Google+ Followers

Friday, October 7, 2016

BAB 29 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







 B
ANGUNAN tinggi yang tersergam indah itu direnung dari jauh. Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah ke situ. Mengenangkan insiden malam kelmarin serta pertemuannya dengan Tengku Harrys semalam, hatinya berbelah bahagi untuk masuk ke pejabat. Puas dia mencari-cari apa salahnya sehingga tiba-tiba lelaki itu bersikap dingin terhadapnya. Adakah disebabkan hal kerja, ataupun hal lain. Atau juga lelaki itu masih berdendam dengan insiden pelanggaran dulu. Dia sendiri bingung memikirkannya.
            Agak lama Irish duduk termenung di dalam kereta. Berkira-kira untuk keluar ataupun tidak. Akhirnya gadis itu memutuskan untuk keluar sahaja. Walau apapun yang berlaku, dia harus bersedia untuk berhadapan dengan Tengku Harrys sekiranya hari ini dia akan bertemu dengan lelaki itu. Dengan perasaan yang agak berat, Irish melangkah memasuki bangunan Haiyan Holdings. Sepanjang kakinya melangkah menuju ke pejabat, hati tidak putus-putus berdoa agar tiada apa-apa perkara tidak diingini akan berlaku hari ini. Sewaktu melintasi pejabat Tengku Harrys, dilihatnya pintu bilik itu masih tertutup rapat.
 ‘Belum masuk lagi kut!’ detik hatinya.    
            Masuk sahaja ke dalam bilik, Irish menjatuhkan tubuhnya di atas kerusi. Hari ini dia merasakan seperti kurang bersemangat untuk melakukan kerja. Tidak seperti hari-hari selalu. Namun bila mengingatkan banyak kerja yang masih tertangguh, digagahkan juga diri untuk menyelak fail-fail yang berada di hadapannya.
            “Cik Irish.”
            Irish mendongak. Wajah Natasya tiba-tiba terpancul di muka pintu.
            “Ya, Tasya?”
            “Tengku Harrys panggil Cik Irish masuk bilik dia.”
            Terkedu Irish mendengar kata-kata gadis itu. Seingat dia waktu sekarang baru pukul 8.45 pagi. “Boss awak dah sampai ke?”
            “Dah. Pukul 8.30 tadi dah sampai. Tak tahu mimpi apa dia datang awal hari ni.”
            Jantung Irish serta-merta berdegup laju. ‘Hmmh... siaplah kau Irish!’ gumamnya.
“Tak apa, Tasya. Sekejap lagi saya datang. Thanks, ya.”
Natasya mengangguk dan sejurus kemudian dia beredar dari bilik itu. Dengan malas Irish bangun dari kerusinya. Dalam hati tertanya-tanya apa tujuan lelaki itu memanggilnya seawal pagi begini. Sampai di bilik Tengku Harrys, Irish mengetuk pintu terlebih dahulu. Terdengar suara lelaki itu memberi arahan dari dalam. Sebaik melangkah masuk, dilihat Tengku Harrys sedang bercakap di talian. Irish hanya tegak berdiri sambil menanti lelaki itu menghabiskan perbualannya.
Hampir lima minit kemudian, Tengku Harrys akhirnya meletakkan telefon. Irish di hadapan dipandang sekilas sebelum matanya kembali dihalakan pada skrin komputer.
“Hari ini awak ada apa-apa hal penting?”
“Tak ada.”
Good. Saya nak awak ikut Encik Naufal hadiri mesyuarat di Putrajaya hari ini. Saya tak dapat attend. Ada hal lain.”
“Baik, Tengku.” Irish menjawab perlahan, akur dengan arahan terebut. Mesyuarat itu sepatutnya dihadiri oleh Tengku Harrys bersama Encik Naufal pada awalnya. Tetapi memandangkan arahan yang baru diterima ini memintanya untuk pergi, terpaksalah dia patuhi. “Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.”
Tengku Harrys membisu. Tiada tanda-tanda ingin membalas kata-kata tersebut. Matanya juga tidak merenung Irish seperti selalu. Melihatkan tiada sebarang jawapan yang kedengaran dari mulut lelaki itu, Irish ingin segera beredar keluar. Namun belum pun sempat kakinya melangkah, Tengku Harrys memanggil namanya kembali. Lantas dia berpaling. Mata lelaki itu masih setia menatap skrin komputer di mejanya. 




