Google+ Followers

Friday, September 2, 2016

BAB 23 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







L

ANGKAH kakinya dihayun menuju ke kafe hotel yang terletak di tingkat bawah. Masuk sahaja ke dalam kafe tersebut, Irish mula mencari-cari kelibat seseorang. Namun apa yang dicarinya tidak ditemui.
‘Hmm, mana dia ni?’ detik hatinya. Baru dia berkira-kira ingin melangkah pergi, matanya tertancap pada sesusuk tubuh di satu sudut yang agak tersorok di dalam kafe itu. Irish terkaku. Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah ke meja tersebut. Mengingatkan apa yang berlaku malam tadi membuatkan dirinya terasa malu untuk berdepan dengan lelaki itu. Sangkanya usikan Tengku Harrys habis setakat mereka pulang dari makan malam. Rupa-rupanya ia berlarutan sehingga dia ingin masuk tidur bila lelaki itu tiba-tiba muncul di bilik hotelnya.
Tuk! Tuk! Tuk!
Irish sedikit kaget mendengar ketukan di muka pintu lewat malam begini. Seingatnya dia tidak ada menghubungi pekerja hotel untuk memesan apa-apa. Serta-merta dirinya diselubungi kerisauan. Niat hati ingin membiarkan sahaja. Namun ketukan itu tetap berterusan untuk beberapa ketika. Perlahan Irish menghampiri pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Sebaik terpandangkan wajah itu, pantas dia berlari ke bilik dan mencapai sehelai tudung yang terletak di birai katil sebelum disarungkan ke kepalanya. Irish menghampiri pintu semula. Sebaik membukanya kelihatan Tengku Harrys sudah bersandar sambil berpeluk tubuh di dinding luar.
Is everything okay?” soalan pertama yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Ya.”
“Kenapa lambat buka pintu?”
“Err... saya ingatkan siapa tadi. Jadi saya biarkan.”
“Biarkan?” Tengku Harrys mengulangi ayat itu dengan kening yang sedikit terangkat. Seketika dia merenung Irish dengan satu pandangan. “Dah nak tidur ke?”
“Hmm.”
“Betul ni berani tidur sorang-sorang?”
“Kalau tak berani pun tak ada siapa yang boleh teman,” balas Irish sambil tertunduk.
“Ada.”
Spontan Irish mendongak. “Siapa?”
“Siapa yang paling dekatlah.”
Irish terus-terusan memandang Tengku Harrys. Mencari makna di sebalik kata-kata lelaki itu. Lama dia berfikir hinggalah dia terlihat senyuman di hujung bibir Tengku Harrys.
‘Dia ni ada lagi ke yang tak puas hati? Tadi cakap dah maafkan aku bagai. Hmmh!’ gumam gadis itu dalam hati.
“Saya cuma nak bagitahu esok pagi turun ke kafe bawah pukul 8.30. Kita breakfast dulu sebelum pergi ofis.”
Irish membalasnya dengan sebuah anggukkan. ‘Datang ke bilik semata-mata nak cakap tu je ke? Mesej pun boleh kut.’
“Lepas ni jangan biarkan saya ketuk pintu lama-lama. I’ll come here anytime to inform you everything since I don’t have your phone number,” ujar lelaki itu sambil menunjukkan telefonnya di hadapan Irish dan kemudian terus berlalu ke bilik sebelah.
Irish terkedu. Membulat matanya dengan kata-kata Tengku Harrys. Seolah-olah lelaki itu dapat mendengar apa yang dibicarakannya di dalam hati.
‘Betul jugak. Macam mana nak mesej kalau nombor telefon aku pun dia tak ada. Kan dah kena kau, Irish!’
“Nak berdiri je ke kat sini?”
“Hmm?”
Irish sedikit kalut dengan teguran itu. Seraya dia berpaling. Entah bila Tengku Harrys sudah berdiri terpacak di belakangnya. Seingat dia tadi lelaki ini berada di mejanya sedang minum. Bagaimana pula dia boleh berada di sini? Irish tidak berpuas hati. Ditoleh kembali meja yang didukuki Tengku Harrys. Ternyata tempat itu memang sudah kosong!
“Tengok apa?” 
Irish memandang lelaki itu kembali. “Err... tak ada apa-apa.”
“Pelik tiba-tiba saya ada kat sini?” Tengku Harrys tergelak kecil. Sejak Irish melangkah masuk ke sini tadi dia sudah perasan. Namun bila melihat gadis ini hanya berdiri tercegat memandangnya, membuatkan dia menapak ke sini. Apa yang dimenungkan pun dia tidak tahu hingga kehadirannya di sini tidak disedari.
