Google+ Followers

Friday, July 22, 2016

BAB 1 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)


** Entry ini dan seterusnya adalah versi Bayangan Gurauan (BG) yang telah dibuat penambahbaikan untuk pihak Editor. Ada sedikit rombakan di dalam cerita telah saya lakukan atas nasihat mereka. Moga anda pembaca-pembaca yang saya kasihi semua terhibur.





PA??! Irish benar-benar terkejut dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi. Reza pula hanya berdiri berpeluk tubuh sambil merenung ke arah tasik yang terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa pada pertemuan kali ini.
“Awak jangan nak berguraulah, Reza. Ini bukan benda main-main. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?”
“Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau.” Reza membalas tenang. Matanya masih lagi terarah ke hadapan, melarikan wajahnya dari pandangan gadis itu. Sungguh, dia benci untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Namun dia tidak punya pilihan.
“Tapi kenapa? Berbulan-bulan lamanya awak menghilangkan diri. Tak ada khabar berita. Saya dah macam separuh gila cari awak. Tiba-tiba sekarang muncul awak cakap yang awak nak putus? Hmm? Apa benda semua ni?” Irish sedaya upaya cuba memperlahankan nada suaranya agar tidak didengari oleh orang sekeliling yang turut berada di situ. Airmata yang sudah berada di hujung tubir cuba ditahan agar tidak merembes keluar. Mujurlah mereka berada di tempat awam, membuatkan dia masih lagi dapat mengawal tingkah laku dan rasa amarahnya.
Sorry, Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya dah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni.”
“Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Sebab tu keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?”
No, Irish. Bukan macam tu.”
Then what?”
Pertanyaan Irish membuatkan Reza terdiam. Tidak tahu bagaimana harus dijawab. Perlahan dia menghadap Irish, memberanikan diri menentang mata gadis itu. Dari riak muka Irish, dia tahu gadis itu sedang menahan marah.
“Cakaplah. Kenapa diam? Atau lupa macam mana cara nak bercakap? Saya dah muak dengar alasan-alasan klise awak, Reza. Baru sekarang awak nak sebut tentang semua ni? Kenapa tak sebut dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu tapi awak berkeras cakap takkan ada apa-apa masalah akan timbul. Sebab awak yakin yang keluarga awak sangat sporting and open minded untuk terima semua ni. Awak janji perkara ini takkan berlaku. Jadi mana janji-janji awak dulu tu?!” tingkah Irish geram
“Manusia boleh berubah bila-bila masa je.”
Spontan Irish menoleh, merenung tajam ke arah Reza di sebelah. Tidak menyangka jawapan tersebut yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
‘Tidak berperasaan lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikiran dia sampai jadi begini? Astaghfirullahalazim!’ beristighfar Irish di dalam hati. Kepalanya didongakkan sekilas ke langit, membuang jauh prasangka yang menjalar dalam diri. Nafas ditarik sedalam mungkin, mencari sedikit ketenangan. 
“Mudahnya awak bercakap. Setelah saya dapat yakinkan keluarga saya untuk terima awak, dan sekarang awak pulak yang nak mengalah? Atau mungkin awak sebenarnya yang dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta awak yang dah mati!” suara Irish sudah mulai kendur, cuba menahan sebak yang semakin menghimpit dada.
“Irish, tolonglah faham keadaan saya...,”
“Habis, siapa pulak yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak. Kemahuan awak untuk rahsiakan hal ini dari keluarga awak, dari semua orang. Dan selama tu jugaklah saya bersusah payah pujuk keluarga saya untuk restui hubungan ni. Sekarang, senang-senang awak nak suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!”
Kemarahan Irish sudah tidak terbendung lagi. Sabarnya juga kian menipis. Lebih-lebih lagi melihatkan tingkah Reza yang bagaikan orang tidak bersalah apa-apa walaupun setiap kata-katanya bak pisau tajam yang menghiris hati. Kalaulah hanya mereka berdua sahaja berada di sini, mahu saja tangannya singgah di pipi lelaki itu. 
“Terpulanglah apa awak nak cakap, Irish. Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya lebih utama dan perlu saya jaga sekarang ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Dan apa yang telah kita lalui selama ini, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun, keluarga saya dah aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya.” Reza mula berkeyakinan untuk bersuara. Dia tidak mahu berlengah lagi untuk menyampaikan hasrat dan tujuan sebenar yang membawa dia kepada pertemuan yang mungkin terakhir kali bersama Irish ini.
“Apa maksud awak?” Irish merenung tepat ke wajah Reza. Menanti butir-butir ayat seterusnya dari mulut lelaki itu dengan perasaan berdebar-debar.
 “Keluarga saya dah carikan seorang gadis yang lebih sesuai sebagai calon isteri. Tapi maaf... bukan awak.“
 Bagai direntap jantung Irish saat ini. Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan airmata yang ditahan sedari tadi nampaknya sudah tidak kuat. ‘Keluarlah kau airmata. Keluar saja. Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!’ desis hatinya. Sungguh dia tidak menyangka ini balasan Reza setelah apa yang dia lakukan untuk lelaki itu selama ini.