“Tolong siapkan final draft laporan projek di Johor Bharu tu. As soon as possible. Then, submit to me.”
“Baik. Ada apa-apa lagi, Tengku?”
Nothing.”
Sebaik mendengar jawapan tersebut, Irish terus melangkah keluar. Kecut perut dibuatnya mendengar suara serius lelaki itu. Lain benar tingkah Tengku Harrys sejak akhir-akhir ini. Tidak seperti dulu. Tidak banyak cakap, apatah lagi memandangnya. Tidak mengusiknya seperti selalu. Yang jelas di matanya hanyalah sikap dingin lelaki itu sahaja.
“Apa kena dengan dia, ya? Hari tu lain, semalam lain, hari ni pun dah lain jugak.”
Irish mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan sikap Tengku Harrys yang tidak terjangkakan olehnya.
Effect duduk oversea lama sangat kut!” Irish menjungkitkan bahu, menjawab persoalan itu dengan andaiannya sendiri. Tanpa menunggu lagi, dia mula menapak ke bilik Encik Naufal untuk bertanyakan tentang mesyuarat yang perlu mereka hadiri nanti.

**********

“ZUL.” Tengku Hafiy bersuara sewaktu dia dan Izzul dalam perjalanan pulang dari melawat tapak projek usahasama Haiyan Holdings dengan Mega Putra tempat Izzul bekerja.
            “Yes?”
            “Aku ada benda nak tanya ni.”
            “Tanya apa?”
            “Tentang hajat mama aku tu.”
            “Hajat?”
“Ya. Hajat untuk pinang Irish. Kau dah lupa ke?”
Izzul menghela nafas. Spontan jantungnya berdebar-debar. Satu-satunya perkara yang cuba dielak daripada dibincangkan buat masa ini. “Tak. Tak lupa pun.”
            “So, macam mana?”
            “Macam mana apa?”
            “Yelah. Dah bagitahu dengan keluarga kau ke yang keluarga aku nak datang merisik? Mama aku tu hari-hari dah bertanya aku pasal hal ni.”
            Izzul terdiam sejenak. Lambat-lambat dia menjawab pertanyaan itu. “Belum lagi.”
            “Laaa... ingatkan kau dah bagitahu!”
            “Bila keluarga kau nak datang?”
            “Mama aku cakap Insya-ALLAH lepas majlis aku nanti,” beritahu Tengku Hafiy. Suasana sepi seketika.
             “Boleh aku tanya sikit?”
            “Ai! Kau pun nak tanya jugak?”
            “Habis, kau ingat kau sorang jelah ada soalan?” bidas Izzul, membuatkan rakannya itu tergelak.
            “Okay, okay! Ha, apa dia yang kau nak tanya?”
            “Masa dinner malam tu. Aku tengok Harrys mesra betul dengan sepupu kau tu. So, aku agak diorang ada special relationship. Tapi kenapa Mak Engku masih nak teruskan hajat pinang adik aku, ya?”
            “Maksud kau Harrys dengan Melissa? Ada affair?”
            “Hmm.”
            Serentak itu kedengaran tawa Tengku Hafiy berderai. Izzul di sebelah lansung terpinga-pinga melihat reaksi rakannya itu.
            “Yang kau gelak ni kenapa? Salah ke apa aku cakap?”
            “Memang salah pun! Harrys dengan Melissa? Hmm... alamat meletuplah gunung berapi kat rumah aku tu jawabnya!”
            “Gunung berapi?”
            “Mama akulah. Siapa lagi. Dah sah-sah kena reject awal-awal kalau si Melissa tu pilihan Harrys.”
            “Kenapa? Sepupu kau tu cantik apa.”
            “Hai... takat cantik je tak cukup, Zul. Sosial, kaki clubbing, dengan seksi macam tu. Tak ada ciri-ciri ketimuran lansung! Manalah mama aku berkenan. Tak sesuai nak dibuat bini katanya!” jelas Tengku Hafiy. Izzul di sebelah dikerlingnya. “So, macam mana? Boleh ke keluarga aku datang? Aku ni kena bawa balik jawapan, Zul. Kalau tak, hmm... masak aku!” 
Pertanyaan Tengku Hafiy itu hanya dibiarkan oleh Izzul. Dia juga masih tercari-cari jawapan yang sesuai untuk diberikan. Puas memikirkan, akhirnya Izzul bersuara walaupun tidak pasti sama ada betul atau tidak keputusan yang dibuatnya ini.
“Macam nilah, Fiy. Kau bawa jelah keluarga kau datang rumah orang tua aku. Nanti pandailah aku bagitahu diorang macam mana.”
Sure?” Tengku Hafiy meminta kepastian. Dan soalannya hanya dibalas dengan satu anggukkan oleh Izzul. “Alright!”
Tengku Hafiy tersenyum lega. Seolah-olah dia telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh mamanya. Hilang sudah bebanan yang ditanggung. Namun sebaliknya bagi Izzul. Saat dia menyatakan keputusannya tadi, serasa bagai ada satu batu besar yang telah diletakkan di atas bahunya untuk digalas sehinggalah tiba hari yang dimaksudkan oleh Tengku Hafiy itu nanti.