“Jangan banyak mengelamun. Nanti tak ada orang pinang. Jom!” bisik Tengku Harrys dan terus berjalan meninggalkan Irish untuk kembali ke meja yang didudukinya tadi.
Irish mengerut dahi. ‘Ada ke pepatah cakap macam tu? Kalau duduk depan pintu tu, yelah.’ Irish menyoal sendiri dalam hati. Namun persoalan itu hanya dibiarkan bermain di fikiran. Lantas dia menuruti langkah Tengku Harrys di depan. Kelihatan sudah tersedia beberapa juadah sarapan di atas meja. Irish mengambil tempat berhadapan lelaki itu.
“Saya dah ambilkan untuk awak,” ujar Tengku Harrys sambil menyuakan sepinggan mee
 goreng pada Irish bersama secawan teh ‘o’ panas.
“Terima kasih,” ucapnya. Melihatkan makanan di pinggan lelaki itu masih belum terusik, Irish memberanikan diri bertanya. “Tengku belum makan lagi?” 
“Belum. Tunggu awak,” balas lelaki itu bersahaja lantas menadah tangannya mengimamkan doa makan bersama Irish.
Irish memerhati tingkah lelaki di hadapannya. Dia sendiri tidak faham dengan kelakuan Tengku Harrys sejak semalam. Sangat berbeza dari apa yang dia bayangkan sebelum berangkat ke sini tempoh hari. Hanya disebabkan mereka berdua di sinikah? Atau sikap lelaki ini yang sememangnya begini tanpa pengetahuannya?
“Lepas ni kita turun site sekejap before heading to office. Are you okay with that?” 
Irish sekadar mengangguk. Mereka berdua mula menjamu sarapan pagi lantaran banyak tugas yang sedang menanti dan perlu diselesaikan dengan kadar yang segera.



**********

BMW 6 COUPE yang dipandu Tengku Harrys membelok masuk ke tapak projek. Sesudah meletakkan kereta, mereka berdua bergerak memasuki kawasan binaan bangunan fasa ketiga itu.
            “How the progress here?”
            “Everything’s okay, Tengku. Alhamdulillah. Semuanya berjalan mengikut seperti apa yang dirancangkan,” terang Encik Shamrin selaku arkitek projek.
            “Dah pastikan semua materials yang dihantar betul-betul ikut standard asal?”
“Sudah, Tengku. Kami dah check dengan pembekal setiap kali diorang hantar barang ke sini. Setakat ni tak ada apa-apa masalah,” kali ini Encik Yusry, jurutera di situ pula bersuara.
Good. Saya harap tak ada masalah yang akan timbul lagi lepas ni. Pastikan semuanya berjalan lancar mengikut jadual hingga projek ni selesai. Time is running out.”
“Baik, Tengku!” jawab kedua-duanya serentak.
Irish yang berada di belakang Tengku Harrys hanya memasang telinga mendengar perbualan ketiga-ketiga mereka. Hampir dua puluh minit berlalu, Tengku Harrys kemudian meminta untuk meninjau sebentar kawasan binaan tersebut. Mereka yang lain hanya menuruti tanpa sebarang bantahan. Sebelum bergerak, Encik Shamrin sempat memberikan topi keselematan pada Tengku Harrys dan Irish.
Setiap sudut binaan fasa ketiga itu dilawati oleh mereka sambil diberi penerangan oleh Encik Shamrin dan Encik Yusry. Tengku Harrys hanya mendengar dan sesekali dia mencelah jika ada sesuatu perkara yang tidak memuaskan hati. Irish mula terasa bosan. Hendak masuk campur pun itu bukan bidang tugasnya. Sudahnya dia beredar dari situ dan melihat-lihat sekitar kawasan tersebut, memerhati para pekerja melakukan kerja-kerja pembinaan yang entah berapa meter tingginya itu. Seketika matanya leka memandang kren yang sedang mengangkat batu-bata untuk diserahkan pada pekerja yang sedang membina dinding bangunan di bahagian paling atas. Sedang dia asyik memerhati, seseorang berteriak.
Boss! Ke tepi, boss. Ke tepi!!!”
Semua yang berada di situ panik. Tidak tahu arahan itu diberikan pada siapa. Namun keadaan sudah terlambat apabila batu-bata tersebut lebih dahulu jatuh ke bawah berhampiran tempat Tengku Harrys dan yang lain-lain berbincang. Lebih malang lagi apabila beberapa ketul batu-bata itu mengenai tubuh Tengku Harrys tanpa sempat lelaki itu mengelak. Irish tergamam. Semua yang berada di situ juga turut terkedu.