“Lepas ni tak usah kita berhubung lagi, Irish. Anggap saja kita pernah kenal sebagai kawan. Bukan kekasih,” ucap Reza sambil mengenakan kacamata hitamnya dan kemudian berlalu melewati Irish.
“Reza...,”
Lemah sahaja suara itu memanggil, membuatkan langkah Reza terhenti. Lelaki itu menghadap Irish kembali dengan pandangan bersahaja.
“Awak mungkir janji-janji awak. Dan, awak lupa beban yang awak tinggalkan pada saya...,” hanya itu yang terluah di bibir Irish sambil merenung sayu ke wajah lelaki itu.
Reza terpanar. Kata-kata itu mengundang satu debaran di dadanya. Renungan sayu Irish ditatap. Renungan yang sarat dengan seribu satu pengertian buatnya. Untuk seketika, hatinya sedikit terusik. Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala. Tidak mahu kalah dengan perasaan itu, Reza berpaling semula dan meneruskan langkahnya meninggalkan Irish.
Setitis airmata jatuh lagi di pipi Irish. Dan kala itu dia tersedar dari menungannya. Cepat-cepat gadis itu mengesat airmata yang gugur. Tidak tahu entah berapa lama dia termenung mengingati peristiwa tersebut. Sudah lebih setengah tahun ia berlalu. Bermakna selama itu jugalah dia berusaha untuk melupakan segala kisah pahit yang telah berlaku.
Berat mata memandang, berat lagi bahunya yang memikul. Disebabkan peristiwa itulah dia mengalami trauma yang agak teruk. Semangatnya hilang entah ke mana. Kalaulah imannya tidak kuat, mungkin hari ini dia tidak berada di sini lagi. Mujur dia masih punya keluarga yang amat menyayangi dirinya, yang banyak membantu memulihkan semangatnya dan tidak pernah jemu memberi sokongan untuk dia bangun semula dari mimpi-mimpi semalam.
“Allah masih sayangkan Irish. Sebab tu Allah pendekkan jodoh Irish dengan dia. Dia bukan yang terbaik untuk Irish. Mungkin Allah dah sediakan lelaki yang lebih baik buat Irish nanti. InshaaAllah, jodoh pertemuan hidup mati ni kan Allat swt dah aturkan yang terbaik untuk kita. Jadi banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat pada-Nya. Sentiasa solat dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita sebagai umat Islam. Allah tidak akan uji hamba-Nya lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada hikmah yang Allah nak tunjukkan disebalik semua kejadian ini. Dan umi tahu anak umi ni seorang yang tabah dan kuat. Jangan sedih-sedih lagi, ya. Tak guna kita bazirkan airmata untuk lelaki yang tak tahu nak menghargai wanita ciptaan Tuhan seperti kita.”
Masih terngiang-ngiang lagi pesanan Puan Qarina ditelinga saat dia kehilangan arah dulu. Uminya itulah yang banyak membantu menyalurkan semangat dan kekuatan buatnya. Segala nasihat dan kata-kata peransang tidak putus-putus keluar dari mulut wanita tersebut. Bukan itu sahaja, bahkan Irish juga amat bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang amat mengambil berat. Tidak tergambar bagaimanalah agaknya jika keluarga tiada di sisi menemani selama dia bangkit semula dari kelukaan itu. Tentu dia masih lagi terperuk di bawah selimut di atas katil sambil menangisi segala yang terjadi. Atau mungkin jika diikutkan kata hati, tidak mustahil dia akan melakukan sesuatu tindakan yang di luar kewarasan akal fikiran. Bunuh diri!
‘Astaghfirullahalazim! Selisih empat puluh empat malaikat! Irish, apa yang kau melalut ni!’ gerutunya di dalam hati. Dahinya ditepuk beberapa kali seakan memarahi diri sendiri.
“Uiittt! Apasal kau ni, Rish? Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okay ke tak ni?” Irma, kakak Irish, tiba-tiba menegur dari belakang. Tidak sedar bila wanita itu masuk ke biliknya.
“Ishh, Kak Lang ni! Masuk tu bagi salam dulu boleh tak? Ni main redah je.”
“Kau tu yang termenung tak habis-habis. Kak Lang dah bagi salam dah. Siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar. So, Kak Lang masuk jelah. Kau okay tak ni?” tanya Irma sekali lagi. Sedikit risau dengan keadaan adiknya itu.
Okay je. Orang okaylah. Bila Kak Lang sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?” Irish bertanyakan tentang abang ipar serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.
