Thursday, December 11, 2014

BAB 32 : BAYANGAN GURAUAN





   S
EAWAL jam 10.00 pagi Irish sudah memandu keretanya keluar dari halaman rumah. Hari ini dia mempunyai temujanji bersama Athirah. Beria-ia gadis itu ingin berjumpanya. Ada berita gembira yang ingin disampaikan katanya. Dari nada ceria gadis itu melalui perbualan mereka di telefon, ternyata rakannya itu benar-benar tidak sabar untuk memberitahunya tentang perkhabaran tersebut.


Destinasi pemanduan Irish dihalakan ke Empire Shopping Gallery yang terletak di Subang Jaya. Setibanya di sana, Irish memaklumkan pada Athirah bahawa dia menunggu di Restoran Vivo yang terdapat di dalam bangunan pusat membeli-belah itu. Setelah membeli makanan di kaunter, Irish lansung mencari tempat duduk yang agak tersorok agar lebih privacy apabila berbual bersama Athirah nanti. Bukan dia tidak tahu gadis itu bila bercerita tidak sah kalau orang berhampirannya tidak mendengar sekali. Mengingatkan itu, spontan Irish tertawa kecil sambil mengesat matanya. “Ira, Ira. Lawak betullah kau ni.”

“Ha! Apa yang lawak betul tu?!”

Secara tiba-tiba Irish dikejutkan dengan sergahan itu. Bagai ingin lurut jantungnya menahan rasa terkejut di dada.

“Ira! Kau ni, kan. Tak sudah-sudahlah dari dulu!”

Mengekek ketawa Athirah melihat reaksi rakannya. Dia kemudian mengambil tempat di hadapan Irish dan terus sahaja menyedut minuman di atas meja. “Sorry, Rish. Dah lama aku tak menyakat kau macam ni. Seronok pulak!”

“Kan? Kau memang. Jumpa kalau tak menyakat aku, tak sah kan?” tingkah Irish geram. “Awal kau datang hari ni? Baru pukul 10.50 dah sampai. Azam baru ke?”

“Kau perli aku, ya? Tahulah selalu aku yang lambat. Tapi tu dulu, ya. Sekarang, no more!” balas Athirah sambil menggerakkan jari telunjuknya di hadapan Irish.

“Tu aku tanya. Azam baru ke? Ke sebab lain? First time ni kau sampai on time.”    

“Ha! Sebab tulah aku ajak kau jumpa hari ni. Pasal berita gembira yang aku nak bagitahu kau tu!”

“Oh! Yang kau cakap surprise tu? Hmm, apa dia? Cakaplah.”

“Irish, sebenarnya kan aku… aku...,” tersipu-sipu Athirah ingin memulakan ayatnya.
“Dah, tergagap-gagap pulak dia. Cakap jelah!”

“Aku nak bertunang, Irish!”

“Hmm?? Biar betul? Bila? Dengan siapa?” riak Irish jelas terkejut sebaik mendengarkan
 perkhabaran tersebut. Selama ini rakannya itu tidak pernah bercerita dengan siapa dia serius berkawan, walaupun dia tahu gadis itu memang ramai kawan lelaki. Dia ingat Athirah berkawan dengan mereka hanya sekadar suka-suka.

“Amboi! Banyak benor soalannya!”

“Dah kau tiba-tiba je. Langsung tak bagitahu kut!”

 “Okay, okay! Sorry sebab tak pernah cerita kat kau. Bukan tak nak cerita, tapi kau tu yang busy dua puluh empat jam. Manalah ada masa untuk aku ni.”

Okay, my mistake. I’m sorry, Ira.” Irish menggenggam tangan Athirah.

“Hey! Aku main-main jelah. Kau ni, sensitif sangat! Aku faham kau sibuk. So tak naklah kacau. Ni yang aku beria-ia nak jumpa kau hari ini. Bolehlah aku cerita panjang.”

So, ceritalah. Aku nak dengar ni. Siapa lelaki yang bertuah tu?” Irish menongkat dagu memandang Athirah.

“Sebenarnya dia client aku. Mula-mula client. Bila dah selalu jumpa, kau faham-faham jelah sendiri. Client bertukar jadi boyfriend! Then lapan bulan berkawan, dia proposed aku jadi isteri dia.”

“Serius?”

Athirah hanya terangguk-angguk menjawab pertanyaan gadis di hadapannya.

So, bila majlis tu?”

Next month. Kau kena datang tau. Wajib!”

“Insyaallah. Siapa nama dia?”

“Zamir. Dia tua dua tahun dari kita. Ada masa nanti aku kenalkan kau dengan dia.”

Irish tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu. Jelas Athirah sangat gembira menanti hari pertunangannya. Dan dia senang melihat kegembiraan itu.

“Kau bila, Rish?”

“Hmm?” Irish yang sedang meneguk minumannya, terhenti. “Apa yang bila?”

“Yelah. Kau bila lagi? Dah jumpa?”

“Belum. Nantilah.” Lambat sahaja Irish menjawab, membuatkan Athirah mengeluh.

“Itu je jawapan kau, kan. Sama je dari dulu. Sampai bila, Rish?”