“Tengku!!!” jerit Encik Shamrin. Dia dan Encik Yusry pantas mendapatkan Tengku Harrys yang sudah rebah di atas tanah. Tangan kiri lelaki itu memegang lengan kanan yang terkena rempuhan batu-bata tadi. Dahinya berkerut. Wajahnya juga sudah berubah. Jelas dia sedang menahan kesakitan. Suasana tegang seketika. Hanya beberapa minit, kawasan itu sudah dikerumuni dengan sebahagian pekerja di situ.
Encik Shamrin menyinsing lengan kemeja Tengku Harrys yang sudah koyak di beberapa bahagian. Darah sudah mengalir keluar dari luka-luka di tangannya. “Teruk ni, Tengku. Saya hantar pergi hospital!” ujar Encik Shamrin yang sudah ingin bangun.
No! Tak apa.”
“Eh, mana boleh Tengku! Kena pergi check ni. Takut patah ke apa!” celah Encik Yusry.
“Tak apa. I think luka je.”
Tengku Harrys cuba untuk bangun sambil dibantu oleh Encik Shamrin dan seorang pekerja lain yang berada di situ sebelum mereka memapahnya masuk ke dalam mini pejabat di tapak projek tersebut. Sedikit berdengkut kakinya berjalan. Mungkin terseliuh semasa dia terjatuh tadi. Sebaik masuk ke dalam pejabat, Tengku Harrys diletakkan di atas sebuah sofa.
“Betul Tengku tak nak pergi hospital ni?” sekali lagi Encik Shamrin bertanya setelah  pekerja yang seorang tadi beredar.
Tengku Harrys mengangguk. “Tak apa. Sikit je.”
Okay. Tapi kalau Tengku rasa makin teruk, please inform me!” tutur Encik Shamrin sedikit cemas. Risau melihat keadaan majikannya. Sudahlah ini kali pertama Tengku Harrys turun ke tapak projek ini. “Nanti saya panggilkan pembantu saya untuk cuci luka Tengku.”
“Tak apa. Tolong panggilkan Cik Irish ke sini. She will do it,” pinta Tengku Harrys. Kepalanya sudah disandarkan pada belakang sofa.
“Baiklah, Tengku.”
Encik Shamrin segera beredar keluar dari pejabat dan mencari pembantunya sambil berkata sesuatu. Kelihatan pembantunya itu terangguk-angguk. Suasana di luar masih sedikit tegang. Masing-masing masih sibuk membicarakan mengenai insiden yang berlaku sebentar tadi. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu, Encik Shamrin tercari-cari kelibat Irish. Dilihatnya gadis itu sedang duduk termenung di suatu sudut.
“Cik Irish.”
Pantas Irish mendongak. “Ya?”
“Tengku panggil masuk.”
“Saya?”
Yes!”
“Kenapa, Encik Sham?” soal Irish. Sememangnya Encik Shamrin cukup dikenali dengan nama itu oleh semua pekerja di sini.
“Tengku nak awak tolong bersihkan luka dia.”
 “Hmm? Saya mana reti, Encik Sham!” tingkah Irish yang terkejut dengan permintaan itu. Mana mungkin dia melakukannya. Dia bukanlah seorang jururawat, apatah lagi doktor. 
“Alaa, awak buat je macam awak tahu. Bersihkan darah, bubuh ubat, lepas tu balut.”
“Ishh! Kalau salah macam mana? Kenapa tak hantar hospital je?”
“Tengku tak nak. Dia cakap sikit je.”
“Pulak? Kalau macam tu, Encik Sham mintalah siapa-siapa yang tahu buat.”
“Sudah. Tapi Tengku nak awak yang buat,” terang Encik Shamrin bersama senyuman di bibir. Senyuman yang mengandungi sedikit usikan. Walaupun ini kali pertama dia berjumpa dengan Irish, namun tempoh selama seminggu bekerja bersama di sini membuatkan dia selesa dengan gadis ini. Tambahan dengan sikap Irish yang pendiam membuatkan dia gemar untuk mengusiknya. “Pergilah. Tengku dah tunggu tu.”
Irish hanya mengangguk. Kakinya melangkah lemah menuju ke ruang pejabat.  
“Cik Irish, sekejap!” laung Encik Shamrin sambil berlari-lari anak mendapatkan Irish. “Ini first aid kit. Semuanya ada dalam ni. Gunalah mana yang patut. Good luck!”