“Ada tu hah kat luar tengah tengok TV. Dah habis study belum? Esok mula final exam, kan?” tanya Irma prihatin. Sudah menjadi kebiasaan bila minggu peperiksaan bermula, adiknya itu akan berkurung di dalam bilik untuk mentelaah pelajaran sebagai persediaan terakhir. Cuma kali ini dia sedikit risau dengan keadaan Irish semenjak kejadian dulu itu. Pilu hati bila mengenangkan. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan turut terasa. Itulah yang berlaku. Sungguh dia tidak menyangka Reza yang selama ini nampak baik di matanya, sanggup memperlakukan Irish sebegitu. Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu.
“Ada lagi sikit yang nak kena cover. Kak Lang masuk bilik Irish ni kenapa? Ada apa-apa nak cakap ke?”
“Err...,”
“Apa dia, Kak Lang? Sejak bila Kak Lang jadi penakut nak tanya ni. Selalunya berdesup soalan keluar dari mulut dia.”
“Ishh, sabarlah! Kak Lang nak tanyalah ni. Ermm... Irish tahu tak pasal tu?” soal Irma
 berhati-hati. Takut akan menyinggung perasaan Irish. Lebih-lebih lagi esok adiknya itu akan menduduki peperiksaan.
“Tahu pasal apa?”
“Pa... pa... pasal majlis pernikahan Re... Reza esok.”
“Oh, pasal tu. Tahu dah.”
“Hah??! Irish dah tahu? Bila? Tahu dari mana? Siapa yang beritahu? So, Irish okay tak ni?!” bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut Irma. Duduknya juga sudah beralih dari atas kerusi terus bersila di lantai menghadap Irish. Seakan tidak percaya adiknya sudah tahu akan hal tersebut. Setahu dia, tidak ramai yang tahu tetang majlis pernikahan Reza esok kerana ia diadakan secara tertutup atas permintaan Reza sendiri. Yang tahu hanyalah saudara-mara serta kenalan rapat keluarga itu. Dan yang lebih menghairankan Irma, Irish cuma bersikap tenang.
“Yang Kak Lang menggelabah semacam ni kenapa? Dah tu, bertalu-talu pulak soalan yang ditanya. Mana satu yang Irish nak jawab ni?” balas Irish sudah tergelak-gelak melihat gelagat kakaknya.
“Eh, dia ni! Orang risaukan dia, dia boleh gelak-gelak pulak! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu ni?”
“Siang tadi. Irish terdengar umi borak-borak dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Tapi terdengar tau. Bukan curi dengar. Jangan risau. Irish okay je. Tak ada apa-apalah. Irish dah lupa semua tu.” 
“Betul ni?” tanya Irma lagi inginkan kepastian.
“Ya. Betul. Dahlah, Kak Lang! Baik Kak Lang pegi tengok Adelin dengan Amsyar kat luar tu. Entah apa yang diorang tengah buat. Ni mesti Kak Lang dah warning budak-budak tu jangan masuk bilik kacau Irish, kan.”
“Menghalau nampak! Yelah, yelah. Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat pasal jantan tu. Buat sakit hati je! Tutup buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni tak selamanya akan aman. Kak Lang keluar dulu. Dah sambung study tu. Jangan asyik nak termenung je!” pesan Irma sebelum berlalu keluar.
“Iyalah, Kak Lang.”
Irish menghantar kepergian Irma dengan sebuah pandangan. Terhibur sedikit hatinya selepas berbual dengan kakaknya itu.
Irma Qatrina merupakan anak ketiga dalam keluarga. Memang kakaknya itu kerap pulang ke rumah memandangkan dia tinggal berhampiran sini. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief dan Kak Ngahnya, Iman Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali pulang. Abang serta kedua-dua kakak Irish masing-masing telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri manakala dia dan dua lagi adik lelakinya yang masih bujang, Irhan Qawiem dan Irfan Qayyum masih menetap bersama kedua orang tua mereka.
Irish kembali menyambung ulangkaji yang tergendala sebentar tadi. Entah mengapa berita yang disampaikan oleh kakaknya tidak terkesan langsung di hati. Malah sebulan yang lalu ketika berita pertunangan Reza sampai ke telinganya melalui seorang rakan, dia juga hanya tenang mendengar. Tidak tahu mengapa. Hendak menangis tidak, hendak ketawa jauh sekali. Dia lebih senang berdiam diri. Walaupun pada mulanya dia yang begitu berat untuk melepaskan Reza pergi.
Benar, kisah silam itu meninggalkan kesan yang amat mendalam pada dirinya hingga membuatkan hatinya menjadi tawar untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula. Baginya biarlah keadaan begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Hingga tiba suatu saat nanti jika Allah bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima lelaki, dia redha. Bila? Biarlah masa yang menentukan.
‘Masih adakah sinar bahagia untuk kau kecapi bersama insan lain, Irish?’ Entahlah. Dia sendiri tidak pasti!