“Sampai aku jumpa pemilik tulang rusuk kiri nilah.”

Kali ini lengan Irish dipukul Athirah. “Kau ni, kan! Aku serius, kau main-main pulak!”

“Main-main apanya. Betullah apa aku cakap, kan.”

“Yelah, Irish. Nanti dah tua tak laku, baru tahu!” tingkah Athirah seraya mengambil sepotong pizza lalu menjamahnya. “Tapi kalau kau nak cari calon, aku ada. Kau nak? ”

Irish menjuihkan bibirnya. Pantas dia menggeleng. “Tak nak.”

“Ishh, kau ni! Dari dulu susah betullah! Bukannya tak ada yang nak. Ramai. Tapi kau tu yang jual mahal sangat! Ataupun...,” Athirah mendekatkan dirinya pada Irish, seakan ingin berbisik sesuatu. “Kau dah sangkut dengan boss kau tu?”

Membulat mata Irish mendengar. “Siapa?”

“Alaa... boss kau tulah. Siapa nama dia? Tengku... Tengku Harrys? Ha, yes! Mamat yang kau langgar sampai tiga kali tu!”

“Tak ada maknanya, Ira. Minta dijauhkan!”

“Kenapa? Apa salahnya kalau kau sangkut dengan dia pun. Aku rasa kau ada jodoh dengan dialah, Rish. Tiga kali berlanggar, then kerja bawah satu bumbung, satu department pulak tu. Hmm... Aku rasa kalau hari ni kau terjumpa atau terlanggar dia kat sini, memang confirm dia jadi laki kau!” bicara Athirah dengan selamba.

“Eh, kau makan! Baik kau makan. Sebelum aku sumbat mulut kau dengan pizza aku ni pulak!” ugut Irish apabila rakannya itu tidak henti-henti bercakap dan mengusiknya. Namun yang sebenarnya dia berasa sedikit gelisah apabila nama lelaki itu disebut-sebut semula. Hanya mengingatkannya kembali tentang insiden yang berlaku malam tadi.

“Uiittt! Garangnya kau hari ni, Irish! First time aku tengok kau macam ni!”

“Ha’ah! Dengan kau je aku garang. Suka kan dapat usik aku? Dah, cepat habiskan makan. Lepas ni temankan aku cari barang.”

Yes, maam! Arahan diterima!” balas Athirah sambil terus menghabiskan makanannya dengan tawa yang masih bersisa. Seronok sekali sekala dapat melihat Irish marah begini. Namun dia tahu gadis itu bukanlah bena-benar marah. Sepanjang mengenali Irish, dia tidak pernah melihat rakannya itu marah-marah tidak tentu pasal. Kecuali jika ada yang telah mengguris hatinya, dan kesabarannya sengaja dicabar. Jadi jangan terkejut bila Irish akan bertukar perwatakan dalam sekelip mata. Bak kata orang, orang yang nampak lembut ini kalau sekali marah dia sudah datang, dunia pun boleh terbalik jadinya. 



KEDUA sahabat itu menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar pusat membelah berkenaan. Sekadar ingin mencuci mata. Bila ada yang berkenan, barulah mereka membelinya.

“Ira, aku nak pergi kedai buku sekejaplah.”

Okay. Jom!” Terus sahaja Athirah menggamit lengan Irish masuk ke dalam sebuah kedai buku. “Alright! We are here. Kau nak cari buku apa, Rish?”

“Buku finance.”

“Hai! Ingatkan dah kerja tak payah beli buku-buku finance ni. Rupanya sama jugak!”

Spontan Athirah tergelak. Namun Irish hanya membiarkan. Dia mula mencari buku-buku berkaitan kewangan. Satu-persatu buku di situ dibeleknya. Habis itu, dia bergerak untuk mencari buku yang lain pula. Athirah dibiarkan sendirian mencari buku-bukunya.

“Aduh!”

Irish terjerit kecil. Tangan kirinya memegang bahu kanan yang kesakitan. Buku-buku yang dipegangnya lansung jatuh ke atas lantai. Mata-mata di sekeliling juga sudah memandang ke arahnya. Tidak mahu terus menjadi perhatian, Irish duduk lalu mengambil buku-bukunya semula. Namun pergerakannya terhenti bila tiba-tiba kepalanya menangkap insiden yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

‘Dia lagi ke? Ya Allah, janganlah!’ detiknya.

Pantas Irish mendongak. Namun apa yang diharapkan sebaliknya. Wajah lelaki itu juga sekali lagi yang muncul di hadapannya. Irish mengetap bibir. Jantungnya seakan berhenti berdegup. Tubuhnya dirasakan lemah. Lututnya juga menggeletar tiba-tiba. Serasa bila-bila masa sahaja dia boleh rebah di sini.

“Irish!” terkocoh-kocoh Athirah mendapatkan Irish sebaik mendegar jeritan gadis itu. “Kenapa ni? Kau okay ke?” Athirah memegang muka Irish yang sudah pucat. Kalau ditoreh mahu tiada darah yang keluar. 