Irish hanya tersenyum kelat dengan kata-kata lelaki itu. Jelas hatinya berdebar-debar untuk berhadapan dengan Tengku Harrys. Seperti dia pula yang menyebabkan lelaki itu ditimpa kemalangan tadi.
“Tapi bukan salah aku. Aku tak tahu pun batu tu nak hempap dia. Tahu-tahu abang tu jerit, batu tu dah jatuh. Kan?” ngomel Irish sendiri sepanjang dia menuju ke pejabat.
 Melangkah sahaja ke dalam mini pejabat itu, Irish melihat sekujur tubuh sedang duduk bersandar di sofa dengan mata terpejam. ‘Tidur ke dia?’ Perlahan Irish menghampiri Tengku Harrys sebelum melabuhkan duduk di sisi lelaki itu. Kit pertolongan cemas di tangannya diletakkan di atas meja di hadapan.
Irish merenung wajah Tengku Harrys. Terdengar hela nafasnya yang halus. Mungkin lelaki ini menahan sakit hingga tertidur. Matanya kemudian beralih pada lengan kanan lelaki itu yang sudah sedikit membengkak. Agak banyak calar-balar. Juga terdapat beberapa luka akibat hempakan batu tadi. Darah masih mengalir melalui luka-luka tersebut. Terbit rasa kasihan pada lelaki di hadapannya ini tiba-tiba. Irish memandang semula wajah Tengku Harrys. Berkira-kira sama ada ingin mengejutkannya ataupun tidak.
‘Tapi kalau tak kejutkan, macam mana aku nak bersihkan luka-luka dia ni?’ hatinya berbicara sendiri. Hendak atau tidak, dia tidak punya pilihan.
“Tengku.” Irish memanggil nama lelaki itu. Sesaat, Tengku Harrys membuka matanya perlahan-lahan. 
“Hmm.”
“Saya nak bersihkan luka Tengku ni.”
Mendengarkan itu, Tengku Harrys cuba membetulkan duduknya kepada posisi yang lebih selesa. Kemudian dia menghulurkan lengannya pada Irish. Telan air liur Irish seketika. Ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi begini. Nafas ditarik dalam-dalam. Dengan lafaz Bismillah, dia memulakan kerjanya dengan berhati-hati. Lengan baju Tengku Harrys disinsing lagi hingga ke paras atas. Seperti jangkaannya, bahagian atas lengan lelaki itu juga turut calar-balar dan luka. Kit pertolongan cemas di atas meja dicapai. Sebaik membukanya, mata Irish menjadi rambang bila melihat pelbagai jenis ubat-ubatan di dalam kotak tersebut.
‘Mana satu, ya?’ desisnya. Satu-persatu ubat diperhati. Tidak pasti mana satu yang perlu digunakan. Dulu semasa di bangku sekolah adalah juga dia belajar cara-cara untuk membersihkan luka. Tetapi dia tidak begitu mengingatinya. ‘Hmm. Belasah jelah!’
Sarung tangan getah di dalam kotak itu dicapai lalu disarungkan di kedua-dua belah tangannya. Kemudian dia mengambil tisu. Dengan perlahan dia menyentuh lengan Tengku Harrys dan mula mengelap darah yang mengalir. Habis yang itu, dia mengambil tisu yang lain pula dan kali ini dia membasahkan tisu tersebut dengan air untuk membersihkan saki-baki darah serta kotoran yang masih ada. Setelah itu Irish mencapai kapas serta botol yang tertulis perkataan ‘antiseptik’ pada label di luar. Terdengar suara lelaki itu mengaduh saat kapas yang dibubuh cecair antiseptik itu menyentuh lukanya.
“Tahan, ya. Pedih sikit,” beritahu Irish sambil mengerling sekilas pada lelaki itu. Kemudian dia menyambung semula tugasnya membersihkan seluruh luka di lengan Tengku Harrys sebelum menyapunya dengan sejenis krim antibiotik. Penuh lembut dan teliti dia melakukan kerja hingga tidak menyedari setiap tingkah-lakunya itu tiada satu pun terlepas dari pandangan lelaki di hadapan.
“Dah biasa ke buat ni?” tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Tengku Harrys, membuatkan Irish mengerling lelaki itu sekali lagi.
“Tak. Saya redah je.”
Jawapan tersebut mengundang senyum di hujung bibir Tengku Harrys. Betul atau tidak jawapan itu, dia tidak pasti. Apa yang pasti, dia dapat merasakan kelembutan sentuhan Irish sepanjang gadis ini membersihkan luka-lukanya.
“Awak kat mana tadi?” Tengku Harrys bertanya lagi.
“Masa bila?”
“Masa batu tu hempap saya.”
Irish terkedu. Tidak menyangka soalan itu akan keluar juga dari mulut lelaki ini. Dengan lambat dia menjawab. “Saya jalan-jalan tengok site sekejap."
Without my permission?”
Tangan Irish terhenti. Terasa jantungnya berdegup laju. Pasti lelaki ini marah padanya. “Saya minta maaf,” ucap Irish seraya melarikan wajahnya dari Tengku Harrys. Krim antibiotik tadi diletakkan semula ke tempat asal. Tinggal lagi dia hanya perlu membalut lengan Tengku Harrys dan selepas itu dia boleh beredar dari sini. Lantas Irish mengambil kapas dan meletakkannya di setiap luka yang ada di lengan Tengku Harrys sebelum membalut lengan lelaki itu dengan kain pembalut lalu dipinkannya dengan kemas. Habis itu dia bangun dan mengemas kembali barang-barang yang telah digunakannya.
“Tengku baringlah. Rehat dulu,” ujar Irish sambil tangannya masih lagi mengemas kit pertolongan cemas tersebut. Tengku Harrys akur. Sememangnya dia sendiri masih terasa lemah untuk bergerak. Direbahkan badannya di atas sofa itu untuk merehatkan diri sebelum mereka bergerak ke pejabat Haiyan Corporation yang terletak kira-kira dua kilometer dari sini. 
Irish memandang Tengku Harrys. Mata lelaki itu sudah terkatup rapat. First aid kit di atas
meja dicapai lalu dia mula bergerak untuk keluar dari pejabat tersebut.
“Nak ke mana?”
Teguran itu mematikan langkah Irish serta-merta. Tubuhnya dipusingkan kembali menghadap Tengku Harrys. Dilihatnya mata lelaki itu masih lagi terpejam. “Keluar.”
Don’t go anywhere.”
“Err...,” Irish cuba bersuara.
Just stay here.”  
“Tapi...,”
Please. Just stay here with me,” pinta Tengku Harrys lagi. Lemah kedengaran suaranya.
Mendengarkan itu, Irish jadi tidak sampai hati. Dia berpatah semula dan melabuhkan duduk di sofa berdekatan Tengku Harrys. Lelaki itu terus dengan lenanya. Mungkin dengan cara ini saja dapat melupakan sekejap kesakitan yang sedang ditanggung.
‘Beria-ia suruh aku tunggu. Tapi sekarang dia yang tidur.’
Irish melepaskan keluhan. Kepalanya ditongkat dengan tangan sambil memandang Tengku Harrys. Tidak dinafikan lelaki itu memang mempunyai seraut wajah yang kacak. Dengan kulit yang cerah serta ketinggian yang ada padanya mampu mencairkan hati mana-mana gadis. Walaupun dalam keadaan tidur begini, lelaki itu masih mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk memandangnya. Cuma satu yang dia hairan. Mengapa sekacak-kacak begini tidak ada satu pun gadis yang mendampinginya? Adakah benar seperti apa yang diperkatakan bahawa jejaka ini memang tidak pernah membenarkan hatinya dimiliki dan didekati perempuan? Agak sukar untuk dia percaya. Namun jika ia benar, mungkin Tengku Harrys mempunyai alasan tersendiri. 
Irish terus membiarkan matanya merenung lelaki tersebut. Kesempatan ini sahaja yang dia ada untuk berbuat demikian. Kalau lelaki itu sudah sedar, jangan haraplah dia dapat buat begini. Memang dia tidak akan menang kala mata lelaki itu sudah melekat di wajahnya. Kadang dia bingung dengan sikap Tengku Harrys. Kalau sudah serius jangankan ketawa, bayang senyum pun belum tentu boleh nampak. Tetapi bila sikapnya sudah berputar tiga ratus enam puluh darjah, memang takkan senang hati dibuatnya. Seperti yang berlaku sekarang ini. Sangat berbeza dari Tengku Harrys yang dia kenal sepanjang bekerja di Haiyan Holdings. Namun dia tidak pasti memang begitukah sikap lelaki ini terhadap semua orang, atau dengan dirinya sahaja demi untuk
membalas kembali insiden perlanggaran yang berlaku antara mereka dulu.
‘Hmm... nasib kaulah, Irish. Nak tak nak, terima jelah.’ Bisik hati kecilnya.