tu pun belum menjadi, ada hati nak cari lain!” bidas Tengku Hazleen dengan selamba, membuatkan semua yang ada memandang Tengku Hafiy dan tertawa.   

“Eh! Hafiy tak ada cakap apa-apa pun, ya. Adik tu yang memandai!”

“Ishh, bukan abanglah! Jangan perasan! Tengoklah dengan siapa-siapa nanti. Yang pasti, masih single and available!” ujar Tengku Hazreen lagi dengan lirikan senyum penuh makna.

Dan perbualan mereka berlanjutan hingga ke topik-topik yang seterusnya. Adakala mereka ketawa, ada masa tergelak besar bila ada cerita lucu yang terkeluar. Ibarat seperti sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul.  Hinggalah jam menginjak ke angka 2.00 pagi, barulah Izzul sekeluarga meminta diri untuk pulang.