“Irish, kau okay tak?!” Sekali lagi Athirah bertanya sambil mengongcang bahu Irish. Namun gadis itu masih tetap membatu. Hanya matanya sahaja memandang ke arah seseorang di hadapan. Athirah menyoroti pandangan mata Irish. Dilihatnya seorang lelaki sedang tegak berdiri sambil membalas pandangan rakannya itu.

Melihat Irish hanya terkaku, Tengku Harrys turut sama duduk untuk membantu mengambil buku-buku yang terjatuh di atas lantai sebelum dia berdiri semula. Matanya tidak lepas dari merenung wajah pucat di hadapan. Mungkin gadis itu masih terkejut. Walhal dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan Irish di sini. Niat di hati ingin mencari beberapa buku serta majalah kegemarannya. Namun tidak sangka dia akan dikejutkan dengan kejadian sebegini. Untuk sekali lagi.   

“Siapa?” Athirah berbisik perlahan sambil menyenggol bahu Irish. Hairan melihat lelaki itu juga tidak lepas-lepas dari merenung Irish sedari tadi.

“Harrys... dah dapat buku yang you cari?”

Kelibat Tengku Melissa yang muncul entah dari mana, datang menerpa ke arah Tengku Harrys tiba-tiba. Dengan hanya mengenakan baju sleeveless serta mini skirt separas peha, dia memaut lengan lelaki itu tanpa rasa segan.

“Hey, sayang! Kenapa ni?” soal Tengku Melissa sekali lagi apabila lelaki itu hanya diam membisu sambil matanya masih terpaku pada gadis di hadapan.

Melihatkan itu, Irish segera bangkit dan terus mengambil buku-bukunya dari pegangan Tengku Harrys. “Err... thanks!”

Seraya Irish menarik tangan Athirah untuk beredar dari situ. Athirah yang tidak mengerti apa-apa, hanya akur dengan perlakuan Irish. Sedikit hairan dia dengan keadaan yang sedang berlaku. Dan yang lebih menghairankan lagi adalah kehadiran lelaki serta wanita tadi yang menyebabkan Irish tergesa-gesa menariknya keluar dari kedai buku tersebut.


SO, itulah boss kau? Tengku Harrys? Yang kau cakap tu?” Athirah bertanya sewaktu mereka dalam perjalanan menuju ke tempat letak kereta. Keluar sahaja dari kedai buku tadi, Irish terus mengajaknya pulang. Hinggakan novel dan majalah yang sudah dipilihnya tadi, terpaksa diletakkan semula. Begitu juga dengan buku-buku Irish.

             “Iya.”

            “Serius?!”

            “Ya, Ira.” Lemah sahaja Irish menjawab.

            “Hmm... boleh tahan. Handsome, putih, tinggi. Kalau aku jadi kau, tak lepas dah!”

            Serta-merta langkah Irish terhenti. “Apa yang tak lepas?”

            “Tak lepaskan dia kat orang lainlah! Bertuah kalau kau dapat dia, Rish!”

       Jawapan Athirah itu membuatkan Irish merenung tajam gadis tersebut. Tidak menyangka rakannya akan berfikir hingga ke tahap itu. Lantas dia menyambung kembali langkahnya sebelum Athirah mengikuti di belakang.

        “Jangan nak beranganlah, Ira. Fikir sikit dia tu siapa, keturunan apa. Tu tadi tak nampak, perempuan kat sebelah dia tu.”

            “Ha! Lupa aku nak tanya pasal perempuan tu. Siapa dia? Bukan main manja lagi dengan boss kau. Daring betul! Dengan baju yang tak cukup kain tu. Menyampah pulak aku tengok! Siapa tu, Rish?”

“Sepupu dia. Baru balik dari US.”

            “Hmm... sepupu je. Bukan girlfriend dia pun!”

            Sekali lagi langkah Irish terhenti. “Kenapa kalau bukan girlfriend dia? Kau nak try?”

            “Eh! Apa pulak aku? Zamir aku nak campak mana?”

            “Tahu pun. Dah tu, yang kau sibuk sangat pasal boss aku tu kenapa?”

           “Bukan aku. Kaulah! Tak salah kalau kau cuba, kan? Aku tengok tadi bukan main lagi Tengku tu tenung kau. Tak toleh kiri kanan pun. Aku rasa kan, dia syok kat kaulah!”

            Pantas Irish mengangkat tangannya sebagai isyarat agar Athirah berhenti dari berbicara. Dan serentak itu satu getaran halus menjalar di tangkai hatinya. “Kau sebut lagi pasal tu lepas ni, kau balik sendiri!”

 Terus Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke kereta yang hanya beberapa meter sahaja di hadapan. Malas dia mahu melayan Athirah lagi.

         Athirah semakin terpinga-pinga dengan tingkah rakannya. “Yang dia nak sentap sangat ni kenapa? Aku saja je main-main. Kalau betul pun, apa salahnya?” mengomel dia sendirian di situ tanpa menyedari Irish sudah jauh berjalan meninggalkannya di hadapan. Pantas dia mengejar langkah gadis itu.  

            “Eh, Irish! Tunggu! Okay, okay, aku tak sebut lagi dah!”


No